AMMAN: Mahkamah tentera Jordan pada 8 Oktober menjatuhkan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun terhadap sembilan defendan berhubung dakwaan komplot berkaitan Ikhwanul Muslimin untuk menggugat kestabilan negara.
Kes tersebut menyebabkan pihak berkuasa mengharamkan kumpulan pembangkang terbesar di negara itu.
Mahkamah berkata, defendan adalah antara lebih sedozen anggota Ikhwanul Muslimin yang ditahan April lalu, dituduh menerima latihan dan pembiayaan di Lebanon untuk melakukan serangan di dalam Jordan dengan menggunakan roket dan dron.
Pihak berkuasa berkata, anggota kumpulan itu telah merancang serangan ke atas sasaran keselamatan dan lokasi sensitif di Jordan, tetapi tidak mengenal pasti sasaran.
Dua defendan utama yang dituduh membuat senjata secara haram, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, manakala seorang lagi dikenakan tujuh tahun kerana bersubahat.
Enam yang lain dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan termasuk perbuatan yang membahayakan keselamatan awam dan merekrut untuk latihan, kata kenyataan mahkamah yang disiarkan oleh media kerajaan.
Empat defendan lain yang dituduh memasang dron telah dibebaskan.
Kesemua defendan menafikan pertuduhan itu.
Pihak berkuasa Jordan berkata sekurang-kurangnya sebuah roket siap untuk dilancarkan sebagai sebahagian daripada operasi yang telah diawasi oleh pasukan keselamatan sejak 2021.
Tindakan tegas itu disusuli seminggu kemudian dengan keputusan kerajaan untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin, merampas asetnya dan menutup pejabatnya selepas pihak berkuasa berkata beberapa anggota dikaitkan dengan plot sabotaj.
Jordan yang telah lama berhati-hati terhadap Ikhwanul Muslimin, telah menahan tekanan daripada negara-negara Teluk Arab dan Mesir agar mengharamkan kumpulan itu.
Tetapi selaras dengan sekatan serantau terhadap politik Islam dan perbezaan pendapat, Amman sejak beberapa tahun lalu mengetatkan sekatan ke atas pergerakan itu, mengharamkan perhimpunan awam dan menahan beberapa anggota terkemuka kumpulan itu.
Ikhwanul Muslimin, salah satu gerakan Islam tertua dan paling berpengaruh di dunia Arab, telah menafikan sebarang kaitan dengan plot itu tetapi berkata beberapa anggota mungkin terlibat secara individu dalam penyeludupan senjata kepada rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Kumpulan itu berkata bahawa ia telah meninggalkan kegiatan keganasan beberapa dekad lalu dan terus meneruskan visi Islamnya melalui cara yang aman.
Cabang politik pergerakan itu di Jordan, Barisan Bertindak Islam, menjadi kumpulan politik terbesar di Parlimen selepas pilihan raya tahun lalu, walaupun kebanyakan kerusi masih dipegang oleh penyokong kerajaan.- Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg