JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menekankan kepentingan menyuarakan aspirasi dalam lingkungan sistem demokrasi Indonesia dan melahirkan harapan penunjuk perasaan yang ditahan akan dibebaskan tidak lama lagi.
Dalam satu kenyataan maya yang disiarkan oleh Sekretariat Presiden pada 27 Ogos di Jakarta, Encik Jokowi berkata sebuah negara demokrasi menghargai pendapat umum.
“Saya amat menghargainya; Saya amat menghormatinya,” tekan beliau, sambil menggesa agar pendapat sebegitu dinyatakan secara teratur dan aman, lapor agensi berita Antara.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai respons kepada demonstrasi baru-baru ini, yang menentang rancangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk meminda Undang-Undang Pilihan Raya Ketua Wilayah (Pilkada), yang membawa kepada penahanan beberapa penunjuk perasaan.
“Saya berharap penunjuk perasaan yang ditahan akan dibebaskan segera,” katanya.
Presiden Jokowi turut memuji tindakan pantas DPR, atau Parlimen, membatalkan rancangannya mengubah had umur minimum untuk bertanding dalam pilihan raya, yang dilihat memihak kepada anak bongsu Presiden Jokowi, Encik Kaesang Pangarep.
Presiden Jokowi juga berharap isu-isu mendesak yang lain, termasuk Undang-Undang Perampasan Aset, yang penting dalam usaha pencegahan rasuah, akan ditangani tidak lama lagi oleh DPR.
Pada 20 Ogos 2024, Mahkamah Perlembagaan (MK) mengarahkan had umur bagi calon ketua wilayah – 30 tahun bagi jawatan gabenor dan 25 tahun bagi ketua daerah dan mayor – dikira dari hari pendaftaran sebagai calon pemilihan.
Bagaimanapun pada 21 Ogos, Badan Perundangan DPR dan pemerintah meluluskan semakan undang-undang itu, yang sebahagiannya tidak mematuhi ketetapan MK.
Tindakan DPR itu mencetuskan kekecohan orang ramai, yang memuncak dengan tunjuk perasaan di beberapa bandar.
Bantahan di Jakarta tertumpu di Kompleks Parlimen, tempat ribuan pelajar dan orang awam berkumpul untuk membantah.
Berikutan pembatalan semakan Pilkada, Encik Kaesang tidak layak bertanding bagi jawatan gabenor Jawa Tengah atas faktor umur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg