RAMALLAH: Perpecahan yang mendalam antara dua puak Palestin, Hamas dan Fatah, akan mengehadkan kemajuan dalam rundingan perdamaian pada Jun, berdasarkan pemerhatian lima sumber dalam kumpulan itu.
Tetapi pertemuan itu menyerlahkan bahawa kumpulan Hamas, berkemungkinan mengekalkan pengaruh selepas perang Israel di Gaza.
Rundingan antara Hamas dengan parti Fatah yang dipimpin Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, akan diadakan di China pada pertengahan Jun, kata pegawai daripada kedua-dua pihak.
Mereka mengikuti dua pusingan rundingan perdamaian baru-baru ini, satu di China dan satu lagi di Russia.
Kementerian Luar China enggan mengulas.
Pertemuan seterusnya akan diadakan di tengah-tengah percubaan oleh pengantara antarabangsa untuk mencapai perjanjian gencatan senjata bagi Jaluran Gaza, dengan salah satu perkara penting adalah rancangan “selanjutnya” – bagaimana wilayah itu akan ditadbir.
Dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh banyak negara Barat, Hamas telah diketepikan lama sebelum serangannya pada 7 Oktober yang membunuh lebih 1,400 orang di Israel, dengan lebih 250 tebusan diambil sebagai tebusan.
Pertemuan ahli politik Hamas dengan pegawai dari pihak Fatah yang mengawal politik Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel menunjukkan, matlamat kedua-dua kumpulan itu bagi memastikan wilayah Palestin ditadbir dengan baik selepas berakhirnya peperangan, ujar sumber yang biasa dengan perbualan di dalam Hamas.
Sumber itu, seperti pegawai lain yang tidak dinamakan, enggan dinamakan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk membincangkan perkara sensitif dengan media.
Hamas, yang memerintah Gaza sebelum perang, mengakui ia tidak boleh menjadi sebahagian daripada mana-mana pemerintah baru wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, apabila pertempuran di kawasan itu akhirnya berakhir, kata sumber itu.
Namun, ia mahu Fatah bersetuju dengan pentadbiran teknokratik baru untuk Tebing Barat dan Gaza, sebagai sebahagian daripada perjanjian politik yang lebih luas, kata sumber dan pegawai kanan Hamas, Encik Basim Naim.
“Kami bercakap mengenai perkongsian politik dan perpaduan politik, untuk menyusun semula entiti Palestin,” kata Encik Naim, yang menghadiri pusingan rundingan China sebelum ini, dalam satu temu bual.
“Sama ada Hamas berada dalam pemerintah atau di luarnya, itu bukan tuntutan utama pergerakan itu dan ia tidak melihatnya sebagai syarat untuk sebarang perdamaian,” katanya.
Encik Naim, seperti kebanyakan kepimpinan politik Hamas, beroperasi dalam buangan di luar Gaza.
Prospek Hamas bertahan sebagai pemain politik yang berpengaruh, adalah isu sulit bagi negara Barat.
Walaupun matlamat perang Gaza yang dilancarkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, untuk memusnahkan kumpulan yang disokong Iran, kebanyakan pemerhati bersetuju Hamas akan wujud dalam beberapa bentuk selepas gencatan senjata.
Cabang Ikhwanul Muslimin gerakan Hamas mempunyai jangkauan dan akar ideologi mendalam dalam masyarakat Palestin.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) menentang sebarang peranan Hamas dalam mentadbir Gaza selepas perang yang menyaksikan serangan Israel membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin, ujar Kementerian Kesihatan Gaza.
Namun, beberapa pegawai Amerika secara peribadi menyatakan keraguan akan keupayaan Israel menghapuskan kumpulan itu.
Seorang pegawai kanan Amerika berkata pada 14 Mei, Washington berpendapat tidak mungkin Israel boleh mencapai “kemenangan mutlak”.
Membunuh setiap anggota Hamas adalah tidak realistik dan bukan matlamat tentera Israel, tetapi memusnahkan Hamas sebagai pihak berkuasa pemerintahan adalah “objektif ketenteraan, yang boleh dicapai,” kata Encik Peter Lerner, jurucakap tentera Israel.
Negara Barat menyokong idea Gaza selepas perang dikendalikan oleh Penguasa Palestin (PA) yang telah dirombak, pentadbiran yang diketuai oleh Presiden Abbas yang mempunyai pemerintahan sendiri yang terhad ke atas kawasan Tebing Barat.
Berpangkalan di Ramallah, PA diiktiraf secara meluas di seluruh dunia sebagai mewakili rakyat Palestin dan menerima bantuan keselamatan daripada Amerika dan EU.
Rakyat Palestin bercita-cita menubuhkan sebuah negara di semua wilayah yang diduduki Israel dalam perang 1967, apabila Israel merampas Tebing Barat – termasuk Baitulmakdis Timur – dan Jaluran Gaza.
Perpecahan Hamas-Fatah merumitkan lagi matlamat. Puak-puak itu mempunyai pandangan yang sangat berbeza tentang strategi.
Fatah beriltizam berunding dengan Israel untuk mewujudkan sebuah negara merdeka, manakala Hamas menyokong perjuangan bersenjata dan tidak mengiktiraf Israel.
Piagam pengasas Hamas 1988 menggesa agar Israel dimusnahkan.
Pada 2017, Hamas berkata ia bersetuju dengan negara peralihan Palestin dalam sempadan sebelum perang 1967, walaupun ia masih menentang bagi mengiktiraf hak Israel untuk wujud.
Hamas telah mengulangi pendirian itu sejak meletusnya perang Gaza. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg