Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Biden bincang isu Ukraine, Timur Tengah di Rumah Putih

Nov 14, 2024 | 2:48 PM
Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Encik Donald Trump (kiri) dan Presiden Joe Biden, telah membincangkan isu Ukraine dan Timur Tengah dalam suasana mesra di Rumah Putih pada 13 November.
Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Encik Donald Trump (kiri) dan Presiden Joe Biden, telah membincangkan isu Ukraine dan Timur Tengah dalam suasana mesra di Rumah Putih pada 13 November. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih Encik Donald Trump dan seteru politik lamanya, Presiden Joe Biden, telah bincangkan isu Ukraine dan Timur Tengah di Rumah Putih pada 13 November.

Pertemuan dalam suasana penuh mesra itu menunjukkan peralihan kuasa yang lancar walaupun terdapat perselisihan faham yang mendalam mengenai dasar.

Kedua-dua pemimpin Amerika itu duduk bersebelahan sebelum rancak berbincang di Pejabat Oval Rumah Putih.

“Mereka bincangkan isu keselamatan negara dan dasar domestik penting yang dihadapi negara dan dunia,” kata jurucakap Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre kepada pemberita.

“Ia sememangnya sangat mesra, sangat baik, dan substantif,” tambahnya sambil memberitahu pertemuan itu berlangsung kira-kira dua jam.

Encik Biden berhujah bahawa sokongan terhadap Ukraine adalah baik untuk keselamatan negara Amerika kerana Eropah yang kuat dan stabil akan menghalang Amerika daripada diseret ke dalam peperangan, kata penasihat keselamatan negara, Encik Jake Sullivan kepada wartawan.

Encik Trump berjanji untuk menamatkan perang Russia-Ukraine dengan cepat tanpa memberitahu bagaimana.

Beliau memberitahu New York Post bahawa mereka berdua banyak “bercakap tentang Timur Tengah. Saya ingin tahu pandangannya tentang di mana kami berada,” kata Encik Trump.

Encik Biden dari parti Demokrat, menewaskan Encik Trump dalam pilihan raya 2020 tetapi terkeluar daripada perlumbaan 2024 pada Julai selepas perdebatan buruk dengan Encik Trump, seorang calon Republikan. Naib Presiden Cik Kamala Harris juga kalah kepada Encik Trump.

Mereka juga berbincang tentang peralihan kuasa yang lancar.

“Tidak sabar untuk melakukan peralihan yang lancar, seperti yang kami katakan untuk memastikan anda mendapat kemudahan, apa yang anda perlukan,” kata Encik Biden.

Encik Trump, yang akan mengambil alih jawatan Presiden pada 20 Januari, berkata: “Saya sangat menghargai peralihan yang begitu lancar, Joe!”

Dalam pada itu, anggota pasukan peralihan Encik Trump sedang merangka senarai pegawai tentera yang akan dipecat, kata dua sumber, dalam apa yang akan menjadi rombakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Pentagon.

Perancangan pemecatan itu adalah pada peringkat awal selepas kemenangan Encik Trump pada 5 November dan boleh berubah apabila pentadbirannya terbentuk, kata sumber itu.

Salah satu sumber mempersoalkan kemungkinan berlakunya rombakan besar-besaran di Pentagon.

Tidak jelas sama ada Encik Trump sendiri akan menyokong rancangan itu, walaupun pernah mengecam pemimpin pertahanan yang telah mengkritiknya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg