Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir anjur sidang antarabangsa pembinaan semula Gaza pada Nov

Dianjur bersama OIC, Liga Arab, Penguasa Palestin; dihadiri wakil PBB dan sektor swasta
Oct 21, 2025 | 10:29 AM
Khan Younis, selatan Jaluran Gaza,
Para penduduk Palestin meneruskan kehidupan dan membeli barangan di pasar sementara di Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, pada 20 Oktober, di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dengan Hamas. - REUTERS

KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, mengumumkan bahawa negaranya akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Pembinaan Semula Gaza pada November ini.

ia merupakan satu inisiatif besar untuk menyelaras bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula wilayah yang musnah akibat peperangan dua tahun antara Israel dengan Hamas.

Pengumuman itu dibuat semasa Simposium Budaya Angkatan Tentera ke-42 yang diadakan bersempena ulang tahun ke-52 kemenangan Mesir dalam Perang 6 Oktober 1973 menentang Israel.

Encik Sisi menegaskan bahawa persidangan itu akan menghimpunkan organisasi antarabangsa, negara penderma, dan rakan serantau bagi merangka pelan menyeluruh bagi pemulihan Gaza.

“Persidangan ini bertujuan menggembleng usaha dunia Arab dan masyarakat antarabangsa untuk membina semula Gaza, bukan sekadar bangunan, malah harapan rakyatnya,” kata Encik Sisi dalam ucapannya di Istana Presiden, Kahirah.

Menurut Encik Sisi, Mesir akan menganjurkan persidangan itu bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, dan Penguasa Palestin, dengan kehadiran wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta sektor swasta antarabangsa.

Fasa pertama pembinaan semula dijangka memberi tumpuan kepada pemulihan asas kehidupan termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, pemulihan bekalan air dan elektrik, serta pembersihan lebih 60 juta tan runtuhan akibat pengeboman Israel.

“Kita perlu memastikan proses ini tidak hanya melibatkan pemerintah, malah masyarakat awam dan sektor swasta.

“Ia adalah tanggungjawab bersama untuk mengembalikan kehidupan kepada rakyat Gaza,” tambah beliau.

Presiden Sisi turut mengarahkan Perdana Menteri Mesir, Encik Mostafa Madbouly, supaya menubuhkan satu mekanisme nasional bagi mengurus sumbangan awam dan dana kebajikan yang akan digunakan bagi membiayai projek pembinaan semula tersebut.

Pada 16 Oktober, Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Mustafa, mengumumkan pelan lima tahun bernilai AS$67 bilion ($86.7 bilion) untuk membina semula Gaza.

Pelan itu dibahagikan kepada tiga fasa utama: Fasa awal selama enam bulan AS$3.5 bilion untuk bantuan kemanusiaan segera dan penyediaan perlindungan.

Fasa kedua selama tiga tahun – AS$30 bilion untuk pembangunan prasarana dan pemulihan ekonomi manakala fasa akhir selama setahun setengah bagi memastikan pemulihan sosial dan ekonomi jangka panjang.

Dana pembinaan semula itu akan dikendalikan dalam akaun khas di bawah penyeliaan antarabangsa dengan sistem audit bebas yang diluluskan oleh negara penderma.

“Rakyat Palestin tidak meminta simpati, kami meminta peluang untuk membina masa depan dengan maruah,” kata Encik Mustafa dalam sidang media di Ramallah.

Institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) turut menyatakan kesediaan untuk membantu usaha pembinaan semula.

Ketua Pengarah WTO, Encik Ngozi Okonjo-Iweala, berkata dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan peringkat menteri sebelum ini bahawa masyarakat antarabangsa kini menumpukan perhatian kepada pemulihan Gaza selepas gencatan senjata yang diusul Amerika Syarikat.

“Kami amat menghargai pertumpahan darah telah berhenti dan tebusan telah dibebaskan. Kini tiba masanya untuk membawa kehidupan kembali ke Gaza,” katanya.

Menurut laporan Bank Dunia dan PBB, kos semasa pembinaan semula Gaza dianggarkan mencecah AS$70 bilion selepas lebih 80 peratus bangunan, termasuk sekolah, hospital, dan rumah ibadat, musnah akibat serangan udara Israel.

Mesir, bersama Qatar dan Amerika, kekal sebagai pengantara utama dalam menamatkan konflik berdarah itu.

Presiden Sisi dalam ucapannya turut memuji Presiden Amerika, Encik Donald Trump. atas usaha Washington dalam gencatan senjata yang membuka laluan kepada proses pembinaan semula.

“Kita berterima kasih kepada Presiden Trump atas peranannya dalam memastikan keamanan relatif kembali ke Gaza.

“Kini tugas kita adalah memastikan keamanan itu diterjemah kepada pembangunan sebenar,” tegas Encik Sisi.

Beliau turut menyeru rakyat Mesir supaya terus menunjukkan perpaduan terhadap Palestin melalui sumbangan kepada tabung pembinaan semula.

“Setiap sumbangan kecil adalah sebahagian daripada usaha besar untuk membina semula kehidupan rakyat Gaza,” katanya.

Dengan lebih 90 peratus penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal, persidangan yang akan berlangsung di Kahirah dijangka menjadi titik permulaan baru bukan sahaja untuk memulihkan prasarana yang musnah, malah untuk membina semula kepercayaan terhadap masa depan Palestin yang bebas dan berdaulat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg