Trump harap perjanjian dengan Iran selepas Teheran ancam perang serantau
Trump harap perjanjian dengan Iran selepas Teheran ancam perang serantau
WASHINGTON/TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyatakan harapan untuk mencapai perjanjian dengan Teheran selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran keras bahawa sebarang serangan ketenteraan oleh Washington akan mencetuskan perang serantau.
Encik Trump berkata pada 1 Februari bahawa beliau masih optimis rundingan dapat dicapai walaupun nada ancaman semakin meningkat di kedua-dua pihak.
Kenyataan itu dibuat selepas Encik Khamenei menyamakan gelombang protes antipemetintah di Iran sebagai satu “rampasan kuasa” dan memberi amaran bahawa Iran tidak akan berdiam diri sekiranya diserang.
“Orang Amerika harus tahu bahawa jika mereka memulakan perang, kali ini ia akan menjadi perang serantau,” kata Encik Khamenei dalam ucapan awamnya.
Beliau turut menyeru rakyat Iran supaya “tidak takut” dengan retorik keras Encik Trump.
Encik Khamenei menuduh penunjuk perasaan melakukan keganasan, termasuk menyerang polis, pusat pemerintah, kemudahan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), bank dan masjid, serta membakar Al-Quran.
“Ia seperti satu rampasan kuasa,” katanya, sambil menambah bahawa “rampasan kuasa itu telah dipatahkan”.
Ditanya mengenai amaran tersebut, Encik Trump membalas secara sinis.
“Sudah tentu dia akan berkata begitu...Harapnya kita boleh mencapai satu perjanjian. Jika kita tidak mencapai perjanjian, maka kita akan lihat sama ada dia betul atau tidak,” kata beliau.
Protes di Iran bermula sebagai luahan rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup yang tinggi, namun kemudiannya berkembang menjadi gerakan antipemerintah berskala besar.
Kepimpinan Iran menyifatkan protes itu sebagai rusuhan yang didalangi oleh Amerika dan Israel.
Dalam satu perkembangan yang meredakan ketegangan buat sementara waktu, pihak berkuasa Iran membebaskan seorang penunjuk perasaan berusia 26 tahun, Encik Erfan Soltani, dengan ikat jamin pada 1 Januari.
Pembebasan itu dibuat selepas Washington memberi amaran bahawa beliau berada di barisan hukuman mati dan mengancam tindakan ketenteraan sekiranya mana-mana penunjuk perasaan dihukum bunuh.
Encik Soltani ditahan pada Januari atas pertuduhan menyebarkan propaganda terhadap sistem Islam Iran dan bertindak menentang keselamatan negara.
Teheran bagaimanapun menafikan dakwaan Washington bahawa beliau akan dihukum mati, dengan menyatakan pertuduhan terhadapnya tidak membawa hukuman tersebut.
Di tengah-tengah ketegangan yang meningkat, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan “salah perkiraan” yang boleh mencetuskan konflik lebih besar.
Namun beliau berkata masih percaya Encik Trump “cukup bijak untuk membuat keputusan yang betul”.
“Kami telah kehilangan kepercayaan terhadap Amerika sebagai rakan rundingan,” kata Encik Araghchi, sambil menambah bahawa beberapa negara di rantau Asia Barat kini bertindak sebagai perantara untuk membina semula kepercayaan antara kedua-dua pihak.
“Saya melihat masih ada kemungkinan rundingan jika pasukan perunding Amerika benar-benar mengikuti apa yang dikatakan Presiden Trump, iaitu mencapai perjanjian yang adil dan saksama bagi memastikan tiada senjata nuklear,” katanya dalam wawancara bersama CNN.
Iran sebelum ini menegaskan kesediaannya untuk kembali ke meja rundingan nuklear, tetapi dengan syarat program peluru berpandu dan keupayaan pertahanannya tidak dijadikan agenda perbincangan.
Sementara itu, pemerintah Iran mengakui ribuan nyawa terkorban sepanjang tempoh protes.
Pada 1 Februari, pihak presiden menerbitkan senarai 2,986 nama daripada keseluruhan 3,117 individu yang dilaporkan maut dalam keganasan tersebut.
Pihak berkuasa berkata 131 lagi mangsa masih belum dikenal pasti dan butiran mereka akan diumumkan tidak lama lagi.
Pihak berkuasa Iran menegaskan kebanyakan korban terdiri daripada anggota keselamatan dan orang awam yang tidak bersalah, sambil menyalahkan keganasan itu kepada “tindakan pengganas”.
Pegawai IRGC, Encik Ahmad Vahidi, dipetik oleh agensi berita Mehr sebagai berkata bahawa “musuh” sedang berusaha mewujudkan “suasana perang”.
Namun, kenyataan itu bercanggah dengan nada yang lebih berhati-hati daripada Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Encik Ali Larijani, yang berkata pada 31 Januari bahawa “bertentangan dengan gembar-gembur perang media yang direka, susunan struktur untuk rundingan sedang bergerak ke hadapan”.
Encik Trump turut mengesahkan bahawa dialog sedang berlangsung, walaupun beliau enggan menarik balik ancaman ketenteraan.
“Kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya.
Presiden Trump sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa Iran akhirnya akan memilih perjanjian berkaitan program nuklear dan peluru berpandunya, berbanding berdepan tindakan ketenteraan.
Ketegangan ini turut mendorong peningkatan koordinasi ketenteraan Amerika dan Israel.
Pegawai Amerika memberitahu Reuters bahawa ketua tentera tertinggi kedua-dua negara telah mengadakan pertemuan tertutup di Pentagon pada 30 Januari, walaupun butiran perbincangan tidak didedahkan kepada umum.
Pertemuan itu melibatkan Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika, Jeneral Dan Caine, dan Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, Encik Eyal Zamir.
Ia berlaku ketika Washington meningkatkan kehadiran tentera laut dan sistem pertahanan udaranya di Asia Barat.
Pada Ahad, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, turut mengadakan pertemuan dengan Encik Zamir bagi menilai situasi keselamatan serantau dan tahap kesiapsiagaan operasi tentera Israel “untuk sebarang kemungkinan”. – Agensi berita.

