Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi mohon maaf kali kelima atas kesilapan semasa pimpin negara

Oct 4, 2024 | 11:54 AM
Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo meminta maaf kepada masyarakat menggunakan alat pembesar suara semasa mengunjungi Pasar LIPA Kalabahi di Kabupaten Alor, Nusa Tenggara Timur, pada 3 Oktober.
Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo meminta maaf kepada masyarakat menggunakan alat pembesar suara semasa mengunjungi Pasar LIPA Kalabahi di Kabupaten Alor, Nusa Tenggara Timur, pada 3 Oktober. - Foto INSTAGRAM JOKOWI

JAKARTA: Permohonan maaf berulang kali oleh Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menjadi bukti kesungguhan beliau dalam memperbaiki dasar yang telah dilaksanakan, ujar Timbalan Protokol, Akhbar dan Media Sekretariat Presiden, Encik Yusuf Permana.

Encik menyatakan bahawa tindakan tersebut menunjukkan Encik Jokowi serius dalam merenungi keputusan dan dasar yang telah diambil sepanjang tempoh pentadbiran beliau.

Encik Jokowi telah memohon maaf secara terbuka sekurang-kurangnya lima kali semasa lawatan kerja di pelbagai kawasan.

“Siri permohonan maaf yang disampaikan di pelbagai kesempatan dan lokasi membuktikan kesungguhan beliau dalam mengkaji semula dasar yang telah dilaksanakan,” jelas Encik Yusuf yang ditukil agensi berita Antara pada 3 Oktober.

Pada beberapa kesempatan, Encik Jokowi kerap kali menyatakan permohonan maaf ketika beliau meninjau pasar rakyat untuk memeriksa harga barangan keperluan asas.

Langkah itu diambil di tengah-tengah cabaran ekonomi yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya berikutan kenaikan harga barang.

Encik Yusuf menjelaskan bahawa tindakan Presiden Jokowi menunjukkan kerendahan hati serta keberaniannya mengakui kekurangan diri sebagai seorang manusia yang tidak sempurna.

Encik Jokowi, katanya, berani memohon maaf secara terbuka, sesuatu yang jarang dilakukan oleh pemimpin lain.

Tindakan berkenaan, kata Encik Yusuf, bukan sahaja menunjukkan kewibawaan, malah ketokohan sebagai negarawan yang bertanggungjawab terhadap amanah sebagai ketua negara.

Menurut Encik Yusuf, siri permohonan maaf yang disampaikan di pelbagai kawasan dan pada detik penting memperlihatkan hubungan langsung Presiden dengan rakyat, serta menggambarkan empati beliau terhadap keadaan yang dihadapi oleh masyarakat.

“Ia adalah satu bukti komitmen Presiden terhadap prinsip keterbukaan dan kebertanggungjawapan dalam kepemimpinan beliau,” tambah Encik Yusuf.

Kali pertama, Presiden Jokowi memohon maaf kepada rakyat menggunakan alat pembesar suara semasa melawat Pasar Soponyono di Surabaya, Jawa Timur, pada awal September.

Beliau sekali lagi memohon maaf kepada rakyat di Pasar Delimas Raya, Lubuk Pakam, Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara, dalam lawatan yang disertai beberapa menteri.

Kali ketiga, Encik Jokowi memohon maaf di Pasar Mawar, Pontianak, Kalimantan Barat dan kali keempat beliau memohon maaf semasa memeriksa gudang Bulog di Kabupaten Paser, Kalimantan Timur.

Yang terbaru, Presiden memohon maaf semasa melawat Pasar LIPA Kalabahi di Kabupaten Alor, Nusa Tenggara Timur, pada 3 Oktober.  

Encik Jokowi bakal menamatkan tempoh pentadbirannya pada 20 Oktober dan digantikan dengan Encik Prabowo Subianto. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg