Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jepun bertarung padamkan kebakaran hutan terbesar dalam beberapa dekad

Mar 1, 2025 | 5:51 PM
Pemandangan dari udara menunjukkan kebakaran hutan di sebuah gunung di Ofunato, wilayah Iwate, timur laut Jepun, pada 28 Februari 2025.
Pemandangan dari udara menunjukkan kebakaran hutan di sebuah gunung di Ofunato, wilayah Iwate, timur laut Jepun, pada 28 Februari 2025. - Foto REUTERS

TOKYO: Jepun sedang berdepan kebakaran hutan terbesar dalam lebih tiga dekad pada 1 Mac, antara beberapa kebakaran yang telah meragut satu nyawa dan memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan setakat ini.

Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana, api di kawasan hutan Ofunato, dalam wilayah Iwate di utara negara itu, telah merebak ke kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar sejak kebakaran bermula pada 26 Februari.

“Kami masih menilai keluasan kawasan yang terjejas, tetapi ini adalah kebakaran terbesar sejak kebakaran hutan pada 1992 di Kushiro, Hokkaido,” kata jurucakap agensi itu kepada AFP.

Kebakaran di Kushiro sebelum ini memusnahkan 1,030 hektar hutan, menjadikannya rekod terdahulu yang kini diatasi oleh kebakaran di Ofunato.

Seramai 1,700 anggota bomba dari seluruh negara telah dikerahkan bagi memadam kebakaran itu, menurut agensi berkenaan.

Rakaman udara yang disiarkan penyiar awam NHK menunjukkan kepulan asap putih menyelubungi seluruh kawasan pergunungan.

Pada Khamis 27 Februari, polis tempatan menemui mayat seorang mangsa yang terbakar.

Sehingga 28 Februari, lebih 1,000 penduduk berhampiran telah dipindahkan, manakala lebih 80 bangunan mengalami kerosakan, menurut pihak berkuasa bandar Ofunato.

Punca kebakaran masih belum diketahui.

Dua lagi kebakaran turut berlaku pada 1 Mac – satu di Yamanashi dan satu lagi di wilayah Iwate.

Jepun merekodkan kira-kira 1,300 kebakaran hutan sepanjang 2023, dengan kejadian tertumpu antara Februari hingga April apabila cuaca menjadi lebih kering dan angin bertiup kencang.

Menurut data kerajaan, jumlah kebakaran hutan telah berkurangan sejak kemuncaknya pada 1970-an.

Ofunato hanya menerima 2.5 milimeter (mm) hujan pada Februari 2025 – jauh lebih rendah daripada rekod terdahulu bagi Februari iaitu 4.4 mm pada 1967.

Tahun lalu (2024) juga mencatat suhu paling panas dalam sejarah Jepun, selari dengan trend global yang dipacu oleh pelepasan gas rumah hijau yang semakin meningkat, sekali gus mempercepatkan kesan perubahan iklim. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg