JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengumumkan pelantikan 27 ketua agensi, utusan khas, dan pembantu khas dalam satu majlis di Istana Presiden pada 22 Oktober setelah melantik anggota Kabinet Merah Putihnya yang terdiri daripada 48 kementerian dengan lebih 100 menteri dan timbalan pada 21 Oktober.
Barisan utusan khas yang baru merangkumi pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, selebriti dan tokoh berpengaruh, yang dijangka dapat memperkukuh pentadbiran Encik Prabowo dalam usaha membangunkan negara.
Dalam pelantikan terkini, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, yang merupakan anggota Parti Gerindra dan jurucakap kempen Encik Prabowo dalam pilihan raya presiden lalu, dilantik sebagai timbalan ketua Badan Pengelola Haji.
Badan itu ditubuhkan oleh Encik Prabowo pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada usaha menguruskan hal ehwal ibadah haji dengan lebih sistematik.
Encik Budiman Sudjatmiko, tokoh politik yang aktif menyokong kempen Prabowo-Gibran, dilantik mengetuai Badan Percepatan Pengurangan Kemiskinan, satu lagi badan pemerintah baru yang ditubuhkan bagi mengatasi isu kemiskinan secara lebih fokus.
Sebelum ini, Encik Budiman, dikenali sebagai aktivis sosial yang lantang dalam isu pembangunan masyarakat.
Pelantikan itu turut menarik perhatian dengan penyertaan beberapa selebriti terkenal seperti Encik Raffi Ahmad dan Encik Gus Miftah.
Encik Raffi seorang pelakon dan usahawan, diberi peranan sebagai utusan khas, manakala Encik Miftah Maulana Habiburrahan yang lebih dikenali sebagai Gus Miftah, seorang ulama dan pendakwah, dilantik sebagai utusan khas dalam bidang kerohanian.
Mereka turut membantu dalam usaha kempen pilihan raya Encik Prabowo dan dijangka menyumbang kepada agenda nasional dalam peranan baru mereka.
Beberapa ahli politik daripada parti campuran Encik Prabowo turut diberi jawatan penting.
Encik Ace Hasan Syadzily dari Parti Golkar dilantik gabenor Institut Ketahanan Negara (Lemhannas), manakala Cik Zita Anjani dari Parti Amanat Nasional (PAN) dilantik sebagai utusan khas pelancongan.
Encik Muhamad Mardiono dari Parti Persatuan Pembangunan (PPP) pula diberi tanggungjawab sebagai utusan khas keselamatan makanan.
Golkar dan PAN merupakan antara parti terpenting dalam Koalisi Indonesia Maju (KIM) yang menyokong pentadbiran Encik Prabowo, sementara PPP menyertai gabungan campuran tersebut selepas pilihan raya.
Pelantikan itu mencerminkan usaha Encik Prabowo untuk menyatukan pelbagai pihak dalam pentadbirannya dan memastikan semua sektor diberi tumpuan yang sewajarnya.
Dalam tempoh selepas kemenangannya dalam pilihan raya presiden, Encik Prabowo secara tekal menekankan kepentingan perpaduan nasional demi memastikan pembangunan negara berjalan lancar dan matlamat utama pentadbirannya tercapai.
Dengan pelantikan lebih 100 menteri, timbalan menteri, dan pelbagai ketua agensi, pentadbiran Encik Prabowo kini menjadi salah satu yang terbesar dalam sejarah moden Indonesia.
Pembangunan dan pelantikan agensi baru ini menandakan komitmen beliau menangani isu penting seperti kemiskinan, keselamatan makanan, dan pengurusan ibadah haji dengan lebih berkesan di bawah pentadbiran yang tersusun. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg