Dua lelaki Singapura yang dipercayai terlibat dalam operasi penipuan transnasional yang menyasarkan rakyat Singapura telah dibawa ke mahkamah daerah pada 13 November selepas dibawa pulang dari Thailand dan Kemboja.
Ong Kwang Wee, 44 tahun, didakwa dengan satu tuduhan membantu akses bahan komputer tanpa kebenaran. Kertas tuduhan menyatakan Ong didakwa membenarkan seorang individu, yang dikenali sebagai “Ah Feng”, mengakses akaun banknya pada April, lapor The Straits Times (ST).
Akaun bank tersebut digunakan oleh sindiket jenayah untuk pengubahan wang.
Ong juga dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket penipuan transnasional yang mengendalikan pusat penipuan di Myanmar yang terlibat dalam penipuan penyamaran pegawai pemerintah yang menyasarkan rakyat Singapura.
Siasatan awal mendapati Ong terlibat dalam fungsi pentadbiran di pusat penipuan tersebut, dan dia melarikan diri ke Thailand selepas pusat itu diserbu oleh pihak berkuasa Myanmar, kata pihak polis Singapura dalam satu kenyataan pada 13 November.
Dia ditangkap oleh Polis Diraja Thai semasa satu serbuan di Bangkok dan dihantar pulang ke Singapura pada 11 November.
Setibanya di Singapura, Ong ditangkap dan kini berada dalam tahanan polis. Kesnya akan dibicarakan semula di mahkamah pada 20 November.
Untuk tuduhan membantu akses bahan komputer tanpa kebenaran, seorang pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Lelaki kedua, Seah Jianhao, 44 tahun, didakwa dengan satu tuduhan membantu secara konspirasi untuk menipu dan satu tuduhan memiliki harta yang mungkin disyaki telah diperoleh daripada aktiviti jenayah.
Kertas tuduhan menyatakan bahawa dia membuka akaun bank dengan HSBC pada 11 Oktober 2021, yang dia dakwa digunakan untuk kegunaan peribadi.
Seah juga didakwa memiliki lebih daripada $47,616 dalam bentuk wang tunai yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti jenayah, antara Oktober dan Disember 2021.
Jumlah tersebut kemudian dipindahkan ke akaun bank UOB miliknya.
Dia ditangkap oleh Polis Kemboja kerana terlibat dalam sindiket penipuan telekomunikasi di Krong Bavet, Kemboja, di mana dia berperanan sebagai penterjemah.
Dia juga ditangkap oleh polis Singapura setibanya di Singapura pada 11 November selepas dibawa pulang.
Penipuan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.
Mereka yang memiliki harta yang disyaki sebagai hasil daripada aktiviti jenayah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $150,000, atau kedua-duanya.
Pada 29 Oktober, pihak polis mengeluarkan waran tangkap terhadap 27 rakyat Singapura dan tujuh rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan yang beroperasi di Kemboja.
Mereka dikatakan terlibat dalam 438 kes penipuan yang melibatkan kerugian sekurang-kurangnya $41 juta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg