Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jepun umum kadar radioaktif dalam air dekat Fukushima tidak lebihi had

Aug 27, 2023 | 1:01 PM
PARAS KEKAL RENDAH: Jepun mengesahkan bahawa paras radioaktif dalam air laut dekat loji nuklear Fukushima Daiichi ini tetap tidak melebihi had selepas air sisa dilepaskan dari loji itu ke Lautan Pasifik.
PARAS KEKAL RENDAH: Jepun mengesahkan bahawa paras radioaktif dalam air laut dekat loji nuklear Fukushima Daiichi ini tetap tidak melebihi had selepas air sisa dilepaskan dari loji itu ke Lautan Pasifik. - Foto REUTERS

TOKYO: Kementerian alam sekitar Jepun berkata pada Ahad bahawa ujian air laut dekat loji nuklear Fukushima tidak mengesan sebarang unsur radioaktif.

Ini susuli beberapa hari selepas jurutera di loji nuklear itu mula melepaskan air sisa yang telah dirawat. Air itu telah digunakan untuk menyejukkan reaktor nuklear loji itu.

Langkah Jepun melepaskan air sisa – yang jumlahnya sama dengan 540 kolam renang bersaiz Olimpik – ke Lautan Pasifik itu merupakan langkah besar dalam memastikan tapak yang masih sangat berbahaya itu selamat 12 tahun selepas berlakunya salah satu kemalangan nuklear terburuk di dunia.

Bagaimanapun, langkah itu juga telah menimbulkan kemarahan China dan menimbulkan keresahan di kalangan negara jiran.

Ini juga telah mendorong China melarang import produk makanan laut dari Jepun.

Ujian sampel yang diambil kementerian alam sekitar Jepun dari 11 tempat dekat loji nuklear itu mendapati bahawa paras isotope tritium radioaktif tidak melebihi had.

Tambahnya, ini bermakna air laut itu tidak mempunyai kesan negatif pada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Kementerian alam sekitar Jepun itu akan menerbitkan hasil ujian setiap minggu, sekurang-kurangnya bagi tiga bulan akan datang.

Mereka kemudian akan menyemak kekerapan penerbitan hasil ujian tersebut, menurut seorang pegawai.

Agensi perikanan Jepun berkata pada Sabtu bahawa ujian ikan dalam laut di kawasan loji itu tidak mengesan kehadiran tritium.

Pengendali loji, Tokyo Electric Power Co (Tepco), berkata pada Jumaat bahawa air laut dekat loji itu mengandungi kurang 10 becquerel tritium bagi setiap liter.

Jumlah itu di bawah paras had 700 becquerel yang ditetapkannya sendiri dan jauh lebih rendah berbanding had 10,000 becquerel yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi air yang selamat untuk diminum.

Tepco berkata pada Ahad bahawa mereka tidak mengesan sebarang perubahan yang ketara.

Tiga daripada reaktor di loji Fukushima-Daiichi di timur laut Jepun itu runtuh berikutan gempa bumi dan tsunami besar yang mengorbankan sekitar 18,000 orang pada 2011.

Sejak itu, Tepco telah mengumpulkan 1.34 juta meter padu air yang tercemar daripada reaktor penyejuk yang rosak, digabungkan dengan air bawah tanah dan air hujan yang telah meresap masuk.

Tepco menegaskan bahawa semua unsur radioaktif telah ditapis kecuali tritium, yang tahapnya tidak berbahaya dan lebih rendah daripada yang dilepaskan oleh loji kuasa nuklear yang beroperasi, termasuk di China. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg