SEOUL: Kabinet Korea Selatan dijangka memuktamadkan tarikh 3 Jun untuk penetapan pilihan raya Presiden berikutan penyingkiran, Encik Yoon Suk Yeol, kerana pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat.
Walaupun tidak diperlukan oleh undang-undang, Kabinet akan membuat keputusan itu pada mesyuarat pada 8 April, kerana ia perlu meluluskan cuti umum untuk pilihan raya itu, lapor agensi berita, Yonhap pada 7 April, memetik seorang pegawai pemerintah yang tidak dikenali sebagai mengesahkan hal tersebut.
Mantan Presiden Yoon telah disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan atas alasan telah melanggar tugas rasminya dengan mengeluarkan dekri undang-undang tentera pada 3 Disember dan menggerakkan tentera untuk menghentikan prosiding Parlimen.
Undang-undang memerlukan pilihan raya Presiden diadakan dalam tempoh 60 hari jika penyandangnya meninggal dunia atau dilucutkan jawatan.
Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan berkata tarikh yang disebut dalam laporan media adalah tidak muktamad dan tidak akan menjadi rasmi sehingga diisytiharkan oleh pemangku Presiden, Perdana Menteri Han Duck-soo.
Presiden Yoon digugurkan daripada jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan, pada 4 April, setelah kesemua hakim menyokong usul pemecatan yang dibawa oleh Parlimen.
Mahkamah mendapati tindakan itu dianggap sebagai “pengkhianatan besar terhadap kepercayaan rakyat” dan telah mencetuskan krisis politik terburuk dalam tempoh beberapa dekad di negara itu.
“Tindakan Presiden Yoon jelas menyalahi Perlembagaan dan undang-undang negara. Kesan buruknya terlalu besar.
“Memulihkan ketertiban Perlembagaan lebih penting daripada mengekalkan seorang presiden yang mengkhianati amanah rakyat,” tegas Pemangku Ketua Hakim Moon Hyung-bae.
Ribuan rakyat turun ke jalan raya dengan ratusan berkhemah di luar Mahkamah Perlembagaan sejak beberapa hari lalu menunggu keputusan mahkamah yang amat mereka nanti-nantikan.
“Kami menang! Ini kemenangan rakyat!” jerit dan sorak-sorai para penunjuk perasaan sebaik sahaja keputusan diumumkan.
Encik Yoon, 64 tahun, merupakan mantan Pendakwa Raya Agung yang terkenal dengan penyiasatan berprofil tinggi, termasuk kes rasuah Presiden Park Geun-hye pada 2017. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg