Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JI Indonesia isytihar pembubaran

Penganalisis beri amaran ideologi pengganas masih kekal bahaya, boleh ubah kepada gerakan gerila, bawah tanah
Jul 4, 2024 | 1:38 PM
Jemaah Islamiyah
Pemimpin kanan Jemaah Islamiyah Indonesia, Abu Rusdan (duduk), bersama anggota lain isytiharkan pada 30 Jun bahawa kumpulan pengganas itu telah dibubarkan - Foto TANGKAP LAYAR ARRAHMAH

Anggota utama kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia yang bertanggungjawab atas pelbagai serangan pengganas di Indonesia, mengumumkan pembubaran pertubuhan itu.

Dalam pengisytiharan menerusi video yang dibuat pada 30 Jun, pemimpin kanannya, Abu Rusdan, berkata bahawa majlis kanan JI dan pemimpin gabungan pondok-pondok pesantren kumpulan itu “telah bersetuju mengisytiharkan pembubaran JI dan kepulangannya ke pangkuan Indonesia”.

Video pengisytiharan pada 30 Jun itu telah diumumkan di laman web Islam tegar, Arrahmah, pada 2 Julai.

Abu Rusdan, seorang militan dan bekas pemimpin JI yang ditangkap di Bekasi pada September 2021, membuat kenyataan tersebut bersama tokoh penting lain, termasuk Para Wijayanto, salah seorang pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara yang ditangkap pada 2019 kerana merekrut militan dan mengumpul dana untuk Syria.

“Kami bersedia terlibat secara aktif dalam mempromosikan kemerdekaan (negara) agar Indonesia menjadi bangsa yang maju dan bermaruah,” katanya sambil melahirkan kesediaan pihaknya untuk mematuhi peraturan undang-undang.

Abu Rusdan juga menyatakan kesediaan menyelaraskan kurikulum pendidikan kumpulan itu dengan syariat Islam arus perdana dan menghapuskan kandungan melampau daripada kurikulum dan bahan pengajarannya.

Ditubuhkan pada 1993 oleh ulama Indonesia, Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir, JI – gabungan Asia Tenggara bagi pertubuhan militan Islam Al-Qaeda – mahu menubuhkan negara Islam konservatif di Asia Tenggara.

Abdullah meninggal dunia pada 1999, manakala Abu Bakar dipenjarakan pada 2011 kerana membiayai kem latihan militan di wilayah Aceh Indonesia dan dibebaskan pada 2021 selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman 15 tahun.

Kumpulan itu diharamkan pada 2008 selepas serangan maut di Filipina dan Indonesia, termasuk pengeboman di pulau percutian Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.

Namun, tindakan tegas dan kewaspadaan pihak berkuasa telah melemahkan JI, yang tidak melakukan serangan besar sejak lebih sedekad.

Namun, penganalisis keganasan mengingatkan bahawa di sebalik pengisytiharan terkini oleh kumpulan itu, ancaman keselamatan tetap kekal, lapor The Straits Times.

Dr Noor Huda Ismail, Felow Pelawat, di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, percaya pengisytiharan itu adalah hasil “perbincangan berterusan dalam kalangan elit JI seperti Para Wijayanto dan Abu Rusdan di dalam penjara”.

Namun, beliau memberi amaran tentang kumpulan pecahan JI yang berpotensi boleh menggunakan keganasan sebagai cara menunjukkan komitmen mereka terhadap jihad.

Pakar keganasan dari Universiti Indonesia, Encik Ridlwan Habib, menjelaskan, walaupun gabungan JI semakin lemah, ideologi radikal mereka masih wujud dan berselindung di sebalik penyamaran dan strategi gerila bawah tanah yang rumit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg