TOKYO: Jepun bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Parti Liberal Demokratik (LDP) akan memilih pemimpin baru pada Sabtu, 4 Oktober, membuka peluang kepada negara itu untuk mempunyai perdana menteri wanita pertama atau yang termuda dalam era moden.
Lima calon kini bersaing menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba, yang meletak jawatan selepas beberapa siri kekalahan pilihan raya.
Antara yang menjadi tumpuan ialah ahli politik konservatif berhaluan nasionalis Cik Sanae Takaichi, 64 tahun, dan Menteri Pertanian Shinjiro Koizumi, 44 tahun, yang membawa imej lebih sederhana. Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi, 64 tahun, turut disebut sebagai pesaing kuat.
Pemimpin baru LDP berkemungkinan besar menjadi perdana menteri kerana parti ini masih merupakan kumpulan terbesar di Parlimen, walaupun kehilangan majoriti di kedua-dua dewan semasa era Encik Ishiba.
LDP kini berdepan cabaran besar ekonomi yang lembap, kos sara hidup yang meningkat, dan sokongan rakyat yang merosot. Pengundi muda yang kecewa turut beralih kepada parti pembangkang, termasuk kumpulan populis berhaluan kanan.
“Koizumi dan Takaichi menawarkan pendekatan yang sangat berbeza untuk menyegarkan semula parti,” kata Profesor Sains Politik Tina Burrett dari Universiti Sophia, Tokyo. “Koizumi dilihat mampu mencari kata sepakat dengan parti lain, manakala Takaichi berpotensi menggoncang dunia politik Jepun yang sering dilihat membosankan.”
Takaichi: Agenda Besar dan Warisan Abe
Cik Sanae Takaichi, sekutu rapat bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, berkempen dengan janji merangsang ekonomi melalui pelaburan kerajaan besar-besaran, termasuk teknologi baru, infrastruktur dan keselamatan makanan.
Beliau juga mahu melipatgandakan saiz ekonomi dalam 10 tahun dan berikrar “menghidupkan semula Abenomics” dengan pelonggaran monetari, perbelanjaan awam dan pengurangan cukai terpilih.
Cik Takaichi turut menyuarakan kemungkinan merunding semula perjanjian pelaburan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump jika ia dilihat tidak adil. “Kami akan pastikan perjanjian itu memberi manfaat kepada Jepun,” katanya.
Selain itu, Cik Takaichi berjanji memperbaiki keseimbangan jantina dalam kabinetnya. “Sudah tiba masanya Jepun mempunyai kepimpinan yang mewakili semua rakyat, termasuk wanita,” ujarnya dalam satu sesi debat.
Koizumi: Reformis Muda dengan Tekanan Besar
Encik Shinjiro Koizumi, anak kepada bekas perdana menteri popular Junichiro Koizumi, pula dilihat sebagai wajah pembaharuan yang lebih mesra pengundi muda. Jika menang, beliau akan menjadi perdana menteri termuda dalam era moden Jepun.
Encik Koizumi mahu meningkatkan gaji, produktiviti, dan memperkukuh sistem pengurusan bencana dengan menubuhkan agensi khas. Beliau juga pernah mencadangkan dasar progresif seperti membenarkan pasangan berkahwin mengekalkan nama keluarga berasingan, namun kini meredakan pendiriannya untuk menarik sokongan lebih luas.
Walau begitu, Enci Koizumi tidak terlepas kritikan. Beberapa kenyataannya yang dianggap kurang berpengalaman, termasuk mengenai penculikan warga Jepun oleh Korea Utara, menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli parti.
Hayashi: Calon Stabil dan Berpengalaman
Encik Yoshimasa Hayashi, Setiausaha Kabinet yang berpengalaman luas dalam pelbagai portfolio termasuk luar negeri, pertahanan dan pendidikan, tampil sebagai calon “stabil” yang mampu meredakan ketidaktentuan politik.
Encik Hayashi berikrar mengekalkan hubungan baik dengan China sambil memperkukuh pakatan Jepun-Amerika. Dari sudut ekonomi, beliau mahu mengekalkan sasaran kenaikan gaji 1 peratus setahun dan mencadangkan skim sokongan kewangan seumpama “kredit universal” bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengundian dan Dinamika Sokongan
Menurut laporan akhbar Asahi pada 1 Oktober, Encik Koizumi mendahului sokongan daripada 295 ahli Parlimen LDP, diikuti Encik Hayashi dan Cik Takaichi. Namun tinjauan Nippon TV mendapati Cik Takaichi mendapat sokongan lebih besar daripada ahli parti di peringkat akar umbi.
Jika undian pusingan pertama tidak melahirkan pemenang jelas, pusingan kedua akan diadakan dengan kuasa undi akar umbi dikurangkan, sekali gus boleh mengubah keputusan akhir.
Siapa pun yang menang akan mewarisi parti yang goyah dan rakyat yang skeptikal. “Ada kemungkinan besar kita akan melihat satu lagi pemilihan kepimpinan dalam masa terdekat jika pemimpin baharu gagal memulihkan keyakinan rakyat,” kata Dr James Brown dari Temple University, Tokyo.
Cabaran lain termasuk ekonomi Jepun yang tertekan dengan hutang awam tinggi dan harga barang yang terus meningkat. Tambahan pula, hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump bakal menjadi ujian awal bagi perdana menteri baharu.
Jika Cik Takaichi menang, Jepun bakal mempunyai perdana menteri wanita pertama dalam sejarah moden negara itu. Jika Encik Koizumi menang, beliau akan menjadi pemimpin paling muda dalam era pascaperang.
“Ini bukan sekadar pemilihan pemimpin parti, tetapi penentu arah masa depan Jepun,” kata Profesor Burrett. “Rakyat sedang memerhati sama ada LDP benar-benar mahu berubah.”
Keputusan undian pada 4 Oktober bukan sahaja akan menentukan siapa bakal menerajui kerajaan Jepun, tetapi juga hala tuju ekonomi dan diplomasi negara itu di tengah cabaran global yang semakin mencabar. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg