WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah disahkan menghidap barah prostat “agresif” yang telah merebak ke tulangnya dan sedang menimbangkan pilihan rawatan, kata pejabatnya pada 18 Mei.
Demokrat berusia 82 tahun itu yang kehilangan anaknya, Encik Beau Biden, akibat barah pada 2015 – disahkan menghidap barah pada 16 Mei selepas mengalami masalah berkaitan kencing dan penemuan nodul pada prostat, menurut kenyataan daripada pejabatnya.
“Meskipun ini mewakili bentuk penyakit yang lebih agresif, barah nampaknya sensitif terhadap hormon, yang membolehkan pengurusan berkesan. Encik Biden dan keluarganya sedang meninjau pilihan rawatan dengan doktornya,” sambung kenyataan itu.
Presiden Donald Trump, 78 tahun, berkata beliau “sedih” dengan berita itu.
“Kami mendoakan Joe cepat sembuh dan berjaya,” kata Encik Trump dari parti Republikan menerusi platformnya Truth Social.
“Joe adalah seorang pejuang,” kata mantan naib presiden Cik Kamala Harris dalam catatan di platform media sosial X.
Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2024 sebagai calon Demokrat dalam pertempuran menentang Encik Trump selepas Encik Biden menarik diri.
“Saya tahu beliau akan menghadapi cabaran ini dengan kekuatan, ketabahan dan keyakinan yang sama dalam meniti kehidupan dan kepimpinannya. Kami berharap beliau pulih sepenuhnya dan cepat sembuh,” ujar Cik Harris.
Barah prostat adalah barah yang paling biasa pada lelaki, dengan satu daripada lapan lelaki di Amerika didiagnosis menghidapinya sepanjang hayat mereka, menurut Persatuan Barah Amerika.
Walaupun ia boleh dirawat jika dikesan lebih awal, barah prostat ialah punca kedua utama kematian kanser pada lelaki, kata persatuan itu.
Terapi hormon adalah rawatan biasa yang boleh mengecutkan tumor dan melambatkan pertumbuhan barah tetapi bukan penawar.
Menurut persatuan itu, barah Encik Biden didapati mempunyai “skor Gleason 9 (Gred Kumpulan 5)”.
Barah prostat yang kelihatan “sangat tidak normal” diberi penarafan tertinggi, Gred 5, menurut persatuan itu lagi.
Jika skor meningkat kepada 10, ia menunjukkan keseriusan penyakit Encik Biden.
Beliau melepaskan jawatannya pada Januari 2025 sebagai Presiden Amerika yang paling lama berkhidmat dalam sejarah dan sering dirundung soalan, termasuk daripada pengundi Demokrat, mengenai tahap kesihatan dan umurnya yang semakin senja.
Beliau ketika itu dengan pantas menjawab: “Perhatikan saya.”
Tetapi pada Julai 2024, beliau terpaksa menggugurkan bidaan pemilihan semulanya selepas perdebatan teruk dengan Encik Trump. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg