JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo memohon maaf secara terbuka pada 1 Ogos, ketika penggal kedua dan terakhirnya menghampiri penghujungnya, dalam masa dua setengah bulan lagi.
Berucap di hadapan ratusan hadirin semasa acara Peringatan dan Doa Negara di Istana Negara, Encik Jokowi mengakui ketidaksempurnaan pentadbirannya sepanjang hampir sedekad menjalankan tadbir urus negara.
Encik Jokowi disertai Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin, dan beberapa anggota Kabinet.
“Pada saat ini, pada hari pertama bulan Ogos dan dengan penuh keikhlasan, izinkan saya dan Ma’ruf Amin memohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan yang berlaku semasa kami menjalankan mandat rakyat sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Republik Indonesia,” kata Encik Jokowi, dipetik Jakarta Globe.
Acara itu yang diisi dengan bacaan kalimah dan doa, diadakan bagi merasmikan bulan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, yang jatuh pada 17 Ogos.
Tahun 2024 ini akan menjadi sambutan Hari Kemerdekaan terakhir untuk Encik Jokowi sebagai Presiden.
“Kami sedar bahawa kami tidak boleh menggembirakan semua orang. Saya tidak sempurna kerana kesempurnaan hanya milik Allah,” kata Encik Jokowi.
“Saya menyeru semua peserta agar bersama-sama membaca doa dan memohon pertolongan daripada Allah untuk membuka jalan bagi mencapai hasrat bersama untuk menjadi sebuah negara maju.
“Semoga Allah memakbulkan doa kita,” ungkapnya.
Sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 akan berlangsung di Jakarta dan ibu negara baru, Ibu Kota Nusantara (IKN).
Menteri Setiausaha Negara, Encik Pratikno, berkata acara 2024 itu akan menjadi bersejarah dan istimewa, walaupun lapangan terbang baru yang bertujuan menampung tetamu negara masih dalam pembinaan.
Encik Pratikno menggariskan beberapa siri acara untuk memperingati Hari Kemerdekaan.
Sambutan itu akan dimulakan dengan upacara sembahyang dan tazkirah kebangsaan di Istana Merdeka di Jakarta, dihadiri tokoh agama dan tokoh negara, dengan 3,000 peserta.
Encik Jokowi akan mengetuai perasmian pasukan pengibar bendera negara (Paskibraka) di Nusantara.
Majlis penganugerahan bagi penghormatan negara akan berlangsung di Istana Negara di Jakarta. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg