Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tuntutan serantau ubah dinamik politik Jordan

Ikhwanul Muslimin diharam di Jordan bukan hanya dek faktor keselamatan, malah tekanan Arab Saudi, UAE, Israel
May 5, 2025 | 5:30 AM
Ikhwanul Muslimin, haram, Jordan
Jordan mengumumkan ia mengharamkan segala kegiatan Ikhwanul Muslimin pada 23 April 2025. Gambar fail menunjukkan bendera hijau Ikhwanul Muslimin dan beberapa parti politik lain dikibarkan bersama sepanduk dalam satu bantahan di Amman, Jordan, pada Jun 2019, yang mengecam persidangan ekonomi Asia Barat. - Foto AFP

AMMAN: Keputusan kerajaan Jordan untuk mengharamkan kegiatan, Ikhwanul Muslimin, iaitu kumpulan pembangkang paling besar dan berpengaruh di negara itu, telah mencetuskan persoalan tentang tekanan serantau dan hala tuju politik dalaman negara itu.

Langkah itu dilihat bukan hanya berdasarkan faktor keselamatan dalam negara, bahkan juga dikatakan akibat tekanan bersepadu dari Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel.

Pada 23 April, pihak berkuasa Jordan mendakwa Ikhwanul Muslimin merancang serangan bersenjata di negara itu.

Dakwaan tersebut dibuat hanya seminggu selepas 16 suspek ditahan bersama senjata dan bahan letupan.

“Mereka adalah anggota Ikhwanul Muslimin yang bertujuan mencetuskan kekacauan,” kata jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan yang disiarkan media rasmi.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri Jordan mengumumkan larangan sepenuhnya ke atas Ikhwanul Muslimin, termasuk menyerbu ibu pejabat Parti Barisan Bertindak Islam (IAF), sayap politik pertubuhan itu.

Ramai penganalisis menganggap ia sebagai permulaan kepada usaha membatalkan lesen IAF yang merupakan parti pembangkang terbesar di Parlimen Jordan.

Seorang pengamat politik Jordan yang enggan namanya disiarkan memberitahu:

“Ini bukan lagi soal keselamatan semata-mata. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha besar untuk merombak landskap politik Jordan bagi memenuhi kehendak sekutu serantau.”

Pergolakan Politik

Penganalisis percaya tekanan dari Arab Saudi, UAE dan Israel memainkan peranan penting dalam keputusan itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Riyadh dan Abu Dhabi telah memimpin usaha menekan pertubuhan Islam, terutama Ikhwanul Muslimin, yang mereka anggap sebagai ancaman kepada kestabilan dalaman mereka sendiri.

Kebangkitan semula bantahan pro-Hamas dan anti-Israel di Jordan sejak tercetusnya perang Gaza turut memberi alasan tambahan kepada kerajaan untuk bertindak keras terhadap Ikhwanul Muslimin, yang kerap dikaitkan dengan sokongan terhadap perjuangan Palestin.

Wartawan Jordan yang bercakap kepada laman web media yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Middle East Eye, dengan syarat beliau tidak dinamakan, berkata:

“Langkah ini dilihat sebagai usaha Jordan mendapatkan semula bantuan kewangan yang digantung oleh Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump, sambil mengukuhkan hubungan dengan Riyadh dan Abu Dhabi.

“Kempen ini juga mungkin bertujuan meyakinkan Washington. Lawatan mengejut Raja Abdullah ke Arab Saudi baru-baru ini (23 April) menguatkan lagi spekulasi tersebut.”

Beliau menambah: “Jordan sedang berusaha memenangi hati Arab Saudi dan UAE sebagai pelindung baru ekonomi mereka.”

Peranan Ikhwanul Muslimin

Sejak 1946, Ikhwanul Muslimin memainkan peranan penting dalam mempertahankan pemerintahan monarki Bani Hasyim.

Dalam beberapa krisis besar termasuk cubaan rampasan kuasa 1957 dan Perang September 1970, Ikhwanul Muslimin berdiri teguh menyokong Raja Hussein.

Dalam pidatonya sebelum ini Anggota Parlimen, Encik Saleh al-Armouti mengingatkan, dengan berkata:

“Ketika kekuatan lain mengangkat senjata, Ikhwanul Muslimin memilih jalan damai, menolak konfrontasi dengan tentera Jordan demi kestabilan negara.”

Namun, kesetiaan bersejarah itu tampaknya tidak cukup untuk melindungi mereka daripada perubahan strategi kerajaan hari ini, yang lebih memilih untuk memenuhi kehendak serantau berbanding memelihara kompromi tradisional.

Profesor Sulaiman Farajat dari Universiti Jordan menjelaskan:

“Dalam banyak detik getir negara, Ikhwanul Muslimin memilih untuk berpihak kepada institusi diraja, bukan memberontak. Ini menjadikan mereka sebahagian daripada struktur politik Jordan.”

Walaupun sering berbeza pendapat dengan kerajaan, Ikhwanul Muslimin tidak pernah menganjurkan penentangan bersenjata terhadap monarki.

Malah, dalam pemberontakan ‘April 1989’ dan ‘Kebangkitan Roti’ 1996, peranan moderat kumpulan itu membantu meredakan ketegangan rakyat terhadap kerajaan.

Walaupun sering berbeza pandangan dengan kerajaan, Ikhwanul Muslimin di Jordan tidak pernah mengambil jalan menentang pemerintahan beraja secara bersenjata.

Ia dapat dilihat dalam beberapa krisis besar negara seperti Pemberontakan April 1989 – yang tercetus akibat kejatuhan mendadak nilai dinar Jordan dan kenaikan harga barang keperluan.

Manakala Kebangkitan Roti 1996 – yang dipicu oleh kenaikan mendadak harga roti selepas langkah rasionalisasi subsidi – peranan Ikhwanul Muslimin sebagai kuasa politik yang bertanggungjawab terbukti penting.

Dalam kedua-dua kejadian tersebut, kumpulan itu memilih untuk mengawal sentimen rakyat dan berusaha meredakan ketegangan, bukannya memperhebat pergeseran.

Sikap berhati-hati Ikhwanul Muslimin itu membantu menstabilkan keadaan dan mengelakkan tercetusnya keganasan besar terhadap kerajaan, sekali gus menunjukkan iltizam mereka terhadap kestabilan politik negara.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perubahan struktur dalaman Ikhwanul Muslimin serta tekanan geopolitik mendorong kerajaan menilai semula hubungan itu.

Ikhwanul Muslimin selama ini bukan sahaja sebuah gerakan keagamaan, malah kuasa politik utama melalui sayap politiknya, IAF.

IAF merupakan parti pembangkang terbesar di Jordan, dengan 31 kerusi Parlimen dan memperoleh hampir satu pertiga undi dalam pilihan raya terakhir.

Pengharaman itu menandakan perubahan paradigma dalam landskap politik Jordan.

Bagi kerajaan, tindakan itu mungkin memperlihat usaha membina hubungan lebih erat dengan blok Arab Saudi-UAE-Israel, khususnya dalam konteks geopolitik baru Timur Tengah.

Namun, penghapusan kuasa tradisional seperti Ikhwanul Muslimin turut membawa risiko.

“Walaupun tindakan ini dapat menggembirakan sekutu serantau, ia berpotensi merosakkan kestabilan politik dalaman Jordan yang rapuh,” ujar penganalisis politik Amman, Dr Maha Jarrar.

“Ikhwanul Muslimin selama ini menjadi saluran penting untuk menyalurkan ketidakpuasan rakyat secara aman. Tanpa mereka, ketidakstabilan mungkin meningkat,” tambah beliau.

Sebahagian besar rakyat Jordan mempunyai latar belakang Palestin, dan perpaduan terhadap perjuangan Gaza tetap kuat.

Dengan Ikhwanul Muslimin yang secara tradisinya menjadi suara bagi isu Palestin, kekosongan itu mungkin akan diisi oleh gerakan yang lebih radikal dan sukar dikawal.

Jadi liabiliti kerajaan

Menurut Profesor Sulaiman di Amman: “Kerajaan Jordan kini melihat Ikhwanul Muslimin bukan lagi sebagai ‘penstabil sistem’, malah sebagai liabiliti terhadap kestabilan mereka, khususnya dalam konteks sentimen pro-Gaza yang semakin membara di jalanan Jordan.”

Demonstrasi pro-Palestin yang berterusan sejak perang Gaza meletus, serta tekanan awam terhadap hubungan Jordan-Israel, telah memperlihat bagaimana sentimen rakyat boleh membakar ketidakstabilan politik dalam negara.

Keadaan di Gaza juga tidak dapat dipisahkan daripada keputusan Jordan itu.

Keprihatinan kerajaan bahawa sentimen pro-Hamas boleh menyemarakkan ketidakstabilan domestik, khususnya dalam kalangan rakyat Jordan yang berketurunan Palestin, mendorong langkah memperketat ruang politik bagi mana-mana kumpulan yang dilihat berpotensi menggalang kekuatan massa.

Dr Maha berkata: “Gaza bukan sahaja medan konflik ketenteraan, malah juga menjadi medan merenung ketegangan domestik di Jordan.

“Kerajaan kini jauh lebih waspada terhadap kemungkinan lonjakan ketidakpuasan yang dipacu oleh rasa perpaduan rakyat.”

IAF kini berada di persimpangan.

Sumber dalaman parti memaklumkan pimpinan IAF sedang berusaha menyesuaikan strategi mereka, namun prospek jangka panjang kelihatan suram.

Dalam sidang medianya, Setiausaha Agung Encik IAF, Encik Wael Saqqa, berkata: “Kami terkejut dengan tindakan pihak berkuasa, tetapi kami tetap memilih untuk bekerjasama secara aman.”

Namun pemerhati menjangkakan dengan tekanan kian meningkat, lesen parti itu boleh dibatalkan sepenuhnya.

Profesor Farajat menegaskan: “Tanpa akses ke institusi politik, Ikhwanul Muslimin dan sekutunya akan kehilangan wadah formal dan ini membuka ruang kepada polarisasi yang lebih ketara dalam masyarakat Jordan.”

Tindakan Jordan mengharamkan Ikhwanul Muslimin bukan sahaja mencerminkan tekanan geopolitik serantau, malah menunjukkan kecenderungan kerajaan menyusun semula ruang politik dalam negara bagi memperkukuh kawalan dalam era ketidakpastian sejagat.

Meskipun langkah mengharamkan Ikhwanul Muslimin mungkin memberi ‘kemenangan’ jangka pendek kepada kerajaan, namun risiko jangka panjang terhadap kestabilan politik tidak dapat diabaikan.

Menghapuskan salah satu saluran politik paling berpengaruh boleh membuka ruang kepada gerakan bawah tanah yang lebih sukar dikawal.

“Menyisihkan politik Islam berpendirian sederhana berisiko memperkukuhkan pengaruh kumpulan pelampau, yang pendekatannya lebih keras dan jauh daripada ruang dialog serta penyelesaian damai,” ujar Profesor Farajat.

Seperti yang diingatkan Dr Maha: “Menghapuskan suara sederhana dalam sistem politik tidak bermakna ketidakpuasan rakyat akan hilang. Ia hanya menunggu untuk meledak di tempat dan masa yang tidak dijangka.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg