Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak di Gaza teruja kembali ke sekolah

Nov 3, 2025 | 12:30 PM
Palestine, Gaza, pelajar, sekolah, children, school
Pelajar Palestin menghadiri kelas di sebuah sekolah yang ditubuhkan oleh Persatuan Mayasem untuk Kebudayaan dengan sokongan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di kem penempatan sementara di kawasan al-Qarara, Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza pada 7 Oktober. - Foto AFP

BAITULMAKDIS/KAHIRAH/NUSEIRAT: Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan ia akan membuka semula beberapa sekolah di wilayah itu, dengan kanak-kanak secara beransur-ansur kembali ke kelas, susulan penguatkuasaan gencatan senjata di Gaza

Ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, berkata bahawa lebih daripada 25,000 kanak-kanak telah pun menyertai “ruang pembelajaran sementara” agensi itu, manakala kira-kira 300,000 pula mengikuti kelas secara dalam talian.

Pada 1 November, di Sekolah Al-Hassaina di barat Nuseirat di tengah Jaluran Gaza, kelas baru sahaja disambung semula walaupun terdapat kekurangan bilik darjah yang tersedia.

Warda Radwan, seorang pelajar berusia 11 tahun, yang kelihatan tidak sabar untuk kembali kepada rutin pembelajarannya, berkata:

“Saya berada di Darjah Enam sekarang, tetapi saya kehilangan dua tahun persekolahan kerana hidup berpindah-randah akibat perang,” katanya kepada AFP.

Semasa perang Gaza selama dua tahun, Sekolah Al-Hassaina, seperti banyak kemudahan UNRWA lain di seluruh wilayah itu, menjadi tempat perlindungan bagi berpuluh-puluh keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Kehadiran mereka masih kelihatan di antara barisan pakaian yang tersusun di tiga tingkat bangunan sekolah itu.

Warda menjelaskan kelas “dimulakan semula secara perlahan-lahan”, kerana keluarga yang tinggal perlu terlebih dahulu mengosongkan bangunan sekolah secara beransur-ansur.

Di halaman sekolah, para pelajar berhimpun untuk melakukan senaman regangan di bawah pengawasan guru mereka dan melaungkan, “Hidup Palestin!”

Semasa kelas bermula, kira-kira 50 pelajar berhimpit di dalam satu bilik darjah, duduk di atas lantai tanpa meja atau kerusi.

Mereka menjawab soalan guru dengan penuh semangat dan menyalin nota pelajaran daripada papan hitam ke dalam buku nota masing-masing.

Mereka begitu bersemangat kerana dapat kembali ke sekolah selepas dua tahun.

Sebuah lagi bilik darjah menempatkan pelajar remaja perempuan. Keadaannya adalah sama – semuanya duduk di atas lantai dengan buku nota diletakkan di atas riba mereka.

Seorang penduduk, Cik Jenin Abu Jarad, berkata beliau bersyukur melihat kanak-kanak itu kembali ke kelas kerana sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023, mereka hanya melakukan kegiatan mengambil air, mendapatkan makanan atau bermain di jalanan.

“Tetapi mujurlah sekolah telah dibuka semula secara beransur-ansur,” tambahnya.

Gencatan senjata, yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, telah membolehkan ratusan ribu rakyat Palestin kembali ke rumah mereka yang telah rosak atau musnah di Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg