Jepun rampas bot nelayan China dijangka tingkatkan tekanan diplomatik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jepun rampas bot nelayan China dijangka tingkatkan tekanan diplomatik

Feb 13, 2026 | 12:47 PM

Jepun rampas bot nelayan China dijangka tingkatkan tekanan diplomatik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pada November lalu, Perdana Menteri Sanae Takaichi mencetuskan kemarahan China apabila beliau menyatakan bahawa Jepun mungkin akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya Beijing cuba menawan Taiwan dengan kekerasan.
Pada November lalu, Perdana Menteri Sanae Takaichi mencetuskan kemarahan China apabila beliau menyatakan bahawa Jepun mungkin akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya Beijing cuba menawan Taiwan dengan kekerasan. - Foto REUTERS

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun menahan sebuah bot nelayan China dan menangkap tekongnya dalam satu insiden di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu berhampiran Nagasaki, tindakan yang dijangka menambah ketegangan dengan Beijing.

Agensi Perikanan Jepun dalam satu kenyataan berkata bot berkenaan diarahkan berhenti untuk pemeriksaan oleh pegawai perikanan, namun gagal mematuhi arahan dan cuba melarikan diri.
“Kapten kapal itu diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, tetapi tidak mematuhi arahan dan melarikan diri,” menurut kenyataan tersebut. “Sehubungan itu, kapten kapal ditangkap pada hari yang sama.”

Insiden berlaku kira-kira 89.4 batu nautika atau 165 kilometer di selatan barat daya pulau Meshima, dalam perairan ZEE Jepun. Ini merupakan kali pertama sejak 2022 pihak berkuasa Jepun merampas bot nelayan China. Tekong yang ditahan ialah lelaki warga China berusia 47 tahun. Seramai 11 kru berada di atas kapal ketika kejadian.

Hubungan antara Jepun dan China sering tegang berhubung pertikaian wilayah, khususnya di sekitar Kepulauan Senkaku di Laut China Timur, yang dikenali sebagai Diaoyu oleh Beijing. Pada 2010, penahanan tekong China berhampiran kepulauan tersebut mencetuskan krisis diplomatik besar antara kedua-dua negara.

Walaupun kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi rapat, ketegangan politik kembali memuncak susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada November lalu.

Cik Takaichi menyatakan bahawa Jepun mungkin campur tangan secara ketenteraan sekiranya China menggunakan kekerasan untuk menawan Taiwan. Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Beijing.
China sejak sekian lama menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan bagi mencapai apa yang disebut sebagai “penyatuan semula”.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dalam wawancara bersama AFP memberi amaran bahawa sekiranya Beijing berjaya menguasai Taiwan, ia akan menjadi lebih agresif di rantau Indo-Pasifik. “Negara seterusnya yang berdepan ancaman ialah Jepun, Filipina dan negara-negara lain di rantau Indo-Pasifik,” katanya.

Selepas kenyataan Cik Takaichi mengenai Taiwan, Beijing memanggil duta Jepun untuk menyatakan bantahan rasmi, mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyat China yang mahu melawat Jepun, serta mengadakan latihan udara bersama Russia.

Pada Disember, jet pejuang J-15 dari kapal induk China, Liaoning, dilaporkan dua kali mengunci radar ke arah pesawat Jepun di perairan antarabangsa berhampiran Okinawa, menurut pihak Tokyo.
China juga memperketat kawalan eksport barangan berpotensi kegunaan ketenteraan ke Jepun, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan mineral nadir bumi yang penting bagi industri teknologi tinggi.

Beijing turut dilaporkan menggantung import makanan laut dari Jepun. Malah, dua panda terakhir yang dipinjamkan kepada Jepun dipulangkan semula ke China bulan lalu, satu langkah yang dilihat simbolik dalam suasana hubungan yang tegang.

Cik Takaichi, 64 tahun, sebelum ini dikenali sebagai pemimpin berpendirian tegas terhadap China sebelum dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada Oktober lalu.

Beliau memenangi kemenangan besar dalam pilihan raya mengejut 8 Februari lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk memimpin Jepun dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pada 9 Februari, Cik Takaichi berkata beliau terbuka kepada dialog dengan China. “Saya terbuka kepada pelbagai bentuk dialog dengan China,” katanya.

Namun jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, menyatakan bahawa dialog mesti berasaskan saling menghormati. “Mengumumkan dialog dengan mulut, tetapi pada masa sama terlibat dalam konfrontasi, tiada siapa akan menerima dialog seperti itu,” katanya dalam sidang media tetap pada 10 Februari.

Beliau menambah bahawa sekiranya Jepun benar-benar mahu membangunkan hubungan strategik yang saling menguntungkan, Tokyo perlu menarik balik kenyataan Takaichi mengenai Taiwan.
“Jika Jepun benar-benar mahu membangunkan hubungan strategik dan saling menguntungkan dengan China, caranya jelas dan mudah: tarik balik kenyataan salah mengenai Taiwan,” tegasnya.

Penahanan bot nelayan China ini berlaku dalam suasana hubungan dua hala yang semakin tegang. Walaupun insiden melibatkan penguatkuasaan perikanan, ia berpotensi menjadi satu lagi titik panas dalam hubungan Jepun-China yang kini diuji oleh isu keselamatan serantau dan pertikaian geopolitik yang lebih luas. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg