Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kajian: Tentera Belanda terlibat dalam keganasan sistematik semasa kemerdekaan Indonesia

Mar 03, 2022 | 05:30 AM



SEJARAH tidak boleh diubah dan pihak yang bersalah mesti memohon maaf.



Terbaru, satu kajian sejarah utama telah mendapati tentera Belanda terlibat dalam keganasan yang sistematik, berlebihan, tidak beretika semasa tempoh perjuangan kemerdekaan Indonesia 1945-1949, dengan kerajaan Belanda pada masa itu membenarkannya.



Dapatan kajian itu, yang dibiayai Belanda pada 2017 dan dikendalikan ahli akademik dan pakar dari kedua-dua negara, dibentangkan pada sidang media baru-baru ini.



Ia mendapati Belanda telah menggunakan kekerasan berlebihan sedang ia berperang untuk mendapatkan semula kawalan ke atas Indonesia, bekas tanah jajahannya, dalam tempoh selepas Perang Dunia Kedua.



Laporan itu turut menyatakan tentera Indonesia juga menggunakan keganasan tatkala mereka melancarkan perang gerila dan pada mulanya menyasarkan kumpulan minoriti Indo-Belanda dan Maluku.



Namun, kerajaan Belanda tidak pernah mengakui sepenuhnya skop tanggungjawabnya.



Pada 2013, duta besar Belanda ke Indonesia mengeluarkan permohonan maaf atas 'hukuman mati tanpa siasatan lanjut' yang dilakukan pihak Belanda semasa tempoh tersebut.



Dan semasa lawatan pada 2020, raja Belanda, Raja Willem-Alexander, membuat permintaan maaf secara mengejut atas "keganasan berlebihan" semasa konflik.



Kemudiannya, pada Oktober 2020, Belanda menawarkan pampasan 5,000 euro ($7,600) kepada anak bagi warga Indonesia yang telah dihukum mati semasa konflik itu, selepas satu penyelesaian 2013 bersama beberapa balu yang telah kehilangan pasangan mereka.



Kedua-dua Indonesia dan Belanda kini menikmati hubungan ekonomi kukuh, tetapi tempoh perang itu masih menjadi topik sensitif di kalangan mangsa dan veteran.



Pada 1969, kerajaan Belanda mendapati pasukannya, secara keseluruhannya, bertindak dengan betul semasa konflik itu.



Tetapi hakikatnya, "pasukan bersenjata Belanda menggunakan keganasan melampau secara kerap dan berstruktur, dalam bentuk hukuman mati di luar undang-undang, layanan buruk dan penyeksaan, penahanan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, pembakaran rumah dan kampung, pencurian dan pemusnahan harta benda dan bekalan makanan, serangan udara dan meriam yang keterlaluan, selain dan apa yang dianggap penangkapan dan tahanan besar-besaran secara rambang", ujar laporan kajian itu dalam ringkasan dapatannya.



Ia menarik perhatian, tindakan ketenteraan telah dilakukan dengan sokongan kerajaan Belanda, sokongan masyarakat dan media yang tidak kritikal - semuanya berdasarkan "mentaliti penjajah".



"Adalah jelas pada setiap peringkat, pihak Belanda tanpa ragu menggunakan piawaian berbeza bagi 'subjek' penjajah," kata ringkasan itu lagi.



Memberi respons, Perdana Menteri Belanda, Encik Mark Rutte, membuat permohonan maaf penuh kepada Indonesia.



"Kami perlu menerima fakta yang memalukan. Saya memohon maaf yang amat mendalam kepada rakyat Indonesia bagi pihak kerajaan Belanda," kata Encik Rutte pada sidang akhbar selepas dapatan kajian itu diterbitkan.



Keganasan oleh tentera Belanda, termasuk tindakan seperti penyeksaan yang kini boleh dianggap sebagai jenayah perang, adalah "kerap dan meluas", kata ahli sejarah Profesor Ben Schoenmaker dari Institut Sejarah Ketenteraan Belanda, salah seorang daripada lebih dua dozen ahli akademik yang mengambil bahagian dalam kajian itu.



"Ahli politik menutup mata terhadap keganasan ini, sama seperti pihak berkuasa tentera, sivil dan undang-undang: bahkan mereka membantunya, mereka menyembunyikannya, dan mereka hampir atau sama sekali tidak menghukumnya," katanya.



Kira-kira 100,000 rakyat Indonesia terbunuh secara langsung akibat perang itu.



Encik Rutte mengulangi bahawa tawaran Belanda untuk menyelesaikan tuntutan pampasan itu masih terbuka.



Kedua-dua Encik Rutte dan ahli akademik yang terlibat dalam kajian itu enggan menangani isu sama ada Belanda mungkin bertanggungjawab bagi jenayah perang dalam konflik itu.



"Itu soal pendakwa raya. Laporan ini sememangnya tidak ditulis dari perspektif undang-undang tetapi sejarah - tetapi dalam apa jua keadaan perkara yang berlaku kami mengutuk sepenuhnya," kata Encik Rutte. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >