Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepimpinan 100 hari Prabowo: Berbeza daripada legasi Jokowi

Hampir 81% rakyat Indonesia berpuas hati dengan kepimpinan Prabowo. Lebih tinggi daripada rekod Jokowi dalam tempoh yang sama
Feb 10, 2025 | 5:30 AM
Presiden Prabowo Subianto ketika meninjau skim makanan berkhasiat percuma bernilai berbilion dolar yang dilancarkan untuk kanak-kanak sekolah dan wanita hamil di Rawamangun, Jakarta Timur.
Presiden Prabowo Subianto ketika meninjau skim makanan berkhasiat percuma bernilai berbilion dolar yang dilancarkan untuk kanak-kanak sekolah dan wanita hamil di Rawamangun, Jakarta Timur. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JAKARTA: Tinjauan terkini yang dijalankan oleh Litbang Kompas menunjukkan bahawa hampir 81 peratus rakyat Indonesia berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Prabowo Subianto selepas 100 hari memegang jawatan.

Ini adalah pencapaian luar biasa, malah lebih tinggi daripada rekod yang dicatatkan oleh mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, dalam tempoh yang sama.

Namun, dengan populariti yang semakin meningkat, pentadbiran Encik Prabowo mempunyai peluang besar untuk memastikan ia kekal di landasan yang tepat.

Angka-angka kepuasan yang tinggi itu mencerminkan permulaan yang menjanjikan, dan dengan perancangan serta pelaksanaan berkesan, cabaran yang mendatang dijangka dapat diatasi dengan lebih baik.

Populariti Prabowo

Tinjauan Litbang Kompas yang dijalankan antara 4 dengan10 Januari 2025 itu mendapati bahawa 80.9 peratus responden menyatakan rasa puas hati terhadap pentadbiran Encik Prabowo, dengan 94.1 peratus menganggapnya mempunyai imej positif sebagai presiden.

Lebih menarik, angka itu bukan sahaja mengatasi 65.1 peratus puas hati yang pernah diterima oleh Encik Jokowi dalam tempoh 100 hari pertama pada 2014, malah ia turut mencerminkan sokongan kuat terhadap dasar populis yang diperkenalkan oleh Encik Prabowo.

Encik Probowo memegang jawatan itu pada Oktober 2024 selepas memenangi pilihan raya Presiden dengan majoriti besar, bersama pasangannya Encik Gibran Rakabuming Raka, iaitu anak mantan presiden Encik Jokowi.

Peratusan itu sekali gus itu memaparkan sokongan tinggi yang diterimanya selepas berjaya melaksanakan beberapa janji ketika berkempen.

Menurut Timbalan Setiausaha Akhbar dan Media di Sekretariat Presiden, Encik Yusuf Permana, keputusan itu membuktikan bahawa rakyat menyokong langkah yang telah diambil oleh pemerintah untuk melaksanakan agenda nasional.

“Hasil tinjauan ini mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap langkah pemerintah dalam melaksanakan agenda utama negara,” kata Encik Yusuf dalam satu kenyataan rasmi.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa pentadbiran tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian itu, sebaliknya harus terus bekerja keras untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Rasa puas hati rakyat ini adalah satu motivasi dan juga tanggungjawab. Pemerintah mesti terus bekerja dengan lebih pintar, lebih kuat dan lebih inovatif,” tambahnya.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada populariti tinggi Encik Prabowo ialah program makanan berkhasiat percuma yang dilancarkan pada 6 Januari 2025.

Program itu bertujuan menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah dan wanita hamil, dengan sasaran mencapai 83 juta penerima menjelang akhir 2025.

Program itu menjadi simbol utama pentadbiran Encik Prabowo dalam usaha menangani kekurangan khasiat kanak-kanak dan pada masa yang sama merangsang ekonomi tempatan.

Namun, walaupun program itu mendapat sokongan besar, pelaksanaannya masih menghadapi banyak cabaran.

Setakat ini, program tersebut baru mencapai 650,000 pelajar, jauh daripada sasaran 3 juta pelajar menjelang April.

Penganalisis politik dari Indikator Politik Indonesia, Encik Dedi Wahyudi, berkata:

“Program makanan percuma ini adalah langkah berani, tetapi cabaran utamanya adalah memastikan keberkesanan pelaksanaan dan mengelakkan pembaziran.”

Strategi Fiskal Ekonomi dan Gaya Kepimpinan

Selain program makanan percuma, strategi fiskal pentadbiran Encik Prabowo turut menjadi tumpuan.

Salah satu langkah yang mendapat pujian adalah keputusan untuk mengehadkan kenaikan cukai nilai tambah (VAT) kepada barangan dan perkhidmatan mewah sahaja.

Ini membantu mengurangkan beban rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi dalam jangka pendek.

Namun, di sebalik kejayaan itu, beberapa pakar ekonomi memberi amaran bahawa peningkatan hutang untuk membiayai program sosial boleh menjejas reputasi fiskal Indonesia.

Seorang penganalisis ekonomi dari Celios, sebuah badan kajian ekonomi dan undang-undang, Encik Faisal Basri, menegaskan bahawa pemerintah perlu berhati-hati dalam mengimbangi antara dasar populis dengan kestabilan fiskal jangka panjang.

“Indonesia baru sahaja berjaya mengawal defisit fiskal dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sebarang perbelanjaan tambahan yang besar perlu disertai dengan sumber pendapatan yang mampan,” ujarnya.

Meskipun Encik Prabowo sering menyatakan komitmen untuk meneruskan legasi Jokowi, gaya kepimpinannya jelas berbeza.

Tidak seperti Jokowi yang terkenal dengan pendekatan ‘blusukan’ (turun padang tanpa protokol rasmi), Encik Prabowo lebih menampilkan imej ketegasan dan karisma kepimpinan yang kuat.

Perbezaan Aspek Pendekatan

Seorang penganalisis dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Dr Rizal Fadli berkata:

“Prabowo lebih cenderung kepada kepimpinan bergaya ketenteraan, berbanding pendekatan mesra rakyat yang diamalkan oleh Jokowi.”

Perbezaan ini dapat dilihat dalam beberapa aspek:

Encik Prabowo lebih kerap mengadakan lawatan rasmi ke luar negara, termasuk ke China, Amerika Syarikat, Brazil, Malaysia dan India.

• Indonesia kini menyertai Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), menjadikannya negara Asia Tenggara pertama yang menjadi ahli tetap kumpulan ekonomi baru itu.

• Peranan ketenteraan semakin menonjol dalam pentadbiran, termasuk dalam pelaksanaan program makanan percuma.

Namun, pendekatan itu turut menimbulkan kebimbangan, terutama berkaitan dengan pengaruh ketenteraan dalam pemerintah.

Seorang penganalisis politik dari Universiti Indonesia, Dr Arif Wibowo, berkata:

“Prabowo mungkin melihat ketenteraan sebagai alat untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar, tetapi ini juga boleh menimbulkan persoalan mengenai pengasingan kuasa dalam pemerintah.”

Pengamat politik dari Jakarta, Encik Budi Santosa, menambah:

“Dalam tempoh 100 hari pertama, Prabowo berjaya menawan hati rakyat. Tetapi untuk mengekalkan sokongan ini, beliau perlu memastikan bahawa janji-janji besarnya benar-benar dapat direalisasikan.”

Responden turut memuji rancangan Encik Prabowo untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, membaik pulih sekolah dan membina lebih banyak hospital.

Encik Prabowo telah memulakan kepimpinannya dengan penuh keyakinan dan sokongan tinggi daripada rakyat.

Namun, seperti kata seorang responden dalam tinjauan Litbang Kompas: “Kami menyokong Prabowo kerana beliau membawa harapan baru. Tetapi kami juga mahu melihat hasil yang nyata.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg