Kemenangan besar Takaichi dan masa depan politik Jepun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan besar Takaichi dan masa depan politik Jepun

Feb 19, 2026 | 5:30 AM

Kemenangan besar Takaichi dan masa depan politik Jepun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cik Takaichi
Gaya kepimpinan Cik Sanae Takaichi menampilkan kombinasi retorik nasionalis dan sentuhan populis yang dekat dengan generasi muda. Beliau bercakap secara terus terang mengenai kos sara hidup, cukai dan imigresen. - Foto REUTERS

TOKYO: Musim panas lalu, Parti Demokratik Liberal (LDP), tunjang politik Jepun sejak 1955, berdepan krisis paling serius dalam sejarah moden parti itu.

Skandal pembiayaan politik dan kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya tempatan serta nasional memaksa perdana menteri ketika itu meletakkan jawatan.

Buat pertama kali dalam beberapa dekad, LDP kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada era dominasi parti itu telah berakhir.

Namun, kebangkitan berlaku secara dramatik apabila Cik Sanae Takaichi, 64 tahun, muncul sebagai pemimpin baru dan mencatat sejarah sebagai wanita pertama menjadi perdana menteri Jepun pada Oktober lalu.

Hanya 110 hari selepas mengambil alih, beliau membawa LDP meraih kemenangan terbesar dalam sejarah 71 tahun parti itu.

Dalam pilihan raya mengejut 8 Februari lalu, LDP memperoleh 316 kerusi berbanding 198 sebelum ini, sekali gus meraih majoriti dua pertiga dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 kerusi.

Mandat besar itu memberi Cik Takaichi ruang politik luas untuk melaksanakan agenda tegasnya, termasuk pendekatan lebih keras terhadap imigresen dan pendirian lebih lantang berdepan pengaruh ketenteraan serta ekonomi China.

Pada sidang media 9 Februari, Cik Takaichi berkata kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju pentadbirannya.

“Semalam, rakyat memberi dorongan kuat kepada saya untuk memastikan perubahan dasar ini dilaksanakan walau apa pun cabarannya,” katanya.

“Saya amat berterima kasih,” tambah beliau.

Gaya kepimpinan Cik Takaichi menampilkan kombinasi retorik nasionalis dan sentuhan populis yang dekat dengan generasi muda.

Beliau bercakap secara terus terang mengenai kos sara hidup, cukai dan imigresen, malah sering menggunakan rujukan budaya popular seperti ‘manga’, pasukan besbol Hanshin Tigers dan kumpulan rok B’z untuk mendekati pengundi muda.

Beliau juga mahir memanfaatkan media sosial.

Satu hantaran sepanjang lebih 1,200 aksara di platform X mengenai rutin cutinya, termasuk panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat dan aktiviti memasak untuk suami, dilaporkan ditonton lebih 26 juta kali.

Pendekatan ini membina imej pemimpin yang bukan sahaja tegas, tetapi juga mudah didekati.

Cik Sheila A. Smith dari Council on Foreign Relations menyifatkan Cik Takaichi kini berada dalam kedudukan dominan.

“Beliau benar-benar berada di kerusi pemandu. Beliau boleh menentukan agenda legislatif dan memutuskan keutamaan,” katanya.

Namun, kemenangan besar itu bukan tanpa cabaran.

Cik Smith menegaskan bahawa kemenangan tersebut lebih mencerminkan sokongan terhadap Cik Takaichi secara peribadi berbanding pemulihan imej LDP secara menyeluruh.

“Ini kemenangan Takaichi, tetapi tidak semestinya kemenangan LDP,” katanya.

Masalah asas parti itu masih belum diselesaikan sepenuhnya, termasuk isu ketelusan pembiayaan politik dan persepsi bahawa kuasa masih dikuasai generasi lama.

Walaupun kadar sokongan terhadap Cik Takaichi melebihi 60 peratus, hampir dua kali ganda berbanding parti, kepercayaan jangka panjang terhadap institusi parti masih diuji.

Dari segi dasar, Cik Takaichi bertindak pantas menangani kebimbangan kos sara hidup dengan menghapuskan cukai petrol tahun lalu dan memberi isyarat kemungkinan menggantung cukai penggunaan ke atas makanan.

Langkah ini dilihat sebagai respons langsung terhadap tekanan ekonomi yang dirasai isi rumah Jepun.

Dalam isu imigresen, beliau mengambil pendekatan lebih tegas susulan gelombang sentimen antiwarga asing.

Kerajaannya merangka cadangan mewajibkan pemohon taraf pemastautin mengikuti kelas bahasa Jepun serta menuntut pembeli hartanah mendedahkan kewarganegaraan mereka.

Langkah ini selari dengan mesej nasionalis beliau tentang “Jepun yang kuat dan makmur”.

Namun, agenda keselamatan nasional berpotensi menjadi medan pertembungan utama.

Cik Takaichi menyatakan bahawa sebarang serangan China terhadap Taiwan boleh mencetuskan respons ketenteraan Tokyo.

Kenyataan itu menimbulkan reaksi keras Beijing.

Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Lin Jian, berkata Jepun perlu “mengikuti jalan pembangunan aman dan tidak mengulangi kesilapan lampau,” serta menggesa Takaichi menarik balik kenyataan berhubung Taiwan.

Tekanan juga datang dari Amerika.

Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan mendesak Jepun meningkatkan perbelanjaan ketenteraan dan menyumbang pelaburan besar dalam projek Amerika.

Hubungan keselamatan Jepun-Amerika kekal kukuh, namun rundingan kewangan dan strategik dijangka menjadi lebih rumit.

Di peringkat domestik, Cik Takaichi masih perlu membina sokongan di Dewan Penasihat, dewan atasan Parlimen, di mana LDP belum memiliki majoriti.

Jika beliau berhasrat meminda Perlembagaan bagi memperluas peranan ketenteraan Jepun, kerjasama merentas parti menjadi keperluan.

Pengamat menyatakan kebangkitan Cik Takaichi memperlihatkan bagaimana krisis politik boleh melahirkan pemimpin dengan mandat baharu dan naratif segar.

Beliau memanfaatkan gabungan nasionalisme, kecekapan komunikasi digital dan tindak balas pantas terhadap isu ekonomi untuk membina sokongan meluas.

Namun, persoalan lebih besar ialah sama ada kemenangan besar ini mampu diterjemahkan kepada reformasi institusi yang mendalam.

Tanpa pembaharuan dalaman dalam LDP dan pembinaan kepercayaan jangka panjang, mandat besar itu mungkin bersifat sementara.

Buat masa ini, Cik Takaichi jelas bertekad memanfaatkan momentum tersebut.

“Itulah sebabnya parti akan bersatu, menguatkan tekad dan menunaikan janji kepada rakyat,” katanya.

“Saya akan memimpin dan memastikan ia terlaksana,” tambahnya.

Kemenangan ini menandakan bab baharu dalam politik Jepun.

Namun seperti yang sering berlaku dalam sistem politik negara itu, ujian sebenar bukanlah meraih kuasa, sebaliknya mengekalkan kestabilan dan kepercayaan dalam jangka panjang di tengah tekanan domestik dan geopolitik yang semakin kompleks. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg