JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, akan mula menjalankan tugas dari pejabat baru di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur, pada hari 10 September sebelum tempoh pentadbiran beliau berakhir pada 20 Oktober.
Keinginan Encik Jokowi untuk bekerja di Istana Garuda, salah satu bangunan ikonik di Nusantara, adalah untuk merasai pengalaman memimpin dari ibu kota baru yang merupakan salah satu projek legasi utamanya.
Istana Garuda dijangka siap sepenuhnya dan akan digunakan oleh beliau sepanjang tempoh dari 10 September hingga 19 Oktober, sebelum beliau menyerahkan jawatan presiden kepada penggantinya, Encik Prabowo Subianto, yang telah dipilih sebagai presiden baru Indonesia.
Menurut Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Encik Hasan Nasbi, keputusan Encik Jokowi untuk bekerja di Nusantara sebelum tempoh pentadbiran beliau tamat adalah selari dengan hasrat beliau untuk melihat dan merasai sendiri pencapaian projek yang beliau usahakan sepanjang penggalnya.
“Presiden memang berhasrat bekerja di IKN sebelum tempoh pentadbiran beliau tamat. Ini juga adalah sebahagian daripada legasi beliau,” ujar Encik Hasan ketika dihubungi portal berita Liputan6.
Dalam tempoh berkhidmat di Nusantara, Encik Jokowi masih akan menjalankan tugas rasmi seperti biasa, termasuk lawatan ke luar kawasan.
Namun, terdapat kemungkinan bahawa beberapa tanggungjawab presiden akan diserahkan kepada Naib Presiden Encik Ma’ruf Amin.
Ketua Sekretariat Presiden, Encik Heru Budi Hartono, turut menyatakan bahawa pasukan Sekretariat Presiden sudah bersedia memberi sokongan penuh kepada Encik Jokowi sepanjang beliau berada di ibu kota baru itu.
Beberapa unit daripada Sekretariat Presiden telah mula berpindah dan beroperasi di Nusantara.
Pada asalnya, Encik Jokowi merancang mula bekerja di Nusantara pada Ogos. Namun, pelan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana prasarana asas seperti lapangan terbang dan bekalan air masih belum siap sepenuhnya.
Encik Jokowi menegaskan bahawa lapangan terbang yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk memudahkan pergerakan ke kawasan lain di seluruh Indonesia setelah ibu kota dipindahkan.
“Kita perlu pastikan semua prasarana disiapkan dengan sempurna, terutama lapangan terbang yang akan menjadi penghubung utama selepas perpindahan ibu negara,” kata Encik Jokowi semasa lawatan beliau ke Yogyakarta.
Menurutnya, lapangan terbang di Nusantara adalah keperluan penting untuk perjalanan ke wilayah seperti Papua, Nusa Tenggara Timur, dan Aceh.
Perpindahan ibu kota tanpa prasarana lengkap akan menyukarkan pergerakan antara wilayah, terutama untuk tujuan rasmi dan pentadbiran.
Encik Jokowi pernah menunda perpindahan ke Nusantara beberapa kali.
Pada Julai, beliau dijadual mula bekerja di ibu kota baru itu, namun ditangguhkan kerana masalah bekalan air dan elektrik yang masih belum selesai.
Pada akhir Julai, beliau bermalam di Istana Presiden di Nusantara sementara pentadbirannya berusaha menyiapkan segala persiapan untuk sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang pertama di ibu kota baru tersebut.
Sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang diadakan pada 17 Ogos di Nusantara telah mencatatkan sejarah, dengan kehadiran lebih 1,300 tetamu rasmi, termasuk barisan Kabinet dan ahli politik utama.
Encik Jokowi memimpin upacara menaikkan bendera dan turut diiringi oleh Encik Prabowo, yang bakal menggantikan beliau sebagai presiden.
Encik Prabowo berjanji untuk meneruskan tradisi mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di Nusantara pada masa akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg