Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Jepun nafi khabar angin mahu letak jawatan

Jul 23, 2025 | 4:06 PM
Perdana Menteri Jepun merangkap Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, Encik Shigeru Ishiba, kelihatan selepas mengadakan pertemuan bersama barisan kepimpinan parti di ibu pejabat LDP di Tokyo, Jepun, pada 23 Julai 2025.
Perdana Menteri Jepun merangkap Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, Encik Shigeru Ishiba, kelihatan selepas mengadakan pertemuan bersama barisan kepimpinan parti di ibu pejabat LDP di Tokyo, Jepun, pada 23 Julai 2025. - Foto REUTERS

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Encik Shigeru Ishiba, menafikan laporan pada 23 Julai bahawa beliau akan meletakkan jawatan, selepas satu sumber dan beberapa laporan media mengatakan beliau merancang untuk berundur menyusuli satu kekalahan dalam pilihan raya dewan tinggi.

Pemimpin berusia 68 tahun itu berkata, laporan media yang menyatakan beliau sudah pun membuat keputusan untuk berundur adalah “tidak berasas sama sekali”.

Menurut satu sumber yang rapat dengan perdana menteri itu, Encik Ishiba memilih untuk tidak berundur serta-merta selepas pilihan raya itu bagi mengelakkan ketidakstabilan politik, ketika tarikh akhir 1 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat semakin hampir.

Sumber itu tidak mahu dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Pada 22 Julai, Encik Ishiba dan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah mengumumkan satu perjanjian perdagangan yang akan mengurangkan tarif ke atas import kenderaan Jepun serta mengelakkan Jepun dikenakan tarif baru yang lebih berat ke atas barangan lain.

Bagaimanapun, media Jepun melaporkan bahawa Encik Ishiba dijangka akan mengumumkan peletakan jawatannya pada Ogos ini.

Sekiranya beliau berundur, pemergiannya yang kurang daripada setahun selepas mengambil alih jawatan itu akan mencetuskan perebutan kepimpinan dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah.

Parti itu kini berdepan cabaran hebat daripada parti-parti politik baru, khususnya sayap kanan, yang mula menarik sokongan rakyat.

Antaranya ialah kumpulan sayap kanan, Sanseito “Jepun Didahulukan”, yang mencatat lonjakan sokongan dalam undian 20 Julai, meningkatkan jumlah kerusi mereka dalam dewan tinggi yang mempunyai 248 kerusi itu daripada satu kepada 14.

Parti itu berjaya menarik perhatian pengundi dengan janji akan mengurangkan kemasukan imigresen, memotong cukai, dan memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang tertekan akibat kenaikan harga barang.

Encik Ishiba sebelum ini menewaskan tokoh konservatif tegar, Encik Sanae Takaichi, dalam pusingan akhir pemilihan kepimpinan parti pada 2024.

Sesiapa yang menggantikan beliau sebagai ketua LDP perlu mentadbir tanpa majoriti di kedua-dua dewan parlimen, susulan kekalahan kerajaan dalam pilihan raya dewan rendah pada Oktober lalu.

Keutamaan segera bagi mana-mana pemimpin baru adalah mendapatkan sokongan mencukupi daripada ahli parlimen parti pembangkang untuk mengesahkan pelantikan sebagai perdana menteri.

Menurut sumber, pemimpin baru itu dijangka tidak akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat, sebaliknya akan menumpukan kepada usaha memulihkan sokongan rakyat sebelum mendapatkan mandat melalui pilihan raya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg