Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kajian: Akibat konflik, kesan psikologi penduduk Arab kian memburuk

Apr 24, 2024 | 09:55 AM



DOHA: Satu tinjauan yang diumumkan oleh Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar Arab yang berpangkalan di Qatar telah mendedahkan kesan psikologi yang dialami oleh penduduk di serata Timur Tengah dan Afrika Utara berikutan perang antara Israel dengan Hamas di Palestin.


Tinjauan tersebut, yang melibatkan 8,000 lelaki dan wanita dari 16 negara Arab, menunjukkan bahawa 97 peratus daripada responden menyatakan bahawa psikologi mereka terkesan semasa perang di Gaza, dengan 84 peratus mengakui bahawa mereka mengalami kesan tersebut pada tahap yang serius.

Hampir empat daripada lima responden juga menyatakan bahawa mereka mengikuti berita mengenai kempen kejam Israel itu setiap hari atau beberapa kali seminggu.

Tinjauan terbaru menunjukkan bahawa majoriti responden menyatakan bahawa kerajaan negara-negara Arab perlu mengambil langkah drastik untuk menghentikan perang Israel-Palestin.

Daripada pilihan yang diberi, menggantung hubungan atau normalisasi dengan Israel dianggap sebagai langkah teratas atau kedua paling penting.

Lebih daripada tiga perempat responden, atau kira-kira 75 peratus, menyatakan sokongan untuk menggantung hubungan atau memutuskan normalisasi dengan Israel sebagai tindakan utama untuk menghentikan konflik tersebut.

Sementara itu, 30 peratus bersetuju untuk menghantar bantuan ke Gaza tanpa kebenaran Israel, manakala 24 peratus lagi bersetuju untuk menggunakan minyak sebagai senjata tekanan terhadap Israel dan penyokongnya.

Keputusan tinjauan itu menunjukkan keinginan yang kuat dalam kalangan warga di negara-negara Arab untuk bertindak lebih tegas bagi menamatkan perang dan menyokong rakyat Palestin.

Bagaimanapun, pendekatan dan tindakan yang akan diambil oleh kerajaan Arab masih menjadi tanda tanya, dengan banyak pilihan yang memerlukan kajian dan pertimbangan teliti sebelum dilaksanakan.

Seorang daripada lima responden itu bersetuju mewujudkan pakatan sejagat untuk memboikot Israel sebagai antara dua keutamaan mereka.

Memberi bantuan ketenteraan di Gaza (18 peratus responden) dan mengumumkan mobilisasi ketenteraan (11 peratus responden) adalah salah satu daripada dua langkah paling penting yang disuarakan.

Tinjauan yang menarik 500 orang dari setiap negara dijalankan di Algeria, Mauritania, Mesir, Qatar, Arab Saudi, Jordan, Lebanon dan Yaman.

Penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmakdis turut ditinjau.

Tinjauan mendapati 69 peratus orang Arab menyokong penduduk Gaza dan Hamas manakala 23 peratus lagi menyokong rakyat Gaza tetapi menentang Hamas.

Tinjauan itu juga menunjukkan 92 peratus percaya perjuangan Palestin adalah isu untuk semua orang Arab dan bukan hanya rakyat Palestin, meningkat daripada 76 peratus pada 2022.

Selain itu, satu tinjauan berasingan menunjukkan 22 peratus rakyat Britain lebih bersimpati dengan pihak Palestin dalam konfliknya dengan Israel di Gaza.

Sebanyak 16 peratus berkata mereka berasa lebih dekat dengan pihak Israel manakala 32 peratus bersimpati dengan kedua-duanya secara sama rata dan 29 peratus berkecuali.

Tinjauan itu juga mendapati 71 peratus orang dewasa di Great Britain berasa pasti atau mungkin perlu ada gencatan senjata segera di Palestin dan Israel.

Rakyat Israel terjerumus dalam kesihatan mental teruk sejak Hamas melancarkan serangan mengejut pada 7 Oktober 2023.

Satu kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet pada 5 Januari menyatakan bahawa “semua rakyat Israel terdedah kepada skop serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini”.


“Ia mencerminkan satu trauma besar-besaran,” ujar kajian bersama pakar psikologi klinikal dari pusat akademik Ruppin di Israel, Dr Yossi Levi-Belz, yang mendapati kesan meluas dan ketara terhadap kesihatan mental rakyat Israel.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Israel, Encik Uriel Buso, mengakui bahawa kekurangan peruntukan kesihatan mental sebelum perang memerlukan ‘tindakan segera’ untuk mengatasi masalah itu.

Serangan kumpulan Hamas pada awal pagi 7 Oktober lalu sempena hari terakhir percutian perayaan Sukkot di sempadan Israel telah menyebabkan serangan balas tentera rejim Israel di Jaluran Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 27,000 yang kebanyakan wanita serta kanak-kanak.

Akibat serangan itu, tentera Israel mengalami jumlah korban besar dan cedera akibat bertempur dengan pejuang Hamas di Jaluran Gaza.

Sejak hari serangan, panggilan ke talian bantuan Pertolongan Cemas Emosi di Israel dilaporkan meningkat dua kali ganda.

Antara mereka yang terjejas bukan sahaja mangsa yang terselamat, malah keluarga mangsa dan tebusan serta anggota penyelamat dan polis.

Malah, segelintir kanak-kanak enggan ditinggal sendirian oleh ibu bapa mereka pada waktu malam manakala orang dewasa tidak dapat menumpukan perhatian dalam tugasan harian selain dibelenggu rasa bersalah kerana gagal menyelamatkan insan yang disayangi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Encik Moshe Bar Siman-Tov, menyatakan bahawa daripada 9.7 juta penduduk Israel, kira-kira 100,000 telah terdedah kepada kejadian yang berpotensi menimbulkan trauma sejak permulaan perang.

Sebelum perang lagi, kesihatan mental warga Israel berada dalam keadaan yang agak buruk khususnya disebabkan oleh kesan berlarutan pandemik Covid-19. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >