Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak di Afghan, Gaza jadi mangsa serakah politik

Jun 26, 2023 | 5:30 AM
TERPAKSA BEKERJA: Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak di dunia, seorang budak lelaki di Afghanistan tidak dapat ke sekolah kerana terpaksa bekerja membantu keluarga, setelah kematian bapanya semasa peperangan di negara itu.
TERPAKSA BEKERJA: Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak di dunia, seorang budak lelaki di Afghanistan tidak dapat ke sekolah kerana terpaksa bekerja membantu keluarga, setelah kematian bapanya semasa peperangan di negara itu. - Foto AFP

Serakah politik yang diburukkan dengan peperangan, kekerasan hingga menjejas kehidupan termasuk gangguan bekalan makanan, kesihatan dan tempat kediaman adalah “malapetaka” yang paling mengerikan terhadap kanak-kanak dan remaja terutamanya.

Kemiskinan memberi kesan ke atas setiap elemen kehidupan mereka. Ia memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka, menafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dan menjejas hubungan kekeluargaan.

Di Afghanistan, ramai kanak-kanak yang kehilangan orang tua, tidak kurang yang menjadi yatim piatu. Selama 20 tahun negara itu diambil-alih pentadbiran tentera, diketuai pasukan tentera Amerika Syarikat sehingga Ogos 2021, ribuan orang awam terbunuh.

“Saya kehilangan ayah, 11 tahun lalu. Setiap hari saya merinduinya, ingin melihatnya. Dia pergi sewaktu saya masih bayi,” kata Sibghatullah, 12 tahun, dengan nada sedih.

“Apabila melihat kanak-kanak lain bersama ayah mereka, saya berasa amat sedih,” ujarnya.

Pada 1 Jun, dunia merayakan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, dengan tema mempromosikan hak asasi kanak-kanak.

Namun ramai di antara mereka, terutama anak-anak yatim di negara yang dilanda peperangan dan kemiskinan di Afghanistan, mereka kehilangan hak untuk mendapatkan pendidikan, terpaksa berkeliaran di pinggir jalan untuk menyara hidup, tanpa mendapat perlindungan daripada anggota keluarga.

“Saya menjual kantung plastik, berkeliling di sekitar kawasan perniagaan. Kalau dapat wang, saya beli roti naan untuk dibawa pulang,” kata Nawid, seorang lagi anak yatim yang bapanya terbunuh semasa serangan tentera Amerika.

Bagi Nawid, hari-harinya dihabiskan dengan berjaja berkeliling jalan, untuk membantu keluarganya.

Keluhan yang sama dibisikkan seorang lagi remaja, Shahab, 14 tahun, dari wilayah Laghman. “Harapan kami sekeluarga musnah apabila bapa saya terbunuh beberapa tahun lalu,” katanya.

Berusia 12 tahun, Nawid berharap pemerintah Amerika Syarikat memulangkan aset Afghanistan yang ditahan (bernilai lebih AS$9 bilion atau $12.2 bilion), supaya dapat diwujudkan peluang pekerjaan kerana harga bagi semua barangan di pasar melonjak.

Ibunya, Cik Laila, 39 tahun, berkata “hidup kami empat beranak amat sengsara. Barang semuanya mahal.

“Sering kami ke pasar tapi pulang tidak membeli apa-apa pun.”

Ketiga-tiga remaja itu, Shahab, Nawid dan Sibghatullah, ketika diwawancara agensi berita luar negara memberitahu “ingin menjadi doktor,” kerana mahu merawat ribuan orang yang cedera semasa peperangan dan menghidap penyakit gara-gara kemiskinan dan tidak mendapat bekalan ubat-ubatan dan makanan berzat.

Kebanyakan kanak-kanak menjadi mangsa peperangan. Menurut Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unama) di Aghanistan, konflik bersenjata di negara itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 6,500 kanak-kanak dan lebih 15,000 yang lain mengalami kecederaan.

Shahab kini tinggal di Kabul, berpeluang bersekolah. Impiannya menjadi seorang doktor “untuk memenuhi hajat almarhum bapanya”.

“Bapa sentiasa melindungi saya, tapi saya kesal kerana tidak dapat menyelamatkannya,” kata Shahab dengan nada sedih.

Mimpi buruk

Hanin Abu Obaik, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Jaluran Gaza. kehilangan tempat kediamannya dalam satu serangan tentera Israel pada awal Mei lalu.

“Setiap kali ketiduran, saya terdengar bunyi letupan dan tembakan. Saya bermimpi tentera Israel melakukan serangan, memusnahkan rumah dan semua anggota keluarga saya terbunuh,” kata gadis itu, yang kini tinggal di rumah sewa di Dir al-Balah, di Gaza.

“Sekalipun saya terjaga dan membuka mata, mimpi buruk itu masih bermain di kepala. Apabila mendengar bunyi bising, saya terbayangkan satu lagi serangan tentera Israel,” katanya yang sekarang takut untuk keluar bermain.

Muhammad al-Dirawi, 10 tahun, tinggal di sebelah rumah Hanin, mengalami trauma seperti itu juga.

Satu laporan yang diterbitkan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendedahkan fakta yang mengecewakan, iaitu sembilan daripada 10 orang kanak-kanak di Gaza mengalami trauma ekoran operasi tentera Israel di sekitar kediaman mereka.

Encik Sami Owaida, seorang psikiatris yang berpangkalan di Gaza dan ketua pertubuhan bukan pemerintah bagi Program Kesihatan Mental Masyarakat Gaza, menganggarkan lebih separuh daripada para belia Gaza, termasuk kanak-kanak, memerlukan bantuan psikologi ekoran ketegangan yang berlaku kebelakangan ini di Gaza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg