Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu Indonesia semakin meluas, kini sampai ke Filipina
Brunei turut terjejas, pakar beri amaran pencemaran mungkin turut merebak ke Thailand, Kemboja dan Vietnam
JAKARTA: Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia semakin meluas merentasi Asia Tenggara sehingga sampai ke Filipina, mencetuskan amaran kesihatan di beberapa bandar utama ketika pakar memberi amaran pencemaran itu mungkin turut merebak ke Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Asap daripada kebakaran besar, khususnya di Kalimantan, telah dibawa angin merentasi Laut China Selatan sehingga menjejas kualiti udara di beberapa bahagian Filipina.
Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli Filipina (DENR) berkata pada 2 September bahawa keadaan di Metro Manila menunjukkan sedikit peningkatan selepas pencemaran udara sehari sebelumnya mencapai paras sangat tidak sihat di beberapa kawasan.
Namun, perubahan arah angin menyebabkan jerebu kini bergerak ke kawasan lain termasuk Visayas dan Mindanao.
Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti Alam Sekitar DENR, Encik Jundy Del Socorro, berkata tujuh kawasan di Metro Manila pada awalnya mencatat paras pencemaran yang “tidak sihat” bagi golongan sensitif, termasuk di Las Pinas, Makati, Malabon, Paranaque, Taguig serta Katipunan dan Commonwealth di Quezon City.
Menjelang 2 petang, kesemua 18 stesen pemantauan di Metro Manila bagaimanapun mencatat paras zarah halus PM2.5 pada tahap baik atau sederhana.
Menurut DENR, perubahan arah angin dan cuaca lebih panas membantu menyuraikan bahan pencemar di ibu kota.
Pada masa sama, keadaan udara mula merosot di kawasan lain, termasuk Talisay City di Cebu dan Cagayan de Oro di Mindanao.
DENR berkata berdasarkan data Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC), asap bergerak dari arah barat daya merentasi bahagian barat dan tengah Filipina.
“Jerebu yang diperhatikan mungkin berkaitan asap dan jerebu rentas sempadan daripada kebakaran yang berlaku di Kalimantan, Indonesia, yang mungkin dibawa ke Filipina oleh angin semasa,” kata DENR.
Satu laporan oleh ASMPH Center for Research and Innovation dan rangkaian Udara Bersih Metro Manila (BMM) Manila pula mendapati jerebu dari kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan menyebabkan kualiti udara Metro Manila mencapai paras “sangat tidak sihat” antara 30 Ogos dengan 2 September.
Pada satu ketika, paras pencemaran dilaporkan lebih empat kali ganda daripada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Keadaan itu mendorong Quezon City, kawasan paling ramai penduduk di Metro Manila, menggantung kelas secara bersemuka dan mengarahkan sekolah awam serta swasta beralih kepada pembelajaran dari rumah sehingga keadaan bertambah baik.
Selain Metro Manila, kemerosotan kualiti udara turut dikesan di Central Luzon, Calabarzon, Mimaropa dan Central Visayas.
Pakar memberi amaran masalah itu mungkin belum mencapai kemuncaknya.
Saintis kanan Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus (CAMS), Encik Mark Parrington, berkata ramalan menunjukkan asap dari Indonesia berpotensi bergerak lebih jauh ke utara dan menjejas selatan Thailand, Kemboja serta Vietnam.
“Jika pelepasan daripada kebakaran terus meningkat, seperti yang dijangka sepanjang September hingga Oktober, kesan asap dan kemerosotan kualiti udara boleh berterusan selama beberapa minggu di seluruh rantau ini,” katanya.
Data CAMS menganggarkan kebakaran di Indonesia sepanjang Ogos dan September menghasilkan kira-kira 46 megatan karbon, paras tertinggi bagi tempoh sama sejak 2003.
Daripada jumlah itu, kira-kira 38 megatan berpunca daripada kebakaran di Kalimantan sahaja.
Jumlah keseluruhan pelepasan karbon tersebut dianggarkan menyamai pelepasan tahunan kira-kira 45 loji janakuasa arang batu.
Krisis jerebu rentas sempadan mula dikesan pada awal Ogos apabila Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) mengesahkan asap kebakaran dari Kalimantan Barat telah memasuki Sarawak.
Sejak itu, keadaan semakin buruk apabila kawasan kebakaran terus bertambah.
Menurut Kementerian Kehutanan Indonesia, lebih 200,000 hektar hutan dan tanah terbakar antara Januari dengan akhir Julai, dengan kira-kira 100,000 hektar musnah pada Julai sahaja.
Kebakaran dikaitkan dengan kegiatan pembukaan tanah bagi pertanian, selain keadaan El Nino yang menyebabkan musim kemarau lebih kering.
Malaysia merupakan antara negara paling teruk terjejas.
Pada 2 September, Kuching dilaporkan mencatat kualiti udara pada paras berbahaya, sehingga disenaraikan oleh syarikat pemantauan udara IQAir sebagai bandar utama dengan pencemaran udara paling buruk di dunia pada petang itu.
Malaysia merancang menjalankan operasi pembenihan awan antara 3 dengan 5 September bagi meningkatkan hujan, terutama di Sarawak.
Keadaan jerebu turut menyebabkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching dipindahkan ke dalam bangunan.
Brunei juga mengeluarkan nasihat kesihatan selepas angin barat daya membawa asap dari Kalimantan ke negara itu.
Di Bandar Seri Begawan, kepekatan PM2.5 pada 2 September dilaporkan sekitar 13 kali lebih tinggi daripada paras yang disarankan WHO.
Singapura turut memantau perkembangan itu.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran mengenai kemungkinan jerebu memasuki Singapura dalam beberapa minggu akan datang berikutan cuaca lebih kering dan peningkatan titik panas di rantau ini.
Menteri Kehutanan Indonesia, Encik Raja Juli Antoni, berkata usaha memadamkan kebakaran menunjukkan perkembangan positif, tetapi pihak berkuasa tidak boleh leka.
“Ini bukan alasan untuk kita berasa selesa,” katanya.
“September adalah fasa penting untuk kita meningkatkan kewaspadaan sepenuhnya dan memperkukuh penyelarasan usaha memadamkan kebakaran.” - Agensi berita
