WEST PALM BEACH (Florida): Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menyalahkan pesaingnya Cik Kamala Harris dan Presiden Joe Biden selepas beliau menjadi sasaran dalam percubaan kali kedua membunuhnya, dengan berkata “retorik” mereka mengenainya yang membahayakan demokrasi seharusnya dipersalahkan.
Tindakan cepat calon presiden Republikan itu mempolitikkan kejadian pada 15 September yang menyaksikan seorang lelaki didakwa merancang untuk melepaskan tembakan ketika beliau bermain golf di Florida dijangka meningkatkan ketegangan menjelang pilihan raya presiden Amerika pada 5 November.
Kedua-dua Encik Biden dan Cik Harris telah mengecam percubaan membunuh Encik Trump itu.
Suspek yang dikenal pasti oleh polis sebagai Ryan Wesley Routh, 58 tahun, telah ditahan sejurus selepas dikesan bersembunyi dengan selaras senapang di pinggir padang golf Encik Trump di West Palm Beach.
Pada 16 September, Routh didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki senjata api secara haram. Dia kelihatan tenang dan tidak bercakap, selain berkata “ya” kepada soalan daripada hakim.
Lebih banyak pertuduhan dijangka dihadapinya, dengan Biro Siasatan Federal (FBI) menyiasat apa yang dikatakan “sebagai cubaan membunuh”.
Pada 13 Julai, Encik Trump ditembak dalam serangan di perhimpunan Pennsylvania yang turut menyaksikan seorang penyokongnya terbunuh dan suspek lelaki bersenjata mati ditembak.
Encik Trump – yang tidak cedera dalam kejadian terbaru itu – memberitahu Fox News Digital pada 16 September bahawa retorik daripada Encik Biden dan Cik Harris “menyebabkan saya ditembak, sedangkan saya adalah orang yang akan menyelamatkan negara”.
Calon presiden Republikan berusia 78 tahun itu merujuk kepada komen yang kerap dilemparkan ke atasnya bahawa beliau menimbulkan “ancaman kepada demokrasi”.
Encik Biden dan Cik Harris menyifatkan mantan presiden itu sebagai berbahaya kerana keengganannya untuk mengaku kalah kepada Encik Biden pada pilihan raya 2020 dan kempennya untuk mengklasifikasikan kumpulan penyokongnya yang menyerbu Kongres pada 2021 sebagai penentang politik.
Encik Trump – dalam mesej pilihan rayanya terhadap Cik Harris yang dibina berdasarkan amaran tentang “pencerobohan” pendatang dan mendakwa bahawa Amerika adalah “negara yang gagal” dan hanya beliau boleh menyelamatkan – berkata pesaingnya “menggunakan bahasa yang sangat menghasut”.
Di Rumah Putih, Encik Biden menyatakan Perkhidmatan Rahsia “memerlukan lebih banyak bantuan dan Kongres harus bertindak balas terhadap keperluan mereka”.
Perkhidmatan perlindungan itu mendapat kritikan teruk selepas kejadian tembakan yang melukakan telinga Encik Trump di Butler, Pennsylvania.
Sebagai calon parti utama dan mantan presiden, Encik Trump mendapat perlindungan keselamatan tetapi ia adalah lebih kecil berbanding sumber yang diberikan kepada Presiden negara itu.
Ini bermakna pada 15 September, pengawal peribadi tidak dapat mengepung seluruh padang golf, kata polis ketua Palm Beach County, Encik Ric Bradshaw.
Sementara itu, suspek mempunyai banyak rekod jenayah dan taasub dengan perjuangan Ukraine.
Dalam masa yang sama, Perkhidmatan Rahsia pada 16 September, mengesahkan bahawa mereka menyedari satu hantaran kontroversi yang dibuat oleh pemilik wadah X yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, di platform media sosial itu.
Encik Musk menulis: “Dan tiada siapa pun yang cuba untuk membunuh Biden/Kamala,” disertai dengan emoji wajah terangkat kening.
Beliau membuat hantaran tersebut selepas berita mengenai penangkapan seorang lelaki yang disyaki merancang untuk membunuh Encik Trump.
Bagaimanapun, hantaran itu segera menerima kritikan daripada pengguna berhaluan kiri dan sayap kanan politik.
Mereka bimbang kata-kata Encik Musk yang ditujukan kepada hampir 200 juta pengikutnya mungkin mencetuskan keganasan terhadap Encik Biden dan Cik Harris.
Walaupun hantaran tersebut telah dipadamkan, Perkhidmatan Rahsia menyatakan bahawa mereka memantau ancaman yang berkaitan dengan individu di bawah perlindungan mereka.
Dalam satu kenyataan, jurucakap agensi tersebut berkata: “Perkhidmatan Rahsia menyedari hantaran media sosial yang dibuat oleh Elon Musk dan seperti biasa, kami tidak akan mengulas perkara yang melibatkan risikan perlindungan.”
Encik Musk kemudian menambah dalam satu hantaran susulan bahawa niatnya adalah untuk bergurau dan bukan bertujuan serius.
“Satu pelajaran yang saya timba ialah hanya kerana sesuatu yang saya katakan buat orang ketawa, tidak bermakna ia akan sama kelakarnya apabila diposkan di X,” tulisnya.
Rumah Putih turut mengecam hantaran Encik Musk, menyifatkan bahawa keganasan tidak boleh dijadikan bahan senda.
“Keganasan harus dikecam, bukan digalakkan atau dijadikan bahan gurauan. Retorik sebegini sangat tidak bertanggungjawab,” kata jurucakap Rumah Putih, Encik Andrew Bates. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg