JAKARTA: Mantan Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo mengambil langkah luar biasa dengan menunjukkan ijazah asal Universiti Gadjah Mada (UGM) di mahkamah bagi menangkis dakwaan berpanjangan bahawa beliau menggunakan sijil akademik palsu sepanjang kerjaya politiknya.

Encik Jokowi mengemukakan dokumen tersebut ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes fitnah di Mahkamah Daerah Jakarta Timur pada 5 November.

Tindakan itu menjadi antara perkembangan paling penting dalam usaha beliau membuktikan bahawa ijazah sarjana muda yang diperolehnya daripada Fakulti Perhutanan UGM adalah tulen.

Kontroversi mengenai kelayakan akademik Encik Jokowi berlarutan selama lebih sedekad, dengan beberapa pihak mendakwa beliau tidak pernah menamatkan pengajian di universiti tersebut.

Malah, terdapat dakwaan bahawa beliau menggunakan ijazah palsu ketika mengemukakan dokumen pencalonan bagi pilihan raya presiden Indonesia pada 2014.

Bagaimanapun, Encik Jokowi berulang kali menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah yang mencemarkan nama baik serta tidak adil terhadap dirinya.

UGM juga secara konsisten mempertahankan kesahihan rekod akademik beliau dan mengesahkan bahawa Jokowi merupakan graduan Fakulti Perhutanan universiti berkenaan.

Ketika memberikan keterangan, Encik Jokowi turut menjelaskan bagaimana beliau menggunakan ijazah tersebut selepas menamatkan pengajian di universiti.

Menurutnya, dokumen berkenaan pertama kali digunakan ketika beliau memohon pekerjaan di sebuah syarikat pengeluar kertas di Aceh pada pertengahan 1980-an.

“Ijazah itu pertama kali digunakan pada 1985 atau 1986 di PT Kertas Kraft Aceh, Yang Arif,” katanya kepada mahkamah.

Encik Jokowi menjelaskan bahawa beliau menyerahkan ijazah tersebut sebagai sebahagian daripada dokumen permohonan pekerjaan sebelum diterima bekerja di syarikat berkenaan.

Keterangan itu bertujuan menjelaskan bahawa ijazah tersebut sudah digunakan sejak awal kerjayanya, jauh sebelum beliau memasuki dunia politik atau bercita-cita menjadi presiden.

Selepas bekerja di syarikat tersebut, Jokowi menceburi bidang perniagaan perabot yang kemudian menjadi asas kepada perjalanan kerjaya beliau sebelum memasuki politik.

Beliau seterusnya dipilih sebagai Datuk Bandar Solo di Jawa Tengah sebelum menjadi Gabenor Jakarta.

Kejayaan politiknya mencapai kemuncak apabila beliau dipilih sebagai Presiden Indonesia pada 2014 dan sekali lagi pada 2019, membolehkannya memimpin negara itu selama dua penggal berturut-turut sehingga 2024.

Bagaimanapun, sepanjang peningkatan kerjaya politik tersebut, persoalan mengenai kesahihan ijazahnya terus dibangkitkan oleh beberapa pengkritik.

Antara individu paling lantang mempersoalkan kelayakan akademik Jokowi ialah bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Encik Roy Suryo, yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Encik Roy bersama Cik Tifauzia Tyassuma mendakwa Jokowi menggunakan ijazah sarjana muda palsu ketika bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2014.

Mereka turut mempersoalkan sama ada Jokowi benar-benar mengikuti pengajian dan menamatkan pendidikan di UGM.

Dakwaan tersebut mencetuskan perdebatan awam yang berpanjangan, terutama di media sosial, dengan pelbagai pihak mempertikaikan dokumen akademik bekas presiden itu.

Namun, Jokowi dan pihak UGM berulang kali menolak dakwaan berkenaan.

Universiti tersebut menegaskan bahawa rekod akademiknya mengesahkan Jokowi pernah mengikuti pengajian dan menamatkan pendidikan di Fakulti Perhutanan.

Sepanjang kontroversi itu, beberapa tokoh masyarakat yang sebelum ini mempersoalkan kesahihan ijazah Jokowi dilaporkan menarik balik dakwaan mereka dan membuat permohonan maaf.

Bagaimanapun, sebahagian pengkritik terus mempertahankan tuduhan tersebut sehingga pertikaian itu membawa kepada tindakan undang-undang.

Encik Jokowi sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk hadir sendiri ke mahkamah bagi menghadapi dakwaan yang menurutnya telah mencemarkan reputasinya selama bertahun-tahun.

Keputusan untuk memberikan keterangan secara langsung itu dianggap langkah penting kerana beliau bukan lagi sekadar menafikan tuduhan melalui kenyataan awam, tetapi turut mengemukakan dokumen asal di hadapan mahkamah.

Dengan menunjukkan ijazah tersebut, Encik Jokowi berusaha menjawab persoalan mengenai kesahihan kelayakan akademiknya yang terus menjadi bahan perdebatan sejak beliau mula mendapat perhatian dalam politik nasional.

Bagaimanapun, pertikaian undang-undang itu masih perlu diputuskan oleh mahkamah berdasarkan keterangan, dokumen dan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Encik Jokowi tetap mempertahankan pendiriannya bahawa beliau merupakan graduan sah UGM dan dakwaan penggunaan ijazah palsu terhadapnya tidak berasas. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti