Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu dek kebakaran hutan masih selubungi Sumatera, Batam
Sumatera Utara arah pembelajaran dari rumah untuk semua peringkat sekolah
Jerebu dek kebakaran hutan masih selubungi Sumatera, Batam
JAKARTA: Kualiti udara di Batam bertambah buruk pada 18 Oktober selepas jerebu daripada kebakaran hutan dan tanah tiba di tanah besar Pulau Sumatera.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengisytiharkan kualiti udara di pulau itu “tidak sihat”.
Sementara itu, Sumatera Utara mengarahkan pembelajaran dari rumah untuk semua peringkat sekolah mulai 16 Oktober kerana jerebu menyelubungi semua kawasan di wilayah itu.
Sebuah pesawat pembenihan awan juga dipindahkan ke Lampung untuk membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Riau.
Ketua perkhidmatan maklumat di Stesen Meteorologi Hang Nadim BMKG di Batam, Encik Suratman, berkata jarak penglihatan merosot mendadak kepada hanya 1.4 hingga 1.9 kilometer di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, lalu menyebabkan penerbangan tertangguh.
Jarak penglihatan hanya 50 hingga 100 meter di kawasan Batam Center, manakala di perairan terbuka, ia mencecah kira-kira 400 meter.
Jerebu tebal itu juga menghalang pemandangan ke arah ufuk Singapura di Marina Bay Sands, yang biasanya jelas kelihatan dari Harbour Bay dan kawasan pesisir pantai Batam.
BMKG menggesa orang ramai, terutamanya kanak-kanak dan warga emas, mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup untuk melindungi kesihatan pernafasan.
Gabenor Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution, berkata wilayah itu memutuskan untuk melaksanakan pembelajaran dari rumah selepas diselubungi jerebu beberapa hari kebelakangan ini.
“Jerebu daripada kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan kualiti udara di seluruh wilayah Sumatera Utara, justeru kita memerlukan perlindungan untuk mencegah masalah kesihatan kepada orang ramai, termasuk pelajar,” kata Encik Bobby.
“Semua pengetua sekolah mesti melaksanakan pembelajaran dari rumah supaya pelajar masih boleh belajar walaupun berada di rumah,” ujarnya.
Beliau berkata pentadbiran wilayah telah mencuba operasi pengubahsuaian cuaca untuk mencetuskan hujan dan menyapu jerebu, seperti di daerah Samosir, dan akan diteruskan di kawasan lain.
“Kami juga telah berkerjasama dengan pentadbiran wilayah Sumatera Selatan mengenai pengendalian jerebu dengan menggunakan teknologi untuk mengurangkan jerebu,” tambahnya.
Pada mulanya, kebakaran itu dikaitkan dengan musim kemarau panjang yang disebabkan fenomena yang digelar ‘Godzilla El Nino’.
Namun, laporan kemudian dari lapangan mendapati banyak kebakaran sebenarnya dibakar dengan sengaja untuk memberi ruang bagi ladang kelapa sawit.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh kegagalan pentadbiran Encik Prabowo bertindak memadamkan kebakaran itu, kerana semua peruntukan telah disalurkan kepada program makanan berkhasiat percuma yang diuruskan dengan buruk.
Keengganan pemerintah menghukum syarikat dan individu yang membakar hutan dan tanah turut memburukkan keadaan, kerana minyak sawit mentah dianggap komoditi strategik nasional.
Penduduk di pelbagai wilayah di Pulau Kalimantan dan bahkan Pulau Papua turut melaporkan jerebu yang disebabkan kebakaran hutan.
Orang ramai di Malaysia dan Singapura meluahkan kemarahan dalam hantaran media sosial dan menuntut pemerintah mereka mengambil tindakan. – Agensi berita.