Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Junta Myanmar akan bebaskan hampir 6,000 banduan dalam pengampunan tahunan

Jan 4, 2025 | 9:44 PM
Saudara-mara dan rakan-rakan memegang sepanduk semasa mereka berkumpul di sekeliling bas yang membawa banduan yang dibebaskan dari penjara Insein di Yangon, Myanmar, pada 4 Januari 2025. Tentera Myanmar mengumumkan pengampunan kepada lebih 5,000 tahanan di seluruh negara pada 4 Januari untuk menandakan Hari Kemerdekaan.
Saudara-mara dan rakan-rakan memegang sepanduk semasa mereka berkumpul di sekeliling bas yang membawa banduan yang dibebaskan dari penjara Insein di Yangon, Myanmar, pada 4 Januari 2025. Tentera Myanmar mengumumkan pengampunan kepada lebih 5,000 tahanan di seluruh negara pada 4 Januari untuk menandakan Hari Kemerdekaan. - Foto EPA-EFE

YANGON: Pemerintah junta Myanmar pada 4 Januari berkata ia akan membebaskan hampir 6,000 banduan sebagai sebahagian daripada pengampunan tahunan bagi menandakan Hari Kemerdekaan negara itu.

Tentera negara itu telah menahan ribuan penunjuk perasaan dan aktivis sejak rampasan kuasa Februari 2021 yang menamatkan percubaan demokrasi ringkas Myanmar dan menjerumuskan negara itu ke dalam kekacauan.

Lebih 5,800 banduan – termasuk 180 warga asing – akan dibebaskan, kata junta itu dalam satu kenyataan pada 4 Januari, apabila negara itu menandakan 77 tahun kemerdekaan daripada penjajahan British.

Ia tidak memberikan butiran tentang apakah kesalahan yang telah disabitkan para banduan tersebut mahupun kewarganegaraan tahanan asing yang akan dihantar pulang selepas dibebaskan.

Tentera itu berkata ia mengarahkan pengampunan tersebut “atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan”.

Junta itu juga mengumumkan bahawa 144 orang yang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup akan diringankan hukuman mereka kepada 15 tahun.

Myanmar kerap memberikan pengampunan kepada beribu-ribu banduan untuk memperingati cuti atau perayaan penganut Buddha.

Pada 2023, junta itu mengumumkan pembebasan lebih 9,000 banduan untuk menandakan Hari Kemerdekaan.

Majlis tahunan Hari Kemerdekaan yang diadakan di ibu kota Naypyidaw yang dikawal ketat pada pagi 4 Januari menyaksikan kira-kira 500 hadirin daripada pemeritah dan tentera.

Ucapan ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing – yang tidak hadir pada majlis itu – disampaikan oleh timbalan ketua tentera, Encik Soe Win.

Beliau mengulangi gesaan junta kepada berpuluh-puluh kumpulan bersenjata etnik minoriti yang telah memeranginya sejak empat tahun lalu supaya meletakkan senjata dan “menyelesaikan isu politik melalui cara aman”.

Beliau mengulangi ikrar tentera untuk mengadakan pilihan raya demokrasi yang tertangguh dan menyeru perpaduan nasional. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg