Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jepun lepaskan air loji nuklear Fukushima di sebalik bantahan

Aug 24, 2023 | 2:30 PM
BANTAHAN BESAR-BESARAN: Orang ramai memegang sepanduk dalam protes menentang pelepasan air yang disyaki masih mengandungi radioaktif dari stesen kuasa nuklear di Fukushima.
BANTAHAN BESAR-BESARAN: Orang ramai memegang sepanduk dalam protes menentang pelepasan air yang disyaki masih mengandungi radioaktif dari stesen kuasa nuklear di Fukushima. - Foto EPA-EFE

NAMIE (Jepun): Para jurutera di loji nuklear Fukushima dijangka mula melepas air sisa pada Khamis dalam operasi yang ditegaskan Jepun selamat tetapi telah menimbulkan kemarahan China dan menimbulkan keresahan di negara berjiran.

Pelepasan air sekitar 540 kolam renang Olimpik ke Lautan Pasifik itu merupakan langkah besar dalam memastikan tapak yang masih sangat berbahaya itu selamat 12 tahun selepas berlakunya salah satu kemalangan nuklear terburuk di dunia.

Laporan media berkata operasi pelepasan air melalui paip sejauh satu kilometer ke laut itu akan bermula sekitar 1 petang Khamis jika cuaca dan keadaan laut mengizinkan.

Para pegawai dari badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang telah mengesahkan rancangan itu, akan berada di tapak loji, manakala para pekerja dari syarikat loji Tepco akan ditugaskan untuk mengambil contoh air dan ikan.

Tiga daripada reaktor di loji Fukushima-Daiichi di timur laut Jepun itu runtuh berikutan gempa bumi dan tsunami besar yang mengorbankan sekitar 18,000 orang pada 2011.

Sejak itu Tepco telah mengumpulkan 1.34 juta meter padu air yang tercemar dari rektor penyejuk yang rosak, digabungkan dengan air bawah tanah dan air hujan yang telah meresap masuk.

Tepco menegaskan bahawa semua unsur radioaktif telah ditapis kecuali tritium, yang tahapnya tidak berbahaya dan lebih rendah daripada yang dilepaskan oleh loji kuasa nuklear yang beroperasi, termasuk di China.

“Apabila dilepaskan ke Lautan Pasifik, tritium dilarutkan lagi ke dalam air laut yang luas dan akan cepat mencapai tahap radioaktiviti yang tidak ketara,” kata Encik Tom Scott dari Universiti Bristol di England.

“Justeru, ia menimbulkan risiko yang sangat kecil dan risiko itu sendiri berkurangan disebabkan oleh separuh hayat radioaktif yang agak pendek... bermakna jumlah tritium (dan oleh itu risiko) terus berkurangan,” ujarnya.

Namun, tidak semua orang yakin, dengan kumpulan alam sekitar Greenpeace menyatakan bahawa proses penapisan adalah lemah dan sebaliknya China dan Russia mencadangkan air itu diwapkan dan dilepaskan ke atmosfera.

China telah menuduh Jepun menganggap Lautan Pasifik seperti ‘pembetung’ dan bahkan sebelum pelepasan air, Beijing mengharamkan import makanan dari 10 daripada 47 wilayah Jepun dan mengenakan pemeriksaan radiasi. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg