Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan bangunan $50 juta di S’pura berkait penipuan di Kemboja dibatal selepas 3 hari dalam pasaran

Dec 6, 2025 | 11:20 PM
Terletak di sekitar Bukit Merah, hartanah yang dikenali sebagai 2 Jalan Kilang Barat telah ditawarkan untuk dijual dengan harga kira-kira $50 juta pada 2 Disember 2025.
Terletak di sekitar Bukit Merah, hartanah yang dikenali sebagai 2 Jalan Kilang Barat telah ditawarkan untuk dijual dengan harga kira-kira $50 juta pada 2 Disember 2025. - Foto SHIN MIN DAILY NEWS

Penjualan bangunan komersial seluas 32,000 kaki persegi yang menjadi tumpuan siasatan pengubahan wang haram di Singapura dan Amerika Syarikat telah dibatalkan hanya tiga hari selepas ia disenaraikan dalam pasaran.

Terletak di sekitar Bukit Merah, hartanah yang dikenali sebagai 2 Jalan Kilang Barat ditawarkan untuk dijual dengan harga kira-kira $50 juta pada 2 Disember.

Tiada sebab yang diberikan untuk pelupusan penyenaraian itu.

The Straits Times (ST) difahamkan bahawa pemilik bangunan itu – Chen Xiaoxuan, 25 tahun – sedang membantu Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam siasatan mereka terhadap kes melibatkan hartawan Kemboja, Chen Zhi.

Bapanya, Encik Tan Yew Kiat, 49 tahun, telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kesalahan pengubahan wang haram.

Polis telah menyerbu pejabatnya di Jalan Kung Chong pada akhir November berkaitan dengan siasatan Amerika terhadap Chen Zhi.

Chen Zhi, yang berasal dari China, mengetuai Prince Group, yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan perkhidmatan kewangan.

Lelaki berusia 38 tahun itu, dan penasihat rapatnya Chen Xiuling, atau Karen Chen, telah dinamakan oleh Amerika dan Britain dalam sekatan meluas yang diumumkan pada 14 Oktober kerana kaitan mereka dengan penipuan dan konspirasi pengubahan wang haram, serta peranan mereka dalam kes buruh paksa di Kemboja.

Hartanah 2 Jalan Kilang Barat telah dikenal pasti dalam siasatan Amerika sebagai alamat di Singapura untuk 11 syarikat yang dikaitkan secara langsung dengan Chen Zhi, dan tiga syarikat yang dikaitkan dengan Chen Xiuling.

ST sebelum ini mendedahkan bahawa bangunan itu telah dibeli oleh 2JKB, sebuah firma yang diperbadankan oleh Cik Chen Xiaoxuan pada Disember 2022.

Ejen hartanah yang menyenaraikan hartanah tersebut pada 2 Disember tidak memberi maklum balas terhadap permintaan ST untuk mendapatkan komen.

Cik Chen juga disenaraikan sebagai pengarah Supreme Cars Financial Services, Rolls Platform, dan Cars and Coffee. Kesemuanya berdaftar di alamat yang sama di 2 Jalan Kilang Barat.

Pegawai dari SPF telah bertindak terhadap Chen Zhi dan rakan-rakannya di Singapura dalam operasi pada 30 Oktober yang menyaksikan lebih daripada $150 juta aset, termasuk kenderaan mewah dan kapal layar, dirampas atau dibekukan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya bitcoin bernilai AS$15 bilion (S$19.4 bilion) dan puluhan juta aset lain, termasuk hartanah di tempat-tempat seperti London dan pulau Palau di Pasifik, telah dirampas oleh pihak berkuasa Amerika dan Britain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg