TOKYO: Jepun akan mewajibkan semua imej dan video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam kempen pilihan raya dilabel dengan jelas mulai Mac tahun depan, sebagai sebahagian daripada langkah baharu bagi mengekang penyebaran maklumat palsu dan melindungi integriti proses demokrasi.

Peraturan baharu itu diluluskan Parlimen Jepun pada 13 Julai dan akan berkuat kuasa pada Mac 2027.

Di bawah peraturan berkenaan, pengguna Internet dan platform media sosial turut dilarang menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan mengenai calon yang bertanding dalam pilihan raya.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Jepun, Encik Yoshimasa Hayashi, berkata langkah itu penting bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara adil.

“Kami percaya langkah ini amat penting daripada sudut memastikan keadilan dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media pada 14 Jun.

Peraturan baharu itu diperkenalkan selepas timbul dakwaan bahawa kandungan yang dijana menggunakan AI digunakan untuk memburukkan imej beberapa calon dalam pemilihan kepimpinan Parti Liberal Demokrat (LDP) pada 2025 serta pilihan raya Parlimen yang berlangsung Februari lalu.

Bagaimanapun, berbeza dengan undang-undang media sosial yang diperkenalkan Kesatuan Eropah (EU), pihak berkuasa Jepun tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan denda atau hukuman terhadap individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan undang-undang baharu berkenaan.

Akhbar perniagaan Nikkei melaporkan Jepun mengambil pendekatan lebih berhati-hati bagi mengelakkan pertikaian seperti yang berlaku antara Amerika Syarikat dan EU berhubung penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Digital yang mengenakan denda kepada syarikat teknologi.

Menurut agensi berita Kyodo, kerajaan Jepun akan mengeluarkan garis panduan kepada pengendali platform media sosial mengenai kaedah mematuhi peraturan baharu itu.

Platform berkenaan juga dikehendaki mengemukakan laporan tahunan mengenai pelaksanaan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan pematuhan.

Pegawai kerajaan Jepun berkata ketika merangka undang-undang itu, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keperluan melindungi kesucian proses pilihan raya daripada manipulasi kandungan digital.

Penggunaan AI bagi menghasilkan imej, video dan audio palsu atau deepfake semakin menjadi kebimbangan di banyak negara kerana teknologi itu boleh digunakan untuk mempengaruhi persepsi pengundi dan menyebarkan maklumat yang tidak benar semasa tempoh berkempen. - Agensi berita