PM Jepun berdepan kontroversi katalog hadiah mewah kepada AP pemerintah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Jepun berdepan kontroversi katalog hadiah mewah kepada AP pemerintah

Feb 25, 2026 | 4:33 PM

PM Jepun berdepan kontroversi katalog hadiah mewah kepada AP pemerintah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
PM Jepun, kontroversi, hadiah mewah
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menghadiri sesi pleno Dewan Perwakilan di bangunan parlimen di Tokyo pada 25 Februari 2026. - Foto AFP

TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berdepan tekanan politik selepas didedahkan beliau mengedarkan katalog hadiah kepada ratusan ahli parlimen daripada Parti Demokratik Liberal (LDP) susulan kemenangan besar parti itu dalam pilihan raya baru-baru ini.

Lebih 300 ahli parlimen dilaporkan diberi peluang memilih barangan daripada katalog berkenaan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka dalam pilihan raya yang mencabar.

Dalam kenyataan di platform X, Cik Takaichi menegaskan pemberian itu bukan menggunakan wang rakyat.
“Ini adalah ungkapan penghargaan atas kejayaan dalam pilihan raya yang sangat sukar,” katanya.
“Tiada wang pembayar cukai digunakan.”

Ketika menjawab soalan di parlimen, beliau berkata kos setiap hadiah termasuk penghantaran dan cukai — sekitar 30,000 yen (sekitar S$270) seorang dan dibayar menggunakan dana politik daripada cawangan LDP di Nara yang dipimpinnya.

Beliau turut menyatakan harapan hadiah tersebut memberi manfaat kepada tugas wakil rakyat.
“Saya berharap hadiah ini dapat membantu mereka dalam kerja sebagai penggubal undang-undang,” katanya.

Undang-undang pembiayaan politik Jepun melarang individu memberi sumbangan kepada calon awam, namun parti politik dan cawangannya dibenarkan menyalurkan dana.

Pendedahan itu mengingatkan kembali skandal dana politik pada 2023 yang menjejaskan reputasi LDP dan membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ketika itu, Encik Fumio Kishida. Kontroversi tersebut turut menyumbang kepada kemerosotan sokongan pengundi terhadap pemerintah pada 2025.

Laporan media tempatan menyatakan katalog hadiah berkenaan berasal daripada rangkaian gedung terkenal Kintetsu Department Store. Pelanggan biasanya membuat bayaran awal dan penerima memilih hadiah seperti basikal, makanan premium atau penginapan hotel mewah.

Ketua pakatan pembangkang, Encik Junya Ogawa, menyifatkan perkembangan itu berpotensi menjejaskan kepercayaan awam. “Ini boleh membuat orang berkata, ‘Perdana Menteri Takaichi juga sama?’” katanya.
“Beliau perlu dipertanggungjawabkan secara serius.”

Pemerhati politik berkata isu ini sensitif kerana rakyat Jepun semakin peka terhadap integriti pembiayaan politik selepas beberapa kontroversi sebelum ini.

Walaupun pemberian hadiah mempunyai tempat dalam budaya sosial Jepun sebagai tanda penghargaan, garis antara adab sosial dan kepentingan politik sering menjadi perdebatan apabila melibatkan pemimpin awam.

Kontroversi serupa pernah berlaku apabila bekas perdana menteri Encik Shigeru Ishiba dikritik kerana didakwa memberikan sijil hadiah bernilai 100,000 yen kepada ahli parlimen baharu, walaupun menggunakan wang peribadi.

Cik Takaichi, yang baru mengukuhkan kedudukan politiknya selepas kemenangan pilihan raya, kini perlu meyakinkan rakyat bahawa tindakannya mematuhi undang-undang dan etika politik. Beliau menegaskan pemberian tersebut bertujuan menghargai usaha wakil rakyat dan bukan ganjaran politik.

Namun penganalisis berpendapat isu ini boleh memberi kesan kepada persepsi awam terhadap komitmen kerajaan terhadap reformasi integriti, terutama selepas beberapa tahun skandal dana politik.

Buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan pendirian bahawa tiada pelanggaran undang-undang berlaku, tetapi tekanan politik dijangka berterusan apabila pembangkang menuntut penjelasan lebih terperinci.
Kontroversi ini sekali lagi menonjolkan betapa sensitifnya isu pembiayaan politik di Jepun, di mana kepercayaan awam sering bergantung kepada ketelusan pemimpin negara. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg