Pendakwa raya meminta agar tiada ikat jamin diberikan kepada seorang daripada dua rakyat Singapura yang didakwa membuat panggilan telefon dalam sindiket penipuan berpangkalan di Kemboja.
Dalam sebutan mahkamah pada 1 Disember bagi Wayne Soh You Chen, 27 tahun, seorang pendakwa polis berkata demikian kerana pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Jenayah Terancang (OCA) tidak boleh dijamin dan dia berisiko tinggi melarikan diri.
Pendakwa polis itu menambah, Soh mempunyai hubungan rapat dengan dalang sindiket tersebut, lapor The Straits Times (ST).
“Terdapat sebab untuk mempercayai bahawa ketua sindiket, yang masih bebas, berkemungkinan akan menghubungi dan bersekongkol dengan tertuduh jika dia dibenarkan keluar dengan jaminan,” katanya.
Soh, bersama Brian Sie Eng Fa, 32 tahun, didakwa pada 17 November kerana memudahkan operasi penipuan yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang dengan kerugian dicatat sekurang-kurangnya $41 juta melibatkan 438 kes.
Dokumen mahkamah menyatakan kededua lelaki itu didakwa membuat panggilan telefon di sebuah pusat panggilan dan melakukan kesalahan tersebut di Kemboja pada atau sekitar 9 September.
Sindiket yang beroperasi di Phnom Penh itu didakwa menyamar sebagai pegawai pemerintah untuk menipu mangsa di Singapura dan kededua lelaki itu adalah antara 34 suspek yang diburu polis Singapura.
Kegiatan jenayah mereka digagalkan dalam operasi bersama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dengan polis Kemboja pada 9 September.
Pendakwa berkata Soh melarikan diri sebelum polis menyerbu lokasi tempat kegiatan penipuan dijalankan.
Dia akhirnya berjaya ditangkap dan dihantar pulang ke Singapura.
SPF berkata pada 16 November bahawa Soh dan Sie diberkas oleh pihak berkuasa luar negara.
Soh diberkas di Phnom Penh, Kemboja; manakala Sie pula diberkas di Khon Kaen, Thailand.
Memandangkan Soh tinggal di Kemboja bersama isteri dan anaknya, pendakwa berkata dia mempunyai kemampuan untuk hidup di luar Singapura.
“Cara dia menyara diri termasuk melalui mata wang kripto dan sindiket yang sukar dikesan,” kata pendakwa.
Melihat kepada saiz dan skop kes tersebut, serta jumlah wang terlibat, pendakwa menggesa mahkamah agar tidak memberikan ikat jamin kepada Soh.
Peguam Soh, Encik Gino Hardial Singh, yang turut mewakili Sie, berkata Soh menyerah diri kepada pihak berkuasa di Kemboja dan bukan melarikan diri.
Peguam itu menambah beliau akan memohon semakan jaminan bagi kededua lelaki itu pada masa yang sesuai.
Bagi kes Sie, pendakwa memohon supaya dia direman selama seminggu lagi kerana siasatan mengambil masa lebih lama disebabkan kerumitan operasi sindiket.
Sie akan kembali ke mahkamah pada 8 Disember, manakala kes Soh dijadual untuk satu persidangan praperbicaraan pada 19 Disember.
Kededua lelaki itu, yang menghadirkan diri melalui pautan video, kekal tenang sepanjang prosiding.
Seramai 25 rakyat Singapura dan enam rakyat Malaysia lagi masih diburu polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang itu.
Sindiket penipuan tersebut didakwa dikendalikan rakyat Singapura yang sudah melarikan diri, Ng Wei Liang.
Ng yang masih diburu, dikatakan merekrut abang, sepupu dan teman wanitanya ke dalam skim itu.
Anggota sindiket lain yang disyaki turut didakwa pada September di bawah OCA.
Bagi setiap pertuduhan di bawah OCA, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $100,000, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg