TOKYO: Bekas Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi, pada 8 September menjadi ahli parlimen pertama dari Parti Liberal Demokratik (LDP) yang mengumumkan hasrat bertanding bagi menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba, sehari selepas pemimpin itu meletakkan jawatan susulan kekalahan besar pilihan raya.
Encik Ishiba, 68 tahun, yang hanya memegang jawatan perdana menteri selama setahun sejak 1 Oktober 2024, mengumumkan pengunduran pada 7 September. Beliau mengakui bertanggungjawab atas keputusan pilihan raya yang menyaksikan gabungan pemerintah kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen.
“Saya amat menyesal terpaksa berundur dengan cara ini. Namun sebagai presiden LDP, saya mesti memikul tanggungjawab atas keputusan pilihan raya,” kata Encik Ishiba dalam sidang media selama 50 minit yang disiarkan secara langsung. Dengan tunduk dan hampir menitiskan air mata, beliau menambah: “Saya akan menggunakan baki masa saya untuk menangani isu-isu dasar sebaik mungkin.”
Pengunduran Encik Ishiba mencetuskan kegelisahan politik dan pasaran kewangan. Yen Jepun menjunam, manakala pasaran saham melonjak pada 8 September dengan jangkaan bakal pengganti seperti Cik Sanae Takaichi mungkin meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
“LDP kini berdepan krisis paling besar sejak penubuhannya,” kata Encik Motegi, 69 tahun, ketika mengumumkan pencalonannya. “Kita mesti segera bersatu, menangani cabaran besar di dalam dan luar negara, serta membawa Jepun ke hadapan.”
Setiausaha Kabinet Encik Yoshimasa Hayashi juga dijangka bertanding, manakala perhatian utama tertumpu kepada dua calon berprofil tinggi iaitu bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Cik Sanae Takaichi, 64 tahun, dan Menteri Pertanian, Encik Shinjiro Koizumi, 44 tahun.
Jika menang, Cik Takaichi akan menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun, manakala Encik Koizumi pula bakal menjadi perdana menteri termuda era moden. Kedua-duanya pernah menduduki tempat kedua dan ketiga dalam pemilihan presiden LDP pada September 2024.
Cik Takaichi terkenal dengan pendirian konservatif, termasuk mahu meminda Perlembagaan pasca perang yang bersifat aman. Beliau kerap melawat kuil kontroversi Yasukuni dan pernah berkunjung ke Taiwan awal tahun 2025, di mana beliau mencadangkan kerjasama keselamatan tidak rasmi antara Jepun, Taiwan dan rakan lain. Langkah itu mencetuskan perhatian Beijing, yang melihat Taiwan sebagai wilayahnya.
Penganalisis menyatakan kemenangan Cik Takaichi akan membawa implikasi besar terhadap hubungan Jepun–China serta dasar keselamatan serantau.
Encik Ishiba, yang pernah dianggap orang luar dalam LDP, akhirnya mencapai jawatan tertinggi selepas percubaan kali kelima, berikutan skandal dana politik yang melanda parti. Namun sejak awal beliau berdepan kesukaran kerana kekurangan sokongan puak dalaman parti.
Kenaikan harga beras, inflasi dan kebangkitan parti populis yang menentang dasar pro-perbelanjaan kerajaan turut memburukkan kedudukannya. Kekalahan tiga kali berturut-turut dalam pilihan raya - Dewan Rendah pada Oktober 2024, Dewan Metropolitan Tokyo pada Jun 2025, dan Dewan Atasan pada Julai lalu menjadikan kedudukannya semakin goyah.
“Saya tidak terikat dengan jawatan ini. Saya selalu berkata keputusan akan dibuat pada masa yang sesuai. Kini masanya telah tiba,” kata Encik Ishiba. Beliau menambah, keputusan ini juga dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump menandatangani perintah eksekutif mengenai perjanjian perdagangan dengan Jepun pada 4 September, yang disifatkannya sebagai “krisis nasional” yang telah selesai.
Dengan pengunduran Encik Ishiba, LDP terpaksa mengadakan pilihan raya kecemasan presiden parti. Media Jepun melaporkan perincian tarikh dan kaedah pemilihan mungkin diumumkan seawal 9 September. Pemenang akan berkhidmat hingga tamat penggal Encik Ishiba pada September 2027.
Penganalisis politik Encik Mikitaka Masuyama dari Institut Siswazah Kebangsaan bagi Kajian Dasar berkata, “Walaupun secara rasmi puak-puak dalam LDP sudah dibubarkan, realitinya ahli parlimen masih beroperasi mengikut kelompok. Sukar bagi Ishiba untuk mengatasi mekanisme ini.”
Dr Toru Yoshida dari Universiti Doshisha menambah: “Jika Ishiba tidak meletakkan jawatan, parti pasti akan menggulingkannya melalui pilihan raya khas, yang akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan merosakkan reputasinya.”
Walaupun terpaksa berundur, Encik Ishiba menegaskan beliau berharap LDP mampu bersatu. “LDP mesti menjadi parti yang benar-benar mewakili rakyat. Jika hilang kepercayaan, politik Jepun akan terdedah kepada populisme murahan. Saya semakin bimbang perkara itu akan berlaku,” katanya.
Beliau mengakui kegagalannya memulihkan keyakinan rakyat adalah “penyesalan terbesar”, namun tetap menyenaraikan pencapaiannya seperti meningkatkan gaji minimum, bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah, serta reformasi dasar pertanian.
Dalam pesanan terakhirnya, beliau menekankan keperluan memperkukuh pertahanan Jepun. “Apabila melihat pemimpin China, Russia dan Korea Utara berdiri bersama dalam perarakan tentera di Beijing baru-baru ini, saya tidak dapat menafikan kebimbangan bahawa persekitaran keselamatan kita akan menjadi lebih genting,” katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg