JAKARTA: Ahli politik baru dan pengerusi Parti Solidariti Indonesia (PSI), Encik Kaesang Pangarep mendahului dalam tinjauan pendapat umum terkini untuk pemilihan gabenor Jawa Tengah pada November, dengan ramai responden memihak kepadanya kerana beliau adalah anak kepada Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Rakyat Indonesia di seluruh negara akan mengundi untuk memilih gabenor, datuk bandar dan pemimpin wilayah masing-masing secara serentak buat kali pertama, pada 27 November, dengan parti politik sudah mengambil kira nama calon sebelum mendaftarkan calon mereka secara rasmi pada akhir Ogos.
Tinjauan yang dikeluarkan oleh Indikator Politik Indonesia pada 7 Julai mendapati bahawa walaupun ramai responden Jawa Tengah masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang hendak diundi, Encik Kaesang, muncul di tempat teratas dalam hampir semua simulasi tinjauan itu.
Jawa Tengah, wilayah ketiga paling ramai penduduk di negara ini, adalah antara wilayah yang paling banyak diperkatakan untuk pilihan raya November, kerana ia antara wilayah strategik yang boleh menjadi batu loncatan kepada jawatan presiden.
Dalam simulasi 20 bakal calon, Encik Kaesang menduduki tempat pertama dengan 17.7 peratus responden berkata, mereka akan mengundinya jika pilihan raya diadakan sekarang,
Mengekorinya ialah ketua polis Jawa Tengah, Inspektor Jeneral Ahmad Luthfi, sekutu rapat Presiden Jokowi, dengan 15.6 peratus, dan bekas timbalan gabenor Jawa Tengah, Encik Taj Yasin Maimoen, dari Parti Pembangunan Bersatu (PPP) dengan 12.8 peratus.
Ini diikuti oleh Encik Bambang Wuryanto dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti terbesar di Jawa Tengah yang berpisah dengan bapa Encik Kaesang, Encik Jokowi selepas pemilihan presiden Februari, dan Bupati Kendal, Encik Dico Ganinduto, dari Parti Golkar yang pro-Jokowi.
Sebanyak 6 peratus responden menyokong Encik Bambang dan 5.6 peratus memihak Encik Dico.
Indikator Politik menemu bual 800 responden umur mengundi secara bersemuka di seluruh Jawa Tengah, dari 10 hingga 17 Jun, dan keputusannya mempunyai margin kesilapan 3.5 peratus dan tahap keyakinan 95 peratus.
Encik Kaesang juga menduduki tempat pertama dalam simulasi 10, lapan dan enam bakal calon.
Beliau hanya dikalahkan oleh sekutu Encik Jokowi, Encik Luthfi yang menduduki tempat pertama dalam pertanyaan terbuka, apabila tinjauan pendapat bertanya kepada responden siapa yang akan mereka undi tanpa memberikan sebarang pilihan.
Sebab terbesar responden memilih Encik Kaesang, Indikator Politik berkata, adalah kerana beliau “datang daripada keluarga tokoh politik atau orang awam”.
“Ini bermakna orang ramai memilih Encik Kaesang kerana hubungan rapatnya dengan bapanya Encik Jokowi, dan ia menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Encik Jokowi di Jawa Tengah,” kata Encik Burhanuddin Muhtadi dari Indikator Indonesia semasa pelancaran tinjauan itu pada 7 Julai.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa lebih 80 peratus responden di Jawa Tengah meluluskan prestasi Encik Jokowi, yang merupakan “penarafan kelulusan yang sangat tinggi untuk seorang presiden”, kata penyelidik Indikator Politik Rizka Halida. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg