Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jentera PH-BN serasi bagi hadapi pilihan raya negeri: Zahid

Aug 2, 2023 | 1:58 PM
KERJASAMA BERKESAN: Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) bersama pemimpin Kongres India Malaysia dalam satu pertemuan pada Rabu. Datuk Zahid berkata kerjasama BN dengan Pakatan Harapan akan meraih kesudahan yang dimahukan di Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
KERJASAMA BERKESAN: Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) bersama pemimpin Kongres India Malaysia dalam satu pertemuan pada Rabu. Datuk Zahid berkata kerjasama BN dengan Pakatan Harapan akan meraih kesudahan yang dimahukan di Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. - Foto FACABOOK / AHMAD ZAHID HAMIDI

PORT DICKSON: Jentera Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan kesefahaman dan keserasian yang baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata jentera parti komited dan melipatgandakan usaha bagi memastikan kemenangan calon yang diketengahkan kedua-dua gabungan itu.

“Kita melihat secara holistik dan berterima kasih kerana terdapat kesefahaman dan keserasian di antara BN dan PH, jentera pun saya sebutkan mendukung calon-calon yang dipilih tanpa mengira daripada parti mana.

“Biarpun di peringkat awal mungkin terdapat kekeliruan dari segi lambang, tetapi dalam tempoh kempen ini, kita memberikan pencerahan terhadap isu itu, penting kedua-dua parti gabungan atas semangat Kerajaan Perpaduan, menggerakkan kempen dan menolak propaganda dibuat seteru kita di sebelah sana,” katanya, dipetik oleh Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi sembang santai bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan DUN Linggi pada Selasa.

Sebagai contoh, Datuk Ahmad Zahid berkata di Negeri Sembilan, Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Jalaludin Alias, menyelaraskan mesyuarat bagi pergerakan jentera di setiap peringkat.

“Kita harus membantu satu sama lain dan saya lihat keserasian ini mula tergilap dari persefahaman yang diwujudkan oleh peringkat negeri dan bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Zahid menafikan wujud ketidakharmonian antara parti komponen BN, susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kepimpinan Kongres India Malaysia (MIC) pada Rabu.

Beliau berkata, ia bukan kali pertama pemimpin nombor satu negara itu bertemu dengan kepemimpinan MIC.

“Tidak timbul langsung (ketidakharmonian), kami mengadakan mesyuarat war room, wakil MCA dan MIC ada. Mereka sudah menggerakkan seluruh jentera di keenam-enam negeri, dengan jentera dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan MIC juga akan membantu calon bagi pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan bahawa penyokong mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak akan memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini, Datuk Ahmad Zahid berkata ia hanya propaganda parti lawan.

“Sebagaimana disebut oleh Nooryana Najwa Najib, Datuk Najib tidak mengiktiraf kumpulan itu, malah beliau memberikan dukungan yang kuat kepada BN dan PH-BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg