Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jordan kuat kuasa larangan banteras Ikhwanul Muslimin

Apr 24, 2025 | 1:04 PM
Para pegawai polis dilihat berada di luar pejabat Barisan Tindakan Islam di Jordan pada 23 April 2025.
Para pegawai polis dilihat berada di luar pejabat Barisan Tindakan Islam di Jordan pada 23 April 2025. - Foto: Reuters

AMMAN: Kementerian Dalam Negeri Jordan berkata pada 23 April bahawa ia akan menguatkuasakan larangan meluas terhadap aktiviti Ikhwanul Muslimin, sebuah kumpulan Islam yang telah diharamkan di beberapa negara Arab lain.

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas perkhidmatan keselamatan Jordan berkata bahawa mereka telah menahan 16 orang yang dituduh merancang ancaman terhadap keselamatan negara membabitkan senjata, bahan letupan dan rancangan untuk mengeluarkan dron dan melatih pejuang, di dalam dan di luar negara.

Menteri Dalam Negeri Jordan, Encik Mazin Al Farrayeh, memberitahu sidang akhbar bahawa plot itu dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.

Menurut beliau “unsur-unsur Ikhwanul Muslimin” telah “bergiat dalam gelap untuk menjejaskan kestabilan dan mengganggu keselamatan dan perpaduan negara.”

Beliau berkata bahan letupan dan senjata telah ditemui dan menambah bahawa pada malam plot itu terbongkar, Ikhwanul Muslimin telah “cuba menyeludup dan memusnahkan sejumlah besar dokumen.”

Menurutnya, pihak berkuasa telah menemui operasi pembuatan bahan letupan yang dikaitkan dengan anak salah seorang ketua kumpulan itu.

Jordan telah pun mengambil langkah tegas dengan membubarkan Ikhwanul Muslimin dalam keputusan mahkamah 2020, dan telah menutup ibu pejabat kumpulan itu di ibu negara, Amman, pada 2016.

Penentang Ikhwan berpendapat ia adalah kumpulan berbahaya yang perlu dibendung kerana ia membuka jalan ke arah ekstremisme agama dan keganasan.

Penyokong dan beberapa ulama, berpendapat bahawa negara autoritarian di seluruh Timur Tengah telah menyasarkan kumpulan itu yang dianggap sebagai menimbulkan ancaman terbesar kepada cengkaman kuasa mereka sendiri.

Tidak jelas bagaimana larangan baru itu akan menjejas Barisan Tindakan Islam, cabang politik Ikhwanul Muslimin di Jordan, yang memenangi 31 daripada 138 kerusi dalam pilihan raya parlimen tahun lalu dan menjadikan penentangan terhadap pencerobohan Israel ke Gaza sebagai kempen utamanya.

Pada 23 April, polis telah mengepung ibu pejabat parti. Dalam sidang akhbar, setiausaha agung parti, Encik Wael Saqqa, berkata para anggotanya terkejut dengan serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan.

Namun, pihaknya telah membuka fail dan pejabat mereka dengan rela hati dalam serbuan polis itu.

“Kami percaya bahawa semua yang kami lakukan adalah mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Encik Amer Al Sabaileh, seorang penganalisis politik Jordan, menyatakan tindakan pihak berkuasa itu merupakan “saat penting bagi Jordan,” yang sebelum ini membenarkan elemen Ikhwan beroperasi dengan pelbagai tahap kebebasan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg