LOS ANGELES: Sebuah masjid di Los Angeles musnah selepas dijilat api kebakaran hutan yang turut memusnahkan banyak lagi bangunan dan rumah.
Masjid Al-Taqwa di Altadena, California, yang ditubuhkan pada akhir 1970-an, telah menjadi pusat kerohanian dan komuniti yang penting bagi pengikut Islam di sana.
Menurut laporan The National, Masjid Al-Taqwa yang dikenali dengan suasananya yang mesra itu boleh menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa.
Bahkan ketika masjid ditutup, jemaah masih boleh mengakses masjid untuk bersolat – dengan mendapatkan kunci daripada sebuah restoran halal berdekatan.
Kemusnahan Masjid Al-Taqwa telah memberikan kesan mendalam kepada masyarakat di kawasan tersebut.
Imam masjid tersebut, Encik Junaid Aasi meluahkan rasa sedih bersama masyarakat di sana dengan berkata:
“Ia telah musnah sepenuhnya. Tiada apa yang tinggal. Tiada tiang. Tiada pintu.”
Masjid ini bukan sekadar tempat ibadah; ia adalah rumah kedua bagi ramai orang, yang memupuk rasa bermasyarakat dan perpaduan.
“Jemaah mengimbau peranan masjid ini semasa Ramadan, di mana selepas sebulan berpuasa, solat, dan refleksi, ramai yang berkumpul untuk berkongsi juadah, memperkukuh hubungan sesama mereka,” katanya.
Kebakaran ini bukan sahaja memusnahkan masjid tetapi turut memberi kesan kepada kehidupan peribadi ahli jemaah.
Sehingga sepuluh jemaah tetap Masjid Al-Taqwa telah kehilangan rumah akibat Kebakaran Eaton, yang telah memusnahkan sekitar 5,700 hektar kawasan di Pergunungan San Gabriel.
Usaha untuk membina semula masjid telah dimulakan, dengan inisiatif pengumpulan dana melebihi $100,000.
Bagi solat Jumaat, Encik Junaid telah menyediakan senarai masjid berdekatan supaya jemaah dapat meneruskan amalan ibadat masing-masing.
Terdapat juga cadangan untuk mendapatkan ruang bagi perhimpunan masyarakat semasa Ramadan, mengekalkan tradisi yang diamalkan terus di sana.
Kehilangan Masjid Al-Taqwa adalah sebahagian daripada kemusnahan besar yang disebabkan oleh kebakaran hutan di kawasan Los Angeles.
Menurut laporan terkini, sekurang-kurangnya 24 orang telah terkorban akibat kebakaran itu, dan lebih daripada 12,000 struktur telah musnah, termasuk rumah ibadat lain seperti gereja dan sinagog.
Kehancuran ini telah menyebabkan perpindahan besar-besaran penduduk dan rasa kehilangan yang mendalam bagi pelbagai masyarakat beragama.
Dalam menghadapi dugaan ini, masyarakat di sana menunjukkan ketabahan dan perpaduan.
Mereka cuba menunjukkan komitmen untuk membina semula masjid dan menyokong mereka yang terjejas.
Dengan usaha pengumpulan dana yang berterusan dan perancangan untuk pembinaan semula, masyarakat di sana kekal optimis dengan masa depan mereka, bertekad untuk memulihkan tempat ibadat yang dihargai dan meneruskan tradisi mereka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg