Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu kebakaran Indonesia berisiko merebak ke Singapura, Malaysia dan Brunei
JJAKARTA: Asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Sumatera dan Kalimantan kini bergerak ke arah Selat Melaka dan Laut Natuna, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan menjejas Singapura, Malaysia dan Brunei.
Ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) bagi 29 dan 30 Ogos menunjukkan bahan pencemar udara halus PM2.5 daripada kebakaran bergerak ke arah barat laut.
Tiupan angin berpotensi membawa asap dan bahan pencemar itu ke tiga negara jiran berkenaan sekiranya keadaan cuaca berterusan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pencegahan Bencana (BNPB), Encik Berton Panjaitan, berkata keadaan jerebu masih serius di beberapa kawasan di Kalimantan.
Jarak penglihatan di tiga wilayah utama yang terjejas di Kalimantan hanya sekitar satu hingga 1.5 kilometer, berbanding antara 2.4 dengan lima kilometer di wilayah terjejas di Sumatera.
Kualiti udara di beberapa kawasan Kalimantan turut mencapai tahap berbahaya.
Sehingga 4.41 petang pada 30 Ogos, Indeks Standard Pencemar Udara (ISPU) mencecah 877 di Katingan, Kalimantan Tengah, diikuti 720 di Pontianak Tenggara, Kalimantan Barat, dan 715 di Barito Selatan Sanggu, Kalimantan Tengah.
“Apabila kualiti udara mencapai tahap tidak sihat atau berbahaya, kami sentiasa menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan kegiatan di luar rumah.
“Jika mereka perlu keluar, gunakan pelitup,” kata Encik Berton.
Jumlah kawasan titik panas atau ‘hotspot’ turut meningkat dengan ketara di beberapa bahagian Kalimantan.
Kalimantan Tengah mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 876 kepada 5,391 kawasan panas, manakala Kalimantan Barat meningkat 453 kepada 3,824.
Kalimantan Selatan pula mencatat penurunan sebanyak 279 kepada 1,077 kawasan panas.
Bagaimanapun, jumlah lokasi kebakaran sebenar berkurangan di ketiga-tiga wilayah itu, masing-masing kepada 56 di Kalimantan Tengah, 16 di Kalimantan Barat dan 52 di Kalimantan Selatan.
Di Sumatera, jumlah kawasan panas menurun kepada 804 di Sumatera Selatan dan 264 di Riau, tetapi meningkat kepada 135 di Jambi.
Menurut Encik Berton, seramai 48,667 anggota masih dikerahkan di enam wilayah yang diberi keutamaan bagi menangani kebakaran.
Mereka menjalankan pemantauan, memadam kebakaran serta operasi pembasahan dan penyejukan di kawasan yang sudah terbakar atau berisiko terbakar.
Sebanyak 53 pesawat turut dikerahkan, termasuk 34 bagi operasi pengeboman air dan 13 untuk rondaan.
Operasi memadam kebakaran juga dipertingkatkan di Papua Barat selepas 35 kawasan panas dan lapan lokasi kebakaran dikesan.
Kebakaran di wilayah itu dianggarkan menjejas kawasan seluas 2,496 hektar, dengan jarak penglihatan antara lima dengan sembilan kilometer.
Kesan kebakaran bukan sahaja menjejas kualiti udara dan meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan, malah mula memberi tekanan kepada hidupan liar.
Kementerian Kehutanan Indonesia menyelamatkan seekor orang utan Borneo (Pongo pygmaeus) jantan dewasa yang ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran sebuah ladang kelapa sawit milik penduduk di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, pada 30 Ogos.
Ketua Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Barat, Cik Murlan Dameria Pane, berkata kebakaran berhampiran habitat dan kawasan pergerakan hidupan liar boleh menjejas keadaan serta pergerakan haiwan.
“Kebakaran bukan sahaja memberi kesan kepada kawasan hutan, malah berpotensi memberi tekanan kepada hidupan liar di kawasan sekitarnya,” katanya.
Orang utan itu pernah dipantau oleh pasukan perlindungan orang utan Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) berhampiran lokasi berkenaan pada 16 Ogos dan ketika itu masih bergerak aktif.
Namun, apabila ditemukan semula pada pagi 30 Ogos, haiwan tersebut berada dalam keadaan lemah.
Pasukan penyelamat tiba selepas menerima laporan pada 7.27 pagi dan memberikan ubat bius secara terkawal sebelum haiwan itu diperiksa dan dipindahkan.
Doktor haiwan memberikan bantuan oksigen dan cecair melalui saluran intravena, selain mengambil sampel darah, najis dan bulu untuk pemeriksaan lanjut.
Pasukan itu turut mendapati kebakaran sedang berlaku di kawasan berhutan berhampiran ladang berkenaan sehingga menghasilkan asap, manakala tiada sumber air ditemukan berhampiran lokasi orang utan itu.
Pemeriksaan awal menunjukkan keadaan lemah haiwan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan kepada asap dan kekurangan air dalam badan, tetapi pemeriksaan lanjut diperlukan untuk menentukan punca sebenar.
Orang utan itu kemudian dibawa ke pusat pemulihan YIARI untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau mengendalikan sendiri orang utan dan hidupan liar lain yang keluar dari habitat akibat kebakaran.
Mereka dinasihatkan menjaga jarak, tidak mengganggu atau memberi makanan kepada haiwan berkenaan dan segera melaporkannya kepada BKSDA atau pegawai perhutanan tempatan. - Agensi berita
