KHAN YOUNIS (Gaza): Kaki kiri Noor yang berusia sebelas tahun hampir putus sepenuhnya apabila rumahnya di Jabalia, Gaza, dilanda letupan bom pada Oktober.
Kini kaki kanannya, yang telah dipasang kepingan logam berat dengan empat skru yang digerudi ke dalam tulang, mungkin terpaksa dipotong.
“Ia sangat menyakitkan saya... saya takut mereka terpaksa potong kaki saya yang sebelah lagi,” katanya ketika ditemui berbaring di katil hospital.
“Saya pernah berlari dan bermain... saya sangat gembira dengan kehidupan saya tetapi sekarang apabila saya kehilangan kaki, hidup saya menjadi hodoh dan saya amat sedih. Saya harap saya boleh mendapatkan kaki palsu sebagai ganti,” tambahnya dengan nada pilu.
Seorang lagi kanak-kanak Palestin, Eman Al-Kholi, lapan tahun, yang menjalani rawatan di Hospital Eropah, juga mengalami masalah yang sama – kaki kanannya terpaksa dipotong selepas cedera dalam serangan Israel di Rafah, selatan Gaza, yang turut mengorbankan ibu bapanya.
Menurut Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), terdapat lebih 1,000 kanak-kanak di Gaza yang kaki mereka – sebelah atau kedua-dua terpaksa dipotong – akibat pengeboman Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh sekitar 1,200 orang.
Pihak berkuasa Israel sebelum ini berkata mereka berusaha untuk mengurangkan bahaya kepada orang awam. Unit jurucakap tentera Israel menunjukkan strategi Hamas mengenai “eksploitasi struktur awam untuk tujuan keganasan” tetapi tidak memberikan komen khusus mengenai kanak-kanak yang menjadi mangsa.
Doktor dan pekerja bantuan berkata sistem perubatan Gaza yang runtuh dan kekurangan doktor pakar, didapati tidak sesuai untuk memberi kanak-kanak yang kehilangan kaki penjagaan dan rawatan susulan yang rumit. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg