Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jutaan pulang ke rumah selepas amaran tsunami Pasifik dibatal

Jul 31, 2025 | 11:59 AM
Semenanjung Kamchatka, ombak tsunami
Ombak sehingga empat meter diramalkan berlaku di beberapa bahagian Pasifik, selepas gempa bumi 8.8 melanda Semenanjung Kamchatka di Russia. - Foto AFP

PUERTO AYORA (Ecuador): Amaran tsunami telah ditarik balik merentasi pinggiran Lautan Pasifik pada 30 Julai, membolehkan berjuta-juta penduduk yang telah dipindahkan sementara pulang ke rumah.

Selepas salah satu gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan menggegarkan Timur Jauh Russia yang jarang penduduknya, lebih sedozen negara – dari Jepun ke Amerika Syarikat ke Ecuador – memberi amaran kepada rakyat supaya menjauhi kawasan pantai.

Lonjakan ombak sehingga empat meter diramalkan berlaku di beberapa bahagian pinggiran Pasifik, selepas gempa bumi 8.8 melanda Semenanjung Kamchatka di Russia.

Amaran tsunami menyebabkan gangguan yang meluas.

Peru telah menutup 65 daripada 121 pelabuhan Pasifiknya dan pihak berkuasa di Maui membatalkan penerbangan menuju dan dari pulau Hawaii.

Tetapi kebimbangan tentang malapetaka kembali reda dengan negara demi negara menarik balik atau menurunkan amaran dan memberitahu penduduk pantai mereka boleh kembali ke rumah masing-masing.

Di Jepun, hampir dua juta orang telah diarah pergi ke kawasan lebih tinggi, sebelum amaran itu diturunkan atau dibatalkan.

Loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun – musnah akibat gempa bumi besar dan tsunami pada 2011 – telah dipindahkan buat sementara waktu.

Satu-satunya kematian yang dilaporkan ialah seorang wanita terbunuh ketika memandu keretanya di kawasan tebing di Jepun ketika beliau cuba melarikan diri, lapor media tempatan.

Di Chile, pihak berkuasa menjalankan apa yang dikatakan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai “mungkin pemindahan paling besar yang pernah dilakukannya” – dengan 1.4 juta orang diarah ke kawasan tinggi.

Pihak berkuasa Chile melaporkan tiada kerosakan atau mangsa yang terjejas ekoran ombak hanya mencecah 60 sentimeter d pantai utara negara itu.

Di Kepulauan Galapagos, ombak yang dijangka mencecah tiga tiga meter, tidak melanda.

Institut oseanografi tentera laut Ecuador kemudian mengesahkan bahaya telah berlalu.

Penduduk tempatan melaporkan paras laut turun dan kemudian naik secara tiba-tiba, fenomena yang biasa dilihat dengan ketibaan tsunami.

Kerosakan paling teruk dilaporkan berlaku di Russia apabila gelombang besar membadai pelabuhan di Severo-Kurilsk mengakibatkan loji perikanan tempatan tenggelam, kata pegawai.

Rakaman televisyen negara Russia menunjukkan bangunan dan puing-puing dihanyutkan ke laut.

Gelombang mencecah sejauh monumen Perang Dunia II di bandar itu yang terletak kira-kira 400 meter daripada pantai, kata mayor Encik Alexander Ovsyannikov. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg