Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera Israel tembak mati dua lelaki Palestin tidak bersenjata di Tebing Barat

Nov 28, 2025 | 2:41 PM
tebing barat, tentera Israel, jenin
Penduduk meninjau tempat dua lelaki Palestin dilaporkan ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel di Jenin, Tebing Barat, pada 27 November. - Foto AFP

JENIN: Pasukan keselamatan Israel menembak dua lelaki Palestin yang kelihatan seperti telah menyerah diri dan tidak bersenjata, semasa satu serbuan di Tebing Barat yang diduduki Israel pada 27 November.

Rakaman berita Televisyen Palestine menunjukkan dua lelaki itu dilihat keluar dari sebuah bangunan yang dikelilingi pasukan bersenjata Israel di bandar Jenin di utara Tebing Barat, mengangkat baju mereka dan berbaring di atas tanah dalam keadaan menyerah diri.

Pasukan keselamatan Israel kemudian kelihatan mengarahkan dua lelaki itu kembali ke dalam bangunan sebelum melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Seorang wartawan Reuters melihat dua lelaki itu meninggalkan bangunan itu, kelihatan seperti menyerah diri, dan kemudian, selepas mendengar tembakan dilepaskan, beliau melihat pasukan keselamatan Israel berdiri berhampiran apa yang kelihatan seperti mayat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata dalam satu kenyataan bahawa kedua-dua lelaki itu terbunuh dalam kejadian tembakan itu, mengenal pasti mereka sebagai Montasir Abdullah, 26 tahun, dan Yusuf Asasa, 37 tahun.

Tentera Israel dan polis Israel mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan bahawa mereka telah membuka siasatan selepas pasukannya melepaskan tembakan ke arah suspek yang telah keluar dari sebuah bangunan.

Kenyataan itu tidak memberikan sebarang sebab mengapa pasukan itu melepaskan tembakan, mahupun menyatakan bahawa kedua-dua lelaki itu telah terbaring di atas tanah sebelum mereka diarahkan kembali ke dalam bangunan dan ditembak.

Gabenor Jenin, Encik Kamal Abu Al-Rub, yang bercakap melalui telefon, menuduh pasukan Israel melakukan “hukuman mati kejam” terhadap dua pemuda yang tidak bersenjata dan telah menyerah diri.

Beliau berkata mereka yang melepaskan tembakan harus bertanggungjawab tetapi menyatakan keraguan bahawa pihak berkuasa Israel akan menjalankan siasatan yang tulen.

Pasukan Israel telah menjalankan operasi di kawasan Jenin untuk menangkap individu yang dikehendaki atas “aktiviti keganasan, termasuk melontar bahan letupan dan menembak pasukan keselamatan”, kata tentera dan polis Israel dalam kenyataan bersama itu.

Dua lelaki yang ditembak itu adalah individu yang dikehendaki yang bergabung dengan “rangkaian keganasan di kawasan Jenin,” kata kenyataan itu.

Namun, ia tidak menyatakan tuduhan terhadap mereka mahupun mendedahkan sebarang bukti dakwaan hubungan mereka dengan rangkaian keganasan.

Kenyataan itu berkata kes itu sedang diteliti oleh komander di lapangan dan kemudian akan dipindahkan ke badan profesional yang berkaitan.

Hamas tidak mendakwa kedua-dua lelaki yang dibunuh itu sebagai anggota kumpulannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg