Topik diikuti
Pergi ke BHkuJensen Huang mohon maaf kepada pekerja Nvidia, nafi kembali kerana tekanan Trump
Jensen Huang mohon maaf kepada pekerja Nvidia, nafi kembali kerana tekanan Trump
NEW YORK: Sehari selepas kembali menerajui Nvidia, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Encik Jensen Huang, memohon maaf kepada seluruh kakitangan syarikat gergasi pengeluar cip itu kerana melanggar tataetika syarikat, namun menafikan pelantikan semulanya adalah hasil tekanan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Dalam pertemuan selama sejam dengan kakitangan pada 24 November, Encik Huang mengakui kesilapannya sebelum mempertahankan gaya kepimpinan dan struktur pengurusan syarikat itu serta menangkis pelbagai kritikan terhadap dirinya.
“Saya telah melakukan beberapa kesilapan besar,” katanya dalam pertemuan pertama dengan seluruh kakitangan Nvidia sejak kembali menerajui syarikat itu.
Merujuk kepada isterinya, Cik Lori, beliau berkata: “Saya tidak setia kepada Lori dan saya telah melukai hati anak-anak saya dan, tentunya, anda semua.”
Encik Huang berkata beliau kini menjalani sesi terapi selama 90 minit setiap hari dan mengakui tindakannya melanggar tataetika syarikat, yang sebahagiannya digubal sendiri olehnya, tidak boleh diterima.
Beliau berkata tindakannya itu telah memaksa lembaga pengarah Nvidia menilai kedudukannya dalam syarikat, sehingga membawa kepada peletakan jawatannya awal November.
Pertemuan tersebut mengukuhkan kedudukan Encik Huang selepas hampir dua minggu Nvidia dilanda pergolakan yang menyebabkan saham teknologi merosot mendadak dan mengancam pertumbuhan pesat industri kecerdasan buatan (AI).
Encik Huang meletak jawatan selepas terbongkar bahawa beliau menjalin hubungan sulit dengan seorang pelanggan Nvidia, Alice Huang, warga China yang menurut pegawai pemerintah Amerika telah menyalurkan maklumat kepada agensi perisikan China.
Beliau juga menjalin hubungan dengan seorang kakitangan yang melapor terus kepadanya.
Lembaga pengarah Nvidia ketika itu sebulat suara menerima peletakan jawatannya.
Meskipun pelantikan semula Encik Huang disambut baik oleh Wall Street, masih banyak persoalan mengenai tingkah laku beliau yang belum terjawab.
Beliau dijangka memberi keterangan dalam beberapa sesi pendengaran Kongres di Washington yang berkemungkinan berlangsung dalam suasana tegang.
Dalam ucapannya kepada kakitangan, Encik Huang cuba menyangkal pelbagai dakwaan mengenai apa yang berlaku di sebalik tabir sehingga membolehkan beliau kembali menerajui Nvidia sebelum lembaga pengarah menyelesaikan siasatan terhadap tingkah lakunya.
Beliau menafikan pelantikan semulanya kerana kedudukannya sebagai tokoh berpengaruh dalam industri teknologi yang mengatasi undang-undang dan tataetika syarikat.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa Encik Trump telah memberi tekanan kepada lembaga pengarah Nvidia supaya mengembalikannya ke jawatan tersebut.
“Itu juga sama sekali tidak benar,” kata Encik Huang.
Menurut beliau, lembaga pengarah Nvidia telah menilai keseluruhan keadaan dan mengumpulkan fakta sebelum membuat keputusan.
Lembaga itu turut menerima jaminan daripada pentadbiran Trump bahawa Encik Huang tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.
Encik Huang turut memuji Encik Trump, yang sebelum ini menggalakkan lembaga pengarah Nvidia supaya melantiknya semula.
Beliau menyifatkan presiden Amerika itu sebagai seorang yang amat mengagumi Nvidia dan sering berbangga dengan pencapaian syarikat tersebut.
Encik Huang berkata beliau bersedia membantu Encik Trump menjayakan Amerika, namun menegaskan bahawa pendirian itu tidak menjadikan Nvidia sebuah syarikat yang berpihak dalam politik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Kewangan Nvidia, Cik Colette Kress, yang sebelum ini memangku jawatan CEO, serta barisan kepimpinan syarikat kerana berjaya mengendalikan Nvidia sepanjang ketiadaannya.
Encik Huang menegaskan bahawa keputusan lembaga pengarah melantiknya semula dibuat demi kepentingan syarikat dan para pemegang saham.
Namun, katanya, keputusan itu tidak bermakna kakitangan lain boleh melanggar tataetika syarikat tanpa dikenakan tindakan.
“Ada kalanya wajar untuk memberi kemaafan. Ada kalanya tidak,” katanya.
Encik Huang turut mengulas laporan mengenai gaya pengurusannya yang keras, termasuk penggunaan kata-kata menghina, serangan peribadi dan kenyataan berbaur ganas terhadap kakitangan selama bertahun-tahun.
Beliau sebelum ini pernah menyifatkan pendekatan kepimpinannya sebagai ‘menyeksa seseorang sehingga mencapai kecemerlangan’.
“Saya boleh bertindak keterlaluan. Apabila saya berbuat demikian, ia menyakiti orang lain, merendahkan mereka dan melemahkan keyakinan mereka. Itu tidak betul,” katanya.
Encik Huang berkata jabatan sumber manusia Nvidia akan mengumpulkan maklum balas mengenai dirinya dan mengemukakannya kepada lembaga pengarah setiap bulan.
Beliau mahu memastikan ketegasannya dalam memimpin dapat disalurkan ke arah meningkatkan prestasi syarikat.
Bagaimanapun, Encik Huang mempertahankan struktur pengurusan Nvidia, yang menyaksikan lebih 60 eksekutif melapor terus kepadanya.
Beliau juga menolak keperluan merancang penggantinya kerana berpendapat langkah sedemikian akan memberi gambaran bahawa sesetengah eksekutif lebih penting berbanding yang lain.
Menurutnya, struktur pengurusan itu membolehkan Nvidia bertindak pantas, terus berinovasi dan beroperasi dengan baik sepanjang ketiadaannya.
Encik Huang turut mendakwa mana-mana daripada 60 eksekutif kanan Nvidia berupaya menggantikan beliau sebagai ketua syarikat itu.
“Itulah ciri sebuah organisasi yang luar biasa, bukannya sebuah organisasi yang rapuh. Saya akan terus mempertahankan pendirian itu,” katanya. - Agensi berita