Takaichi terima mandat besar, catat kemenangan bersejarah pilihan raya Jepun
Takaichi terima mandat besar, catat kemenangan bersejarah pilihan raya Jepun
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, mencatat kemenangan politik besar apabila perjudian politiknya mengadakan pilihan raya kilat hanya 110 hari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun membuahkan hasil, dengan pengundi memberikan mandat kukuh terhadap agenda ekonomi, keselamatan dan pendirian tegasnya terhadap China serta imigresen.
Menurut penyiar awam Jepun, NHK, Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Cik Takaichi mencatat kemenangan besar dengan 316 kerusi daripada keseluruhan 465 kerusi Dewan Perwakilan, iaitu dewan rendah Parlimen Jepun.
Keputusan itu memberikan LDP majoriti dua pertiga yang jarang berlaku, kali pertama sejak Perang Dunia Kedua sesebuah parti politik Jepun mencapai tahap tersebut.
Dengan sokongan rakan gabungan, Parti Inovasi Jepun (Ishin), kerajaan Takaichi kini menguasai 352 kerusi, sekali gus membolehkan beliau meluluskan undang-undang walaupun berdepan tentangan Dewan Negara, di mana gabungan pemerintah tidak mempunyai majoriti.
“Pilihan raya ini melibatkan perubahan dasar yang besar, khususnya peralihan ketara dalam dasar ekonomi dan fiskal serta pengukuhan dasar keselamatan,” kata Cik Takaichi dalam temu bual televisyen ketika keputusan diumumkan.
“Dasar-dasar ini menerima banyak tentangan. Jika rakyat telah memberikan sokongan, maka kami perlu melaksanakannya dengan sepenuh kekuatan,” katanya.
Kemenangan itu menandakan kebangkitan semula LDP, parti yang memerintah Jepun hampir sepanjang era pascaperang tetapi mengalami kekalahan berturut-turut kebelakangan ini sehingga kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen di bawah kepimpinan pendahulunya, Encik Shigeru Ishiba.
Cik Takaichi berkata beliau mengadakan pilihan raya kilat kerana merasakan adalah tidak wajar meneruskan pemerintahan tanpa mandat jelas rakyat.
“Saya merasakan satu ketidakselesaan sejak awal mengenai legitimasi kerajaan ini,” katanya kepada NHK selepas kemenangan diumumkan.
Reaksi pasaran kewangan bercampur.
Saham Jepun melonjak pada 9 Februari dengan indeks Nikkei 225 meningkat kira-kira 5 peratus pada awal dagangan, mencerminkan sokongan pelabur terhadap dasar fiskal berkembang seperti yang dijanjikan.
Namun, pada masa sama, janji pemotongan cukai dan perbelanjaan besar kerajaan turut menimbulkan kebimbangan mengenai hutang awam Jepun, yang merupakan antara tertinggi dalam kalangan ekonomi maju.
“Takaichi hampir tidak berdepan sekatan politik dalaman,” kata Encik Tobias Harris, pengasas firma penasihat Japan Foresight.
“Cabaran sebenar beliau adalah faktor luaran, termasuk pasaran kewangan, Washington dan Beijing,” katanya.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, secara terbuka menyokong Cik Takaichi sepanjang kempen.
Dalam satu hantaran media sosial, Encik Trump mengucapkan tahniah dan berkata keputusan Cik Takaichi mengadakan pilihan raya adalah “langkah berani dan bijak yang membuahkan hasil besar”.
Encik Trump dijadual menerima kunjungan Cik Takaichi di Rumah Putih pada Mac.
Menjawab sokongan itu, Cik Takaichi menulis di platform X bahawa “potensi perikatan kita tidak terbatas”.
Di peringkat serantau, kemenangan Cik Takaichi dilihat sebagai mesej jelas bahawa Jepun tidak akan berundur berdepan tekanan China.
Ketegangan dengan Beijing meningkat selepas Cik Takaichi secara terbuka menyatakan Jepun boleh campur tangan secara ketenteraan sekiranya China menyerang Taiwan, sebuah pulau demokratik yang dituntut Beijing sebagai wilayahnya.
China bertindak balas dengan beberapa langkah balas, termasuk mengehadkan import makanan laut Jepun, mengekang pelancongan ke Jepun dan menyekat eksport mineral kritikal.
Penyokong Cik Takaichi berharap mandat besar ini akan mengukuhkan pendirian Tokyo.
“Jepun perlu kekal tegas tanpa berkompromi,” kata Cik Aoi Nakamura, 22 tahun, seorang pelajar universiti di Tokyo yang mengundi LDP.
Kemenangan Cik Takaichi turut didorong oleh sokongan kuat golongan muda, yang melihatnya sebagai pemimpin berkarisma dan berterus terang.
Fenomena digelar ‘sanakatsu’ atau ‘Sanae-mania’ tercetus, dengan barangan peribadi seperti beg tangan dan pen merah jambu yang digunakan beliau di Parlimen menjadi rebutan.
Walaupun cuaca buruk dengan salji tebal menyebabkan beberapa pusat mengundi dibuka lewat atau ditutup awal, kadar keluar mengundi dianggarkan sekitar 56 peratus, lebih tinggi berbanding 54 peratus dalam pilihan raya 2024.
“Beliau memberikan hala tuju yang jelas, seolah-olah seluruh negara bergerak ke hadapan secara bersama,” kata Encik Kazushige Cho, 54 tahun, seorang guru di wilayah Niigata yang sanggup mengharungi cuaca sejuk untuk mengundi.
Penganalisis politik bebas, Encik Shigenobu Tamura, berkata perdana menteri itu perlu berhati-hati dalam mengurus Parlimen.
“Beliau mesti sentiasa kekal merendah hati. Jika tidak, keadaan boleh menjadi sukar,” katanya.
Dengan mandat besar ini, Cik Takaichi dijangka mempercepat agenda konservatifnya termasuk memperkukuh perbelanjaan pertahanan, melaksanakan undang-undang antipengintipan dan berpotensi meminda perlembagaan ketenteraan Jepun. – Agensi berita.

