JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo pada 6 Februari mengisytiharkan tarikh Pilihan Raya Presiden pada 14 Februari 2024 sebagai hari cuti umum.
Keputusan presiden telah digubal atas beberapa pertimbangan. Yang pertama ialah cuti kebangsaan akan membantu rakyat Indonesia menggunakan hak mengundi mereka pada hari pilihan raya, lapor Business Today.
Peraturan itu juga mempertimbangkan Perkara 167 (3) Undang-undang Pilihan Raya, yang menyatakan pengundian harus dilakukan pada hari cuti, dan Peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) No. 3 Tahun 2022 yang mengisytiharkan 14 Februari 2024, sebagai hari pengundian.
Memandangkan pertimbangan tersebut, keputusan presiden diperlukan untuk mengisytiharkan 14 Februari sebagai cuti kebangsaan, mengikut undang-undang.
Pada 14 Februari, pengundi Indonesia akan memutuskan pasangan presiden dan naib presiden yang akan menggantikan Encik Jokowi dan Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin untuk penggal 2024–2029. EncikJokowi tidak layak bertanding dalam pilihan raya kerana had penggal.
Tiga pasangan calon presiden dan naib presiden dalam perebutan pilihan raya presiden 2024 ialah Encik Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Encik Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka, dan Encik Ganjar Pranowo-Mahfud MD.
Pengundi juga akan mengundi calon perundangan untuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Wilayah (DPD), serta badan perundangan wilayah (DPRD) di peringkat wilayah, bandar dan daerah. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg