Topik diikuti
Pergi ke BHkuJordan kini tumpuan baharu perang AS-Iran
Jordan kini tumpuan baharu perang AS-Iran
Jordan kini tumpuan baharu perang AS-Iran
AMMAN: Jordan muncul sebagai medan baharu dalam konflik yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dengan Iran.
Empat serangan peluru berpandu serta dron Iran menyasarkan pangkalan tentera Amerika di negara itu dalam tempoh lima hari, mengorbankan dua anggota tentera dan menyebabkan seorang lagi masih hilang.
Pegawai Amerika berkata, serangan terbaharu pada 17 Julai di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Azraq, merupakan serangan paling berdarah terhadap tenteranya sejak kedua-dua negara mengumumkan gencatan senjata pada April lalu, yang kini telah terbatal.
Selain dua anggota yang terbunuh, empat lagi cedera manakala beberapa anggota lain cedera ringan dan kembali bertugas selepas menerima rawatan.
Menurut beberapa pegawai Amerika yang enggan dikenali, siri serangan itu menunjukkan Iran masih mempunyai simpanan peluru berpandu dan dron yang besar, selain semakin berupaya menembusi sistem pertahanan udara Amerika.
“Serangan ini bukan sahaja bertujuan menyebabkan korban dalam kalangan tentera Amerika, malah meningkatkan tekanan terhadap Washington supaya tidak memperluaskan operasi ketenteraan ke atas Iran,” kata seorang pegawai.
Dalam tempoh lima hari lalu, pangkalan tentera Amerika di Jordan menjadi sasaran berturut-turut.
Serangan pertama mengenai kemudahan kediaman di Pangkalan Udara King Faisal dan mencederakan sehingga lima anggota tentera Amerika.
Serangan kedua pula menyasarkan sebuah pangkalan di timur Jordan yang menempatkan helikopter, ‘Black Hawk’, milik tentera Amerika, menyebabkan beberapa pesawat rosak.
Dua hari kemudian, peluru berpandu Iran sekali lagi menghentam Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, mencederakan kira-kira 20 anggota tentera yang sedang berlindung di kubu bawah tanah.
Pada 17 Julai, pangkalan sama diserang sekali lagi, mengorbankan dua anggota tentera dan menyebabkan seorang lagi dilaporkan hilang.
Tentera Iran mengesahkan melancarkan serangan dron terhadap tangki bahan api di pangkalan berkenaan.
Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula mendakwa menggunakan peluru berpandu dan dron bagi menyerang tempat perlindungan pesawat tentera Amerika.
Jordan semakin penting dalam strategi ketenteraan Washington sejak tercetusnya konflik dengan Iran.
Sebelum perang meletus, Pentagon memindahkan sebahagian anggota tenteranya dari Bahrain, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar ke Jordan serta Israel yang dianggap lebih selamat.
Peranan Jordan terus meningkat selepas beberapa negara sekutu Amerika di Teluk mengehadkan penggunaan pangkalan tentera dan ruang udara mereka bagi operasi ketenteraan terhadap Iran.
Penganalisis berkata, keadaan itu menjadikan Jordan antara aset paling penting bagi operasi udara Amerika di Asia Barat.
Mantan Leftenan Jeneral Tentera Udara Amerika, Encik David Deptula, berkata kedudukan strategik Jordan membolehkan Washington melaksanakan operasi udara dengan lebih berkesan di Syria, Iraq dan kawasan sekitarnya.
“Serangan ke atas Pangkalan Udara Muwaffaq Salti bukan sekadar serangan terhadap sebuah pangkalan tentera.
“Ia juga merupakan serangan terhadap gabungan ketenteraan Amerika di rantau ini dan cubaan meningkatkan kos politik kepada Jordan kerana menjadi tuan rumah kepada tentera Amerika,” katanya.
Penganalisis dari badan pemikir Demokrasi untuk Dunia Arab Kini (DAWN) yang berpangkalan di Washington, Encik Omid Memarian, berkata Jordan menjadi sasaran kerana hubungan keselamatan yang sangat rapat dengan Washington.
Menurutnya, negara Teluk seperti Arab Saudi kini lebih berhati-hati membenarkan Amerika menggunakan pangkalan mereka selepas menjadi sasaran tindak balas Iran.
“Jordan berada dalam kedudukan berbeza kerana ia sangat bergantung kepada bantuan ketenteraan dan ekonomi Amerika serta mempunyai hubungan keselamatan yang rapat dengan Washington,” katanya.
Menurut laporan Kongres Amerika, hampir 4,000 anggota tentera negara itu kini ditempatkan di Jordan.
Pada tahun fiskal 2025, Washington menyalurkan bantuan ekonomi dan ketenteraan bernilai AS$1.45 bilion ($1.87 bilion) kepada Jordan – hampir tiga kali ganda berbanding 15 tahun lalu.
Ketegangan turut memaksa Jordan mengambil langkah keselamatan tambahan.
Kedutaan Amerika Syarikat memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Aqaba dan pelabuhan di bandar pesisir itu dipindahkan sementara susulan ancaman yang disifatkan sebagai “spesifik dan boleh dipercayai”.
Tentera Jordan kemudian memintas tiga peluru berpandu Iran yang menuju ke negara itu, manakala sebuah lagi jatuh di kawasan tidak berpenghuni.
Sebagai tindak balas terhadap serangan di Jordan, tentera Amerika melancarkan serangan balas pada 18 Julai bagi melemahkan keupayaan Iran mengancam perkapalan di Selat Hormuz serta menghukum pasukan (IRGC) yang didakwa bertanggungjawab menyerang tenteranya.
Pada masa sama, Encik Trump memberi bayangan bahawa Amerika akan memperluaskan lagi serangan terhadap prasarana strategik Iran, termasuk jambatan, loji jana kuasa dan sistem pengagihan elektrik.
Perkembangan itu menunjukkan konflik antara Amerika Syarikat dengan Iran kini memasuki fasa baharu, dengan Jordan muncul sebagai barisan hadapan baharu selepas gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini semakin runtuh dan serangan balas kedua-dua pihak terus meningkat. – Agensi berita.

