Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kabinet Indonesia adakan mesyuarat pertama di ibu negara baru Nusantara

Aug 12, 2024 | 4:22 PM
Bercakap dari Istana Negara baru berbentuk helang di Nusantara, Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, berkata lokasi ibu kota baru itu strategik dan dijangka menggalak pembangunan sama rata merentasi ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Bercakap dari Istana Negara baru berbentuk helang di Nusantara, Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, berkata lokasi ibu kota baru itu strategik dan dijangka menggalak pembangunan sama rata merentasi ekonomi terbesar Asia Tenggara itu. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, mengadakan mesyuarat Kabinet pertamanya di ibu negara baru, Nusantara, pada 12 Ogos, sedang beliau berusaha meyakinkan pelabur projek mega bernilai AS$32 bilion ($42.38 bilion) itu berada di landasan betul, sebelum beliau berundur pada Oktober.

Bertahun-tahun selepas mengumumkan projek infrastruktur utamanya itu bagi meringankan beban kesesakan, banjir dan kepadatan penduduk di Jakarta, Ibu Kota Nusantara (IKN) tidak terlepas daripada pelbagai masalah, termasuk kelewatan pembinaan dan kekurangan pelaburan asing.

Bersedia untuk meninggalkan jawatan selepas berkhidmat maksimum dua penggal, Encik Jokowi memberitahu menterinya ibu kota baru itu menandakan lembaran bersejarah bagi Indonesia.

“Ibu kota baru Nusantara adalah kanvas yang boleh kita lakar untuk masa depan. Bukan setiap negara mempunyai peluang atau keupayaan membina ibu kota baru daripada sifar,” kata beliau ketika bercakap dari Istana Negara baru berbentuk helang di Nusantara.

Nusantara sedang dibina di dalam kawasan hutan yang luas di pulau Borneo, kira-kira 1,200 kilometer dari ibu kota sekarang, Jakarta.

Lokasi itu strategik dan akan menggalak pembangunan sama rata merentas ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, kata Encik Jokowi.

Menurutnya, penduduk dan kegiatan ekonomi negara itu telah lama dikuasai oleh pulau Jawa, yang menyumbang 58 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Hampir kesemua 34 menteri Kabinet menghadiri mesyuarat itu, termasuk menteri pertahanan yang juga bakal presiden, Encik Prabowo Subianto, yang akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober.

Disiarkan secara langsung dari bilik berdinding biru metalik, presiden dan menteri Kabinet membincangkan pembangunan Nusantara dan peralihan kepada pentadbiran seterusnya dalam mesyuarat tersebut.

Encik Jokowi berkata beliau yakin pelaburan asing akan mengalir ke Nusantara dan bakal presiden, Encik Prabowo, akan terus komited kepada projek itu.

“Sekurang-kurangnya saya akan meneruskannya, saya akan menyelesaikannya jika boleh,” kata Encik Prabowo kepada pemberita sebelum mesyuarat itu.

“Walaupun kami sedar bahawa pembinaan ibu kota baru ini bukan boleh segera disiapkan, ia melibatkan kerja-kerja yang panjang dan sukar.”

Pada masa ini, IKN berkemungkinan termasuk dalam 10 bandar terbaik untuk didiami di dunia dan mencapai “pelepasan karbon sifar bersih” kerana menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui.

Nusantara dijangka menjadi bandar pertama di dunia dengan populasi lebih sejuta orang. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg